Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pramugari muncul sebagai pelajar jururawat terbaik ITE Kolej Timur

Jul 29, 2024 | 8:03 PM
Cik Sri Mardiah Suharman bersyukur atas sokongan pensyarah beliau semasa menuntut di ITE Kolej Timur.
Cik Sri Mardiah Suharman bersyukur atas sokongan pensyarah beliau semasa menuntut di ITE Kolej Timur. - Foto BH oleh KHALID BABA

Daripada melayani penumpang di angkasa, beliau mengalihkan tumpuan kepada merawat pesakit di wad hospital pula.

Demikian langkah yang diambil Cik Sri Mardiah Suharman, 38 tahun, yang membuat keputusan menjadi jururawat setelah 14 tahun ‘terbang’ bersama Qatar Airways sebagai pramugari.

Menceritakan detik yang mendorong beliau bertukar kerjaya kepada Berita Harian, mantan pengarah perkhidmatan kabin yang berpangkalan di Qatar itu berkata:

“Apabila pandemik Covid-19 berlaku pada 2020, saya dapat peluang kembali ke Singapura.

“Ketika itulah saya membuat keputusan menceburi bidang kejururawatan.”

Beliau mendaftarkan diri di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) untuk mengikuti kursus sepenuh masa Nitec dalam Kejururawatan pada 2021.

Kini, keputusan yang dibuatnya ternyata berbaloi.

Cik Sri Mardiah muncul sebagai pelajar jururawat terbaik dalam kohortnya di ITE Kolej Timur, dengan memenangi Pingat Emas Ngee Ann Kongsi, dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Rotary-ITE semasa majlis penyampaian sijil di ITE Kolej Central di Ang Mo Kio pada 29 Julai.

Majlis itu dihadiri oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

Mengulas pertukaran kerjayanya itu, Cik Sri Mardiah menambah bahawa peralihan tersebut “berbeza sama sekali” dan beliau terpaksa menyesuaikan dirinya dalam mod seorang pelajar, lebih-lebih lagi dalam memberikan tumpuan ketika membuat ulang kaji.

“Oleh kerana saya tidak mendekati buku (untuk belajar) lebih 20 tahun dan kemudian cuba untuk kekal fokus sambil menguatkan daya peringatan saya itu, saya memerlukan lebih usaha dan tumpuan tambahan.

“Saya tidak seperti rakan-rakan yang lebih muda daripada saya kerana saya rasa mereka mempunyai kekuatan memori yang tinggi,” kongsi Cik Mardiah, yang turut cemerlang dalam kegiatan luar darjah semasa di ITE Kolej Timur.

Cik Mardiah juga memimpin pelbagai program di luar darjah semasa terlibat dalam Persatuan Jururawat Singapura di ITE.

Dalam persatuan itu, beliau aktif menghulurkan tenaga dalam program sukarela, seperti bengkel membuat lilin untuk warga emas dan mereka bahan bantuan penjagaan kesihatan pergigian sebagai satu pendekatan masyarakat, di Sekolah Grace Orchard untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Semasa memegang jawatan sebagai presiden persatuan itu, beliau ditugaskan mengetuai pasukan sekitar 21 murid dan guru-guru di kawasan luar bandar Colombo, Sri Lanka, selama sebulan pada Jun 2023.

Selain mengajar kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun kemahiran bantuan kecemasan, beliau juga harus memastikan objektif itu terlaksana.

Kini, Cik Mardiah, yang masih belum berumah tangga, sedang mengikuti kursus Diploma dalam bidang Kejururawatan di Politeknik Ngee Ann.

Apabila ditanya mengenai hasratnya untuk meneruskan pelajaran, beliau berkata “ia bukan hanya soal nak sambung belajar. Ia mengenai usaha untuk meningkatkan kemahiran”.

“Saya mahu meningkatkan kemahiran saya semasa bekerja di hospital... terdapat sesuatu yang indah dalam bidang kejururawatan ini.

“Saya mempunyai pemikiran bahawa jika saya mahu melakukan sesuatu, saya harus mencapainya dengan cemerlang.

“Selain itu, dengan memupuk semangat belajar sepanjang hayat dalam diri saya, saya boleh membaiki kemahiran saya sebagai jururawat pada masa depan,” ujar beliau, sambil mendedahkan bahawa menjadi jururawat memang menjadi salah satu cita-citanya sejak kecil lagi.

Saya mempunyai pemikiran bahawa jika saya mahu melakukan sesuatu, saya harus mencapainya dengan cemerlang. Selain itu, dengan memupuk semangat belajar sepanjang hayat dalam diri saya, saya boleh membaiki kemahiran saya sebagai jururawat pada masa depan.
Cik Sri Mardiah Suharman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg