Bekas pengurus teknologi maklumat (IT) digital di Yayasan Mendaki didakwa cuba mendapatkan rasuah dalam bentuk sebuah komputer riba bernilai lebih $1,000 daripada seorang pekerja syarikat IT.
Zulkifli Kader, 51 tahun, warga Malaysia yang tidak lagi bekerja dengan badan bantuan Melayu/Muslim itu, dituduh melakukan kesalahan tersebut dalam tiga kejadian antara April dengan Mei 2023.
Dalam satu kenyataan, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), berkata Zulkifli didakwa cuba memperoleh sebuah komputer riba, Lenovo ThinkPad T14, bernilai sekurang-kurangnya $1,061.61 daripada seorang pekerja A-Speed Pte Ltd, sebagai ganjaran kerana menerima tender syarikat itu bagi kerja berkaitan Mendaki.
Pada 4 Februari, Zulkifli, yang merupakan penduduk tetap (PR) Singapura, didakwa atas satu pertuduhan cuba memperoleh rasuah.
Persidangan prabicaranya akan diadakan pada 5 Mac, lapor The Straits Times (ST).
Jika sabit kesalahan cuba memperoleh rasuah, pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda hingga $200,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg