Topik diikuti
Pergi ke BHkuDesmond: Budaya saingan akademik perlu diubah
Desmond: Budaya saingan akademik perlu diubah
Menteri Pendidikan tekan pembangunan menyeluruh pelajar seiring persekitaran
Desmond: Budaya saingan akademik perlu diubah
Budaya persaingan akademik yang keterlaluan perlu diubah supaya kanak-kanak dapat berkembang secara menyeluruh dan tidak sekadar mengejar keputusan peperiksaan, tegas Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Beliau berkata usaha mengejar kejayaan, dengan sedikit tekanan yang sihat, boleh menjadi pemangkin kepada anak untuk mencapai potensi lebih tinggi.
Namun, apabila wujudnya budaya persaingan yang keterlaluan dalam masyarakat, keadaan boleh menjadi tidak terkawal.
“Apabila ia melampaui batas, tumpuan terhadap pencapaian akademik boleh menjejas pembangunan menyeluruh anak, manakala tekanan yang tidak sihat pula boleh memadamkan sifat ingin tahu dan kecintaan semula jadi mereka terhadap pembelajaran,” jelasnya.
Encik Lee menekankan demikian dalam satu sesi perbincangan awam pertama, Education Conversations, anjuran Kementerian Pendidikan (MOE) di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 27 Jun.
Sesi tersebut disertai sekitar 160 peserta, terdiri daripada ibu bapa, pendidik, pelajar, ahli akademik dan pemimpin industri yang berkongsi pandangan mengenai masa depan sistem pendidikan Singapura.
Encik Lee menambah Education Conversations, yang telah dimulakan pada April, bertujuan mengumpulkan pandangan rakyat dalam membantu membentuk dasar pendidikan masa depan, sejajar perubahan pesat dunia yang didorong kecerdasan buatan (AI), perubahan landskap pekerjaan dan ketidaktentuan sejagat.
Menurutnya, selain pencapaian akademik, pelajar pada masa depan perlu mempunyai pemikiran kritikal, kreativiti, daya penyesuaian, serta minat untuk terus belajar sepanjang hayat.
Walaupun MOE telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan penekanan berlebihan terhadap keputusan peperiksaan, Encik Lee berkata perubahan dasar sahaja tidak mencukupi jika pemikiran masyarakat tidak turut berubah.
“Sebagai contoh, apabila MOE memansuhkan peperiksaan pertengahan tahun, saya dimaklumkan ada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat tuisyen untuk menduduki peperiksaan pula.
“Langkah yang bertujuan memberi lebih ruang kepada pelajar untuk pembelajaran secara lebih menyeluruh itu akhirnya mendorong sesetengah ibu bapa berfikir: ‘Pada akhirnya, tetap ada peperiksaan. Jadi, saya perlu cari jalan untuk memastikan anak saya bersedia menghadapinya’,” ujarnya.
Encik Lee turut menyentuh tentang kebimbangan yang dibangkitkan mengenai peperiksaan berimpak tinggi seperti Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), serta laluan kemasukan alternatif ke sekolah menengah.
Beliau menerima maklum balas Skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA), yang diperkenalkan bagi mengiktiraf bakat dan kekuatan bukan akademik pelajar, telah mendorong sesetengah ibu bapa menghantar anak mereka ke kelas pengayaan seawal Darjah 1 sebagai persediaan untuk mendapatkan tempat menerusi DSA ketika di Darjah 6.
Dalam ucapan penutupnya, Encik Lee berkata “setiap sistem ada kelemahannya” kerana naluri semula jadi ibu bapa untuk memberikan kelebihan kepada anak masing-masing secara tidak langsung akan mewujudkan tekanan.
Justeru, beliau berkata perubahan budaya yang diperlukan hanya dapat dicapai melalui usaha bersama semua pihak, termasuk ibu bapa yang menekankan usaha dan pembentukan peribadi, majikan yang melihat seseorang secara menyeluruh dan bukan sekadar pencapaian akademik, serta rakan kongsi masyarakat yang menyokong perkembangan kanak-kanak di luar bilik darjah.
