Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelajar melebihi bilik darjah bina sahsiah, yakin diri
Adik-beradik Maryam dan Idris Zulhilmy dapati minat mereka pada seni lukis, persembahan dan silat pupuk disiplin, kreativiti dan perkembangan peribadi
Belajar melebihi bilik darjah bina sahsiah, yakin diri
Di rumah, Maryam Zulhilmy, sembilan tahun, gemar melukis komik. Adiknya, Idris Zulhilmy, tujuh tahun, mencipta wayang kulit, memainkan muzik gamelan menerusi aplikasi iPad dan membuat persembahan untuk keluarga, lengkap dengan nyanyian dalam bahasa Jawa.
Melihat minat mereka, ibu bapa mereka, Encik Zulhilmy Azrin, 35 tahun, dan Cik Nadia Ramlee, 34 tahun, menggalak dan mengasah bakat anak mereka itu.
Maryam kini ahli Kelab Seni bagi Kegiatan Kokurikulum (CCA) sekolah, manakala Idris menyertai Akademi Seni Persembahan Sri Warisan bagi mempelajari seni tarian, muzik dan teater.
Sejak pertengahan 2026, kedua-duanya turut mempelajari seni mempertahan silat di Pendekar Academy.
Bagi pasangan itu, yang ada dua orang lagi anak, berusia lima tahun dan lima bulan, kegiatan sedemikian merupakan sebahagian daripada proses pembesaran anak-anak dan membantu mereka mengembangkan minat dan berkembang secara holistik.
Kegiatan serupa itu bukan memberi anak ruang berkembang mengikut kemampuan dan minat sendiri saja, malah membantu dalam pembentukan sahsiah, dan keupayaan mengurus emosi serta berinteraksi, kata Cik Nadia.
“Ada perkara tidak dapat dipelajari melalui buku saja, tetapi melalui pengalaman bersama orang lain,” katanya.
Encik Zulhilmy berkata Maryam dan Idris tahu membezakan waktu bermain dengan waktu serius, manakala sokongan ibu bapa membantu mereka berasa yakin dan dihargai.
Maryam bercita-cita mencipta kandungan beserta ilustrasi dan animasi rekaannya suatu hari nanti. Idris mahu menjadi pemuzik tradisional dan mencipta kandungan tradisional Melayu untuk dikongsi bersama masyarakat.
DIALOG PERBINCANGAN PENDIDIKAN
Melangkaui kecemerlangan akademik, pendekatan pasangan ibu bapa ini selari dengan penekanan Kementerian Pendidikan (MOE) terhadap pendidikan holistik, dengan sistem pendidikan diperkukuh tahun ke tahun agar memberi lebih peluang kepada pelajar-pelajar untuk meneroka dan mengembangkan minat serta mengenal pasti kekuatan masing-masing.
Bagi mempertingkatkan lagi sistem pendidikan, MOE telah melancarkan siri ‘Perbincangan Pendidikan’ pada awal tahun ini. Siri ini merangkumi sesi libat urus awam yang berterusan untuk memberi peluang kepada orang ramai berkongsi pandangan dan membantu membentuk dasar pendidikan.
Di salah satu sesi libat urus, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, menyertai kira-kira 40 orang belia, ibu bapa, pendidik dan pemimpin masyarakat Melayu/Islam.
Mereka telah membincangkan bagaimana pelajar boleh berkembang di luar pencapaian akademik dan menekankan pentingnya mendengar aspirasi anak-anak, mengiktiraf kekuatan unik mereka, dan mempersiap mereka dengan keyakinan diri dan keupayaan menyesuaikan diri demi masa depan mereka.
Dr Syed Harun berkata: “Kami mengadakan perbincangan secara terbuka dan jujur tentang nilai-nilai yang ingin kami pupukkan dalam anak-anak kita… Kami berharap dapat terus mewujudkan peluang dan memperluaskan takrif kejayaan, di samping menyokong setiap anak muda dalam mencari haluan yang membolehkan mereka berkembang, menyumbang, dan berjaya.”
Orang awam boleh berkongsi pandangan dan idea mereka tentang dasar pendidikan Singapura menerusi laman educationconversations.moe.gov.sg.