Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelab masyarakat baru lebih besar di Siglap jelang 2029

Ia bakal dibina di Jalan Tua Kong; 3 kali lebih besar berbanding Kelab Masyarakat Siglap South
Jan 18, 2025 | 1:00 PM
Lukisan artis untuk kelab masyarakat (CC) baru yang bakal menggantikan Kelab Masyarakat Siglap South apabila ia siap dibina menjelang 2029.
Lukisan artis untuk kelab masyarakat (CC) baru yang bakal menggantikan Kelab Masyarakat Siglap South apabila ia siap dibina menjelang 2029. - Foto PERSATUAN RAKYAT (PA)

Kelab masyarakat baru yang lebih besar untuk penduduk Siglap akan dibina menjelang 2029.

Ia bakal dibina di Jalan Tua Kong sepanjang Upper East Coast Road, dan tiga kali lebih besar berbanding Kelab Masyarakat Siglap South di Palm Road yang akan digantinya.

Menurut kenyataan Pejabat Kawasan Undi Joo Chiat (JCCO), kelab masyarakat itu bakal memuatkan dewan sukan lebih besar untuk sukan badminton, pickleball dan bola keranjang, selain sebuah dewan serbaguna yang boleh dijadikan ruang untuk bersenam, pameran dan pasar tani.

Selain itu, kelab masyarakat tersebut akan menampilkan ruang persembahan pentas, studio bermain muzik dan pejabat dikongsi.

Kelab masyarakat itu belum lagi dinamakan.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), jurucakap JCCO berkata pihaknya sedang meneroka beberapa nama yang sesuai dan yang dekat di hati penduduk di sana.

Ia juga perlu mencerminkan ciri-ciri dan warisan kawasan tersebut.

Semasa bertemu media pada 18 Januari, penasihat akar umbi Joo Chiat, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong berkata kelab masyarakat yang baru itu perlu memberi manfaat kepada penduduk.

“Lebih penting daripada reka bentuk yang baik sahaja adalah untuk kelab masyarakat bersepadu baru itu kekal relevan bagi masyarakat kita dan dapat memenuhi keperluan dan aspirasi penduduk kita yang semakin berkembang.

“Projek ini benar-benar dibentuk oleh masyarakat untuk masyarakat,” kata Encik Tong.

Antara 2020 dengan 2024, beberapa ribu penduduk kawasan undi Joo Chiat telah terlibat dalam perundingan melalui dewan bandar, dialog kejiranan, dan perbincangan kumpulan fokus, kata kenyataan itu.

DP Architects, dipilih menerusi tender pada akhir 2023 untuk menghasilkan projek tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif DP Architects, Encik Seah Chee Huang berkata:

“Kami sangat berbangga bukan sahaja dalam mereka bentuk ruang yang mencerminkan aspirasi masyarakat tetapi juga dalam kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pemimpin akar umbi dan penduduk, untuk memperhalusi dan meningkatkan setiap fasa pembangunan.

“Perkongsian kami dalam projek ini adalah salah satu komitmen bersama dengan penduduk Joo Chiat, dan kami kekal berdedikasi untuk memastikan ia berjaya.”

Satu laporan The Straits Times (ST) pada 2023 yang menukil jurucakap Penguasa Darat Singapura (SLA), berkata Kelab Masyarakat Siglap South akan dirobohkan selepas kelab masyarakat baru itu dibina.

Dibina pada 1960, prasarana dan kemudahan di kelab masyarakat itu kian usang, menurut jurucakap tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg