Bekas pesakit barah anggap setiap Ramadan ibarat bonus

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pesakit barah anggap setiap Ramadan ibarat bonus

Feb 19, 2026 | 5:30 AM

Bekas pesakit barah anggap setiap Ramadan ibarat bonus

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
barah, buah, dada, Ramadan
Cik Rubiah Rahman bersyukur masih diberi peluang untuk melalui ibadah puasa dan solat tarawih. Ini merupakan Ramadan ketiga beliau selepas didiagnos dengan barah buah dada. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setiap Ramadan yang beliau lalui ibarat bonus bagi Cik Rubiah Rahman.

Ramadan kali ini tidak terkecuali – yang ketiga beliau lalui setelah berjaya mengatasi barah buah dada yang pernah menyerang tubuhnya.

“Setiap kali dapat bertemu dengan Ramadan adalah satu bonus. Alhamdulillah tabarakallah, setelah dua tahun menjalani kemoterapi dan radioterapi, masih boleh meneruskan puasa dan solat tarawih,” kata Cik Rubiah, 60 tahun.

Berkongsi kisahnya dengan Berita Harian (BH), Cik Rubiah, seorang pegawai pentadbiran, berkata setiap tahun, beliau dan kakitangan lain di tempat tugasnya digalak untuk melakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh.

Oleh itu, sepanjang 12 tahun bekerja dalam industri penjagaan kesihatan, beliau sering melakukan pemeriksaan tersebut, termasuk menjalani mammogram sejak berusia 50 tahun.

Namun, pada Februari 2023, beliau menerima berita buruk.

“Apa yang mengejutkan adalah apabila saya diberitahu (barah yang saya hidapi) sudah di tahap 3A. Padahal saya tak ada sebarang ketulan, tak rasa sakit pun, semuanya macam biasa sahaja.

“Terkejut juga bila doktor beritahu barah saya sudah tahap 3A, bukan tahap 1 atau 2, padahal hampir setiap tahun saya buat pemeriksaan, tetapi sebelum itu tak ada apa-apa,” kata beliau.

Barah buah dada yang dihidap Cik Rubiah berada pada tahap 3A kerana sel barah sudah merebak ke nodus limfa di bahagian tangan kanannya.

“Dari situ saya sedar, kalau Allah nak bagi, Dia akan bagi dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa,” tambahnya.

Ia bukan kali pertama Cik Rubiah menerima berita buruk mengenai barah.

Ibunya meninggal dunia akibat barah endrometrial tahap lanjut pada 2007.

“Itu kali pertama kami berdepan dengan barah dalam keluarga. Ia amat meruntun jiwa ketika itu, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku pada ibu kami dan usianya sudah tua,” kata Cik Rubiah, suaranya bergetar.

Tidak dapat menahan sebak, beliau berkongsi, pada 2017 pula, suami tercinta pula menghidap barah kolorektal tahap 4. Suaminya itu meninggal dunia tiga bulan selepas didiagnos.

“Bila suami saya dapat barah, saya paling terkesan. Beliau bukan seorang perokok, tidak gemuk, beliau pun tak makan makanan yang tidak sihat...tapi itulah, kalau Allah dah nak bagi, Dia akan bagi,” ujarnya.

Kakak dan abang Cik Rubiah turut diuji barah buah dada dan limfoma atau barah darah – kedua-dua mereka juga sudah dijemput Ilahi.

Ranjau hidup yang dilaluinya melihat dan menjaga orang-orang tersayang derita akibat barah membakar semangatnya untuk mengatasi penyakit itu sendiri.

“Bila saya diuji dengan barah, pertama sekali saya bergantung pada hubungan saya dengan Allah. Saya ucapkan syukur, saya redha dan terima takdir, kemudian saya minta dipermudahkan urusan dan dibimbing untuk membuat pilihan yang tepat,” kata ibu seorang anak perempuan berusia 27 tahun itu.

“Saya fikir pasti ada sebab Allah memilih saya untuk melalui cabaran ini. Tiga anggota keluarga saya dan suami saya meninggal dunia (akibat barah), jadi ia membuat saya lebih sedar dan bersedia,” tambah beliau.

Cik Rubiah memilih melakukan lumpectomy atau prosedur untuk membuang ketulan barah buah dada yang bersaiz 1.5 sentimeter dalam tubuhnya ketika itu.

Pembedahan tersebut merupakan pembedahan siang hari sahaja dan beliau dibenarkan pulang ke rumah setelah makan tengah hari tanpa perlu bermalaman di hospital, kongsi Cik Rubiah.

Beliau turut melalui 16 sesi kemoterapi dan 15 sesi radioterapi di Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS).

Kini, sudah hampir tiga tahun Cik Rubiah hidup bebas barah. Malah, tahun ini merupakan kali ketiga beliau diberi kesempatan bertemu dengan bulan Ramadan yang mulia sejak didiagnos dengan penyakit itu.

Sepanjang diuji dengan penyakit barahnya, Cik Rubiah berkata terdapat hikmah di sebalik dugaan tersebut.

Setelah bertahun-tahun memendam hasrat mendalami ilmu Al-Quran, wanita yang cukup positif itu dapat melakukannya akhirnya dalam tujuh bulan beliau diletakkan dalam cuti sakit hospital ketika melalui rawatan tiga tahun lalu.

Ini meskipun rancangan awalnya adalah untuk mempelajari kitab suci itu dengan lebih mendalam hanya selepas bersara.

“Allah nak saya dalami ilmu Al-Quran lebih awal rupanya, bukan tunggu sampai usia saya dah 60-an tahun baru nak belajar. Kita pun tak tahu sama ada kita akan hidup sampai usia sedemikian,” katanya.

Selama tujuh bulan itu, Cik Rubiah telah mendaftar bagi beberapa kelas Al-Quran, yang masih diikutinya sehingga hari ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg