Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Blok kosong HDB di MacPherson dijadikan flat sewa sementara

Mar 28, 2025 | 4:31 PM
Tiga blok HDB kosong di MacPherson Lane yang sebelum ini dipilih untuk pembangunan semula akan disewakan sebagai perumahan sementara di bawah PPHS.
Tiga blok HDB kosong di MacPherson Lane yang sebelum ini dipilih untuk pembangunan semula akan disewakan sebagai perumahan sementara di bawah PPHS. - Foto ST

Tiga blok kosong Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di MacPherson Lane dan telah dirancang untuk pembangunan semula akan digunakan sebagai flat sewa sementara bagi keluarga yang sedang menunggu flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru mereka.

HDB pada Februari lalu telah membuka bidaan untuk kerja-kerja naik taraf Blok 81 hingga 83 MacPherson Lane, yang dipilih di bawah Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers) pada 2018.

Dokumen tender yang diterbitkan di portal perolehan pemerintah GeBiz menyatakan kerja-kerja tersebut akan melibatkan 307 unit flat dua, tiga dan empat bilik di ketiga-tiga blok tersebut.

Kerja-kerja yang dilakukan termasuk mengganti pagar, pintu dan tingkap, serta mengecat dan membaiki semula wayar elektrik. Bidaan tersebut ditutup pada 14 Mac.

HDB memberitahu The Straits Times bahawa tiga blok MacPherson Lane itu akan digunakan untuk Skim Perumahan Sementara bagi Ibu Bapa (PPHS) sehingga akhir 2028, apabila tapak tersebut diperlukan untuk pembangunan semula.

Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS), yang dimulakan pada 2013, menyediakan flat sewa sementara bagi keluarga yang sedang menunggu flat BTO mereka siap, dengan unit diperuntuk melalui undian.

Pasangan berkahwin dengan anak berusia 18 tahun ke bawah dan ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata akan diberi keutamaan.

HDB telah meningkatkan tawaran flat sewa sementara ini daripada 800 unit pada 2021 kepada kira-kira 2,000 unit pada 2024. 

HDB juga bercadang menggandakan jumlah itu kepada 4,000 unit menjelang 2025.

Mereka yang layak memohon flat PPHS mesti mempunyai pendapatan isi rumah bulanan $7,000 atau kurang, dan sedang menunggu flat BTO yang masih dalam pembinaan daripada penjualan HDB.

Walaupun blok-blok di MacPherson Lane itu bakal menempatkan keluarga, 27 unit kedai dan dua tempat makan di kawasan tersebut tidak akan dibuka semula untuk perniagaan.

HDB berkata terdapat kemudahan lain dalam jarak berjalan kaki lima minit, termasuk Grantral Mall, yang menempatkan pasar raya, klinik dan kedai makan.

HDB menyatakan bilangan permohonan di bawah PPHS telah turun dengan ketara – daripada lebih 20 pemohon yang bersaing bagi setiap flat pada 2021, kepada kira-kira tiga pemohon pada 2024.

Pada 2024, kira-kira 1,200 flat ditawarkan melalui pemilihan PPHS, dengan HDB menerima sekitar 3,500 permohonan daripada isi rumah yang layak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg