Masyarakat Melayu paling kurang jalani pemeriksaan barah
Masyarakat Melayu paling kurang jalani pemeriksaan barah
Pemeriksaan berkurangan bagi barah buah dada, kolorektal dan serviks sebabkan diagnosis lewat, kadar kelangsungan hidup lebih rendah
Masyarakat Melayu mempunyai kadar pemeriksaan barah buah dada, kolorektal dan serviks yang terendah berbanding masyarakat lain di Singapura, menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) terkini.
Ini sekali gus mengakibatkan diagnosis lewat dan kadar kelangsungan hidup yang lebih rendah.
Laporan itu menambah pemeriksaan ini adalah bagi ketiga-tiga program pemeriksaan utama kebangsaan untuk pengesanan awal bagi barah buah dada, kolorektal dan serviks.
NHPS yang diterbitkan pada 2025 itu, menyatakan hanya 18.4 peratus wanita Melayu telah menjalani pemeriksaan barah buah dada pada 2024, berbanding 37.9 peratus wanita Cina dan 30.2 peratus wanita India.
Bahkan, antara 2007 dengan 2024, terdapat penurunan ketara dalam penyertaan pemeriksaan bagi barah buah dada dalam kalangan wanita Melayu merentas semua peringkat pendidikan. Dalam tempoh tersebut, penyertaan pemeriksaan barah buah dada turun daripada 35 peratus kepada 18.4 peratus.
Bagi pemeriksaan barah serviks pula pada 2024, 32.9 peratus wanita Melayu melakukannya – lebih rendah berbanding 47.2 peratus wanita Cina dan 41.6 peratus wanita India.
Sementara itu, hanya 16.4 peratus orang Melayu melakukan pemeriksaan barah kolorektal berbanding 31.8 peratus orang Cina dan 25.7 peratus orang India.
Menekankan kepentingan pemeriksaan barah, Ketua Pegawai Mutu dan Perunding Kanan, Divisyen Onkologi Perubatan, Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), Dr Jack Chan berkata:
“Pemeriksaan barah adalah penting kerana pengesanan awal barah melalui program pemeriksaan meningkatkan peluang rawatan dan kelangsungan hidup dengan ketara, mengurangkan betapa agresifnya rawatan yang diperlukan, sekali gus meningkatkan mutu hidup keseluruhan pesakit barah.”
“Apabila barah dikesan pada peringkat lanjut, pilihan rawatan menjadi terhad, kadar kelangsungan hidup menurun dengan ketara, dan pesakit sering menghadapi hasil yang lebih buruk. Oleh itu, pemeriksaan barah adalah kunci kepada pengesanan dan pencegahan awal, menjadikannya salah satu alat paling ampuh dalam memerangi barah,” tambah beliau.
Menurut laporan tahunan terkini yang diterbitkan Pendaftaran Barah Singapura (SCR), sekitar satu dalam empat penduduk Singapura berkemungkinan menghidap barah menjelang usia 75 tahun.
Barah kini merupakan sebab utama kematian di Singapura, membentuk 26.2 peratus kematian di sini.
Dihubungi Berita Harian (BH), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Dr Md Yusof Ismail, berkata terdapat beberapa sebab yang menghalang masyarakat Melayu daripada membuat pemeriksaan barah.
“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan Persatuan Ain sepanjang tiga tahun ini, bagi barah buah dada, kita mendapati salah satu faktor ialah takut untuk mengetahui, kononnya ‘ignorance is bliss’.
“Kedua, isu berkaitan aurat. Mereka tak ambil tahu sangat, cuma dengar daripada kawan-kawan, sumber tidak rasmi, katanya nanti buah dada didedahkan, mereka tak tahu yang saringan yang dilakukan sebenarnya sangat peribadi, yang lakukan pemeriksaan ke atas mereka pun wanita.
“Ada juga segelintir di mana suami tidak memberi mereka kebenaran untuk buat pemeriksaan buah dada...katanya ini adalah isu takdir, ‘Kalau Allah dah beri sakit, sakitlah. Buat apa nak buat screening?’ Ada pula yang berfikiran ‘tak sakit, jangan cari penyakit’,” kata Encik Yusof.
Dr Chan menambah terdapat juga salah faham di mana orang menganggap hanya mereka yang mengalami gejala atau mempunyai sejarah keluarga sahaja yang patut membuat pemeriksaan barah.
“Kebimbangan kewangan juga menghalang orang ramai daripada menjalani pemeriksaan. Walaupun pemeriksaan barah adalah percuma bagi penduduk Singapura yang layak di bawah SG Lebih Sihat, orang ramai bimbang tentang kos rawatan jika mereka didiagnos dan oleh itu mengelak daripada menjalani ujian,” ujar beliau.
Dr Chan, yang bidang kepakarannya merupakan barah buah dada, berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran tentang barah tersebut serta memperbaiki kadar pemeriksaan dalam kalangan wanita Melayu.
Ini adalah untuk membolehkan pengesanan dan diagnosis awal.
“Pemimpin masyarakat dan agama memainkan peranan penting dalam menghapuskan stigma barah buah dada, menangani salah tanggapan dan menggalakkan pemeriksaan kerap barah buah dada serta rawatan yang tepat pada masanya,” kata Dr Chan.
Encik Yusof juga berkata pendidikan masyarakat penting dan usaha seluruh masyarakat diperlukan.
“Kita mesti gembleng tenaga dan perlukan usaha dari semua pihak - institusi agama seperti masjid, aktivis masyarakat dan ahli politik.
“Asatizah boleh beritahu orang ramai bahawa kita mesti berusaha...ini bukan hanya tentang qada’ dan qadar, kita mesti berusaha untuk mencari kepulihan. Menjaga kesihatan juga adalah tuntutan dalam Islam.
“Selain itu, boleh juga kita selitkan mesej ini dalam khutbah Jumaat untuk mendidik para lelaki tentang pentingnya isteri mereka dan mereka sendiri buat pemeriksaan,” terang Encik Yusof.
Beliau menambah Persatuan Ain telah berganding bahu dengan Persatuan Barah Singapura, Yayasan Barah Buah Dada dan Persatuan Pencegahan Barah 365 untuk membentuk Perikatan Jagaan Barah yang menyatukan usaha untuk meningkatkan kesedaran, memacu pencegahan dan menambah baik akses kepada sokongan penjagaan barah di seluruh negara.
“
“Pemeriksaan barah adalah penting kerana pengesanan awal barah melalui program pemeriksaan meningkatkan peluang rawatan dan kelangsungan hidup dengan ketara, mengurangkan keagresifan rawatan yang diperlukan, sekali gus meningkatkan mutu hidup keseluruhan pesakit barah. Apabila barah dikesan pada peringkat lanjut, pilihan rawatan menjadi terhad, kadar kelangsungan hidup menurun dengan ketara, dan pesakit sering menghadapi hasil yang lebih buruk. Oleh itu, pemeriksaan barah adalah kunci kepada pengesanan dan pencegahan awal, menjadikannya salah satu alat paling ampuh dalam memerangi barah.”“
“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan Persatuan Ain sepanjang tiga tahun ini, bagi barah buah dada, kita mendapati salah satu faktor ialah takut untuk mengetahui, kononnya ‘ignorance is bliss’. Kedua, isu berkaitan aurat. Mereka tak ambil tahu sangat, cuma dengar daripada kawan-kawan, sumber tidak rasmi, katanya nanti buah dada didedahkan, mereka tak tahu yang saringan yang dilakukan sebenarnya sangat peribadi, yang lakukan pemeriksaan ke atas mereka pun wanita. Ada juga segelintir di mana suami tidak memberi mereka kebenaran untuk buat pemeriksaan buah dada... katanya ini adalah isu takdir, ‘Kalau Allah dah beri sakit, sakitlah. Buat apa nak buat screening?’ Ada pula yang berfikiran ‘tak sakit, jangan cari penyakit’.”
