Lebih ramai orang Melayu derita, maut dek barah
Lebih ramai orang Melayu didapati menghidap penyakit barah dan meninggal dunia akibat penyakit tersebut, menurut laporan tahunan terkini yang diterbitkan Pendaftaran Barah Singapura (SCR).
Dapatan itu menunjukkan bilangan kes barah melibatkan masyarakat Melayu telah meningkat kepada 9,493 pada 2019 hingga 2023 berbanding dengan 727 bagi tempoh antara 1968 dengan 1972.
Trend serupa juga diperhatikan bagi jumlah kematian akibat barah, yang naik daripada 330 antara 1968 dengan 1972 kepada 3,705 pada 2019 hingga 2023.
Laporan tersebut menjelaskan dari 2019 hingga 2023, kadar kes barah yang diseragamkan mengikut umur bagi lelaki Melayu ialah 232.1 bagi setiap 100,000 orang.
Ini adalah kenaikan seganda berbanding dengan 96.6 bagi setiap 100,000 orang bagi tempoh 1968 hingga 1972, jelas laporan itu yang diterbitkan pada Disember 2025.
Bagi wanita Melayu pula, kadar kes barah baru meningkat lebih seganda daripada 98.5 kepada 258.2 bagi setiap 100,000 orang, tambah laporan itu.
Kadar peningkatan bagi wanita Melayu bahkan mengatasi wanita Cina, menjadikan wanita Melayu mempunyai kadar kes barah tertinggi antara ketiga-tiga kaum utama Singapura - Cina, Melayu dan India.
Dari 2019 hingga 2023, seramai 4,379 lelaki dan 5,114 wanita Melayu didiagnos dengan penyakit barah.
Ketua Pegawai Mutu dan Perunding Kanan, Divisyen Onkologi Perubatan, Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), Dr Jack Chan, berkata gabungan beberapa faktor menyumbang kepada kadar kes barah dan kematian akibat barah yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Peningkatan kadar obesiti dan kencing manis, gaya hidup tidak aktif, merokok dan pemakanan yang tinggi makanan diproses dan berlemak merupakan faktor risiko utama bagi barah.
“Kurangnya saringan barah disebabkan oleh sensitiviti budaya atau halangan kesedaran memberi kesan kepada kadar pengesanan awal.
“Sikap serta budaya terhadap penyakit, kepercayaan terhadap takdir, atau pemilihan kaedah penyembuhan tradisional juga boleh mempengaruhi tingkah laku mencari penjagaan kesihatan dan mengakibatkan kelewatan dalam mendapatkan diagnosis atau rawatan,” jelas Dr Chan.
Laporan tahunan itu membuat perbandingan dengan data yang terkumpul dari 1968. SCR dibangunkan pada 1967 dengan tujuan mengumpul maklumat tentang semua jenis barah yang didiagnos di Singapura, bermula 1 Januari 1968.
Laporan terkini adalah berdasarkan analisis data barah penduduk Singapura, dari 1 Januari 1968 hingga 31 Disember 2023, tepat sehingga 28 Februari 2025.
Menurut laporan itu, tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan kadar kes barah lebih pesat dalam kalangan orang Melayu, meskipun kaum Cina mempunyai kadar kes barah tertinggi sejak perangkaan dikumpul pada 1968.
Dari segi kadar kematian kasar (CMR) pula, CMR bagi orang Melayu ialah 22.1 pada 1968 hingga 1972 berbanding 134.9 pada 2019 hingga 2023.
CMR lelaki Melayu menunjukkan peningkatan terbesar berbanding lelaki Cina dan India, dengan kadar kematian akibat barah pada 2019 hingga 2023 naik enam kali ganda berbanding pada 1968 hingga 1972.
Kadar kematian yang diseragamkan mengikut umur (ASMR) bagi orang Melayu ialah 45.4 pada 1968 hingga 1972 berbanding 90.1 dari 2019 hingga 2023.
ASMR bagi lelaki Melayu naik lebih seganda dari 45.8 kepada 101.8 bagi setiap 100,000 orang.
Sebagai perbandingan, ASMR bagi lelaki Cina menunjukkan penurunan paling ketara iaitu daripada 140.1 kepada 84.8 bagi setiap 100,000 orang.
Lelaki India pula konsisten mempunyai ASMR terendah antara ketiga-tiga kaum iaitu 56.8 bagi setiap 100,000 orang pada 2019 hingga 2023.
Dalam kalangan wanita pula, orang Melayu menunjukkan peningkatan terbesar dalam kadar kematian kasar berbanding kaum lain.
Berbanding wanita kaum lain, ASMR meningkat hanya bagi wanita Melayu, naik daripada 46.6 kepada 81.5 bagi setiap 100,000 orang sementara perangkaan bagi kaum lain telah merosot.
ASMR bagi wanita Cina turun sedikit daripada 68.2 kepada 59.4 bagi setiap 100,000 orang, sementara ASMR bagi wanita India turun lebih ketara daripada 82.6 kepada 55.6 bagi setiap 100,000 orang.
Menurut laporan itu lagi, kajian setempat mengenai barah buah dada – iaitu barah paling dihidapi wanita – menunjukkan wanita Melayu mengalami prognosis (ramalan tentang penyembuhan) lebih buruk dan kadar kelangsungan hidup lebih rendah berbanding kumpulan etnik lain.
Secara keseluruhan, orang Melayu mempunyai ASMR tertinggi berbanding ketiga-tiga kumpulan etnik bagi tempoh 2013 hingga 2017, iaitu 94.4 bagi setiap 100,000 orang.
Ini merupakan perubahan ketara kerana orang Melayu mempunyai ASMR paling rendah pada tahun 1970-an.
Sebagai perbandingan, ASMR bagi orang Cina dan India mula turun dari 1980-an. ASMR terkini orang Cina ialah 70.7 dan ASMR orang India ialah 55.7 bagi setiap 100,000 orang.
Mengulas lebih lanjut, Dr Chan yang bidang kepakarannya merupakan barah buah dada, menjelaskan wanita Melayu sering didiagnos pada usia yang lebih muda, dengan tumor yang lebih besar dan pada peringkat barah yang lebih lanjut berbanding wanita Cina dan India.
“Pesakit Melayu sering menunjukkan tumor yang lebih agresif, hormone receptor-negative (tidak menerima hormon) dan cepat membesar, yang cenderung untuk kurang bertindak balas terhadap rawatan konvensional.
“Kelaziman tumor agresif yang lebih tinggi dalam kalangan pesakit Melayu menunjukkan mungkin terdapat keperluan untuk pendekatan rawatan yang lebih khusus dan kerjasama yang lebih erat antara penyedia penjagaan kesihatan dan keluarga pesakit untuk menyokong pematuhan kepada pelan rawatan barah yang disyorkan.
“Secara keseluruhan, langkah-langkah ini dapat membantu meningkatkan kadar kelangsungan hidup untuk masyarakat Melayu,” jelas Dr Chan.
Barah kini merupakan sebab utama kematian di Singapura, membentuk 26.2 peratus kematian di sini.
Barah paru-paru merupakan punca kematian utama akibat barah bagi kaum Adam di Singapura dengan 4,033 kes dilaporkan di Singapura dari 2019 hingga 2023. Bagi kaum Hawa pula, barah buah dada merupakan punca utama kematian dek barah, dengan 2,426 kes dilaporkan bagi tempoh yang sama.

