Sebahagian besar hidupnya, Encik Mohammad Haiqel Mazni, 24 tahun, tinggal di flat sewa satu bilik di Boon Lay bersama ahli keluarganya.
Kehidupan yang dihadapi sememangnya sukar – dibelenggu kesulitan keluarga dan kedudukan kewangan yang kurang ampuh.
Prestasi akademik yang kurang baik turut menyebabkan bekas pelajar menengah Sekolah Menengah Tanglin itu terpaksa berhenti sekolah dan lakukan beberapa pekerjaan sambilan demi membantu menyara keluarga sebelum menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Namun kesukaran hidupnya tidak menghambat Encik Haiqel untuk berjaya tampil sebagai pelajar terbaik untuk Sekolah Elektronik dan Teknologi Infokom di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur dan memenangi Pingat Emas e2i semasa majlis penyampaian sijil pada 29 Julai di ITE Kolej Central di Ang Mo Kio pada 29 Julai.
Hadiah itu disampaikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.
Menurut Encik Haiqel, pada usia 16 tahun, beliau membanting tulang di restoran makanan segera dan di sebuah gudang menguruskan ehwal logistik selama dua tahun.
Anak ketiga empat adik-beradik itu berkata:
“Sebagai seorang anak lelaki tunggal, saya rasa bertanggungjawab untuk membantu. Saya mahu lakukan bahagian saya dan menyokong keluarga saya sebaik mungkin. Ia penting bagi saya demi mereka, dan mereka juga sentiasa menyokong saya,” cerita Encik Haiqel yang masih bujang.
Tahun demi tahun, beliau melihat rakan sebayanya meneruskan pelajaran dan menyusun atur kehidupan masing-masing dengan baik.
Apa yang dilihatnya, menjadi obor yang menguatkan tekadnya untuk melakukan hal serupa.
Berbekalkan minat dalam Teknologi Maklumat (IT) dan komputer, Encik Haiqel mengikuti program Literasi Tempat Kerja dan Celik Angka (WPLN), program anjuran bersama British Council dan SkillsFuture Singapura (SSG).
Menurut Encik Haiqel, beliau ternampak adanya peluang ini semasa melungsuri wadah media sosial Reddit.
Ia membolehkan beliau mengikuti kursus Nitec dalam bidang Teknologi – Teknologi Infokom secara sambilan di ITE Kolej Timur pada 2022.
Sokongan keluarga, terutama sekali bapa tirinya, Mohd Sabri Bin Kasim, 52 tahun, yang dianggap Encik Haiqel berperanan penting dalam membakar semangatnya untuk kembali ke sekolah.
“Bapa tiri saya belikan saya laptop (komputer riba), sebab saya perlu gunakan laptop untuk kursus Infokom ini.
“Keluarga saya menyediakan saya dengan semua keperluan yang diperlukan untuk belajar, dari segi kewangan, dan juga memberi saya tempat tinggal,” kongsi Encik Haiqel.
Tidak dinafikan, perjalanannya di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) adalah mencabar.
“Oleh kerana saya tidak mempunyai pengalaman formal dalam IT, saya perlu belajar di tempat kerja dan turut belajar di kelas secara berturut-turut,” cerita Encik Haiqel lagi tentang usahanya mengimbangi tanggungjawab sebagai seorang pembantu sokongan IT di syarikat Neticol Pte Ltd, sambil menghadiri kelas malam selama tiga jam setiap Isnin hingga Jumaat di ITE Kolej Timur selama dua tahun.
“Disebabkan ini, saya cuba mengamalkan pengurusan masa dengan baik. Walaupun ia sukar, saya cuba untuk membaca buku tentang pengurusan masa. Antaranya ialah membuat jadual dan memperuntukkan masa dengan sepenuh tumpuan tanpa memberi alasan,” ujar beliau.
Kini, beliau bekerja di sebuah institusi kewangan berbilang negara dan pada masa yang sama, jalani latihan dalam Program WSDip di ITE dalam Infrastruktur & Operasi Pusat Data.
“Saya mempunyai sifat ingin tahu tentangnya kerana ia adalah infrastruktur yang sangat penting pada masa kini kerana segala-galanya bergantung pada IT.
“Ia juga salah satu sebab saya memilih kursus sedemikian kerana bagi saya, ia adalah bahagian penting dalam teknologi,” kata beliau yang semasa diwawancara, turut menghargai peranan dua lagi orang penting dalam hidupnya – ibunya, Cik Yusnita Osman, 52 tahun, dan pensyarah beliau di ITE, Encik Muhammad Farhan Mohamed Tohar.
“Melihat ibu mengukir senyuman dengan penuh bangga semasa saya menaiki pentas untuk mendapatkan sijil adalah kenangan yang paling saya tidak akan lupakan.
“Saya juga mempunyai pensyarah yang sangat baik, yang menyokong saya ketika saya merasa tertekan atau meragui kebolehan saya (sendiri). Melalui bimbingan mereka, saya belajar untuk mendorong diri saya dan menemui keyakinan saya,” kongsi beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg