Belanjawan 2025 akan memberikan lebih banyak sokongan untuk membantu isi rumah mengatasi kos sara hidup.
Pada 18 Februari, semasa ucapan Belanjawan, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan langkah-langkah untuk memberi sokongan tambahan kepada keluarga besar, warga emas, keluarga berpendapatan rendah dan individu berkeperluan khas, lapor The Straits Times.
Berikut adalah manfaat yang akan diterima oleh keluarga Singapura.
Untuk semua isi rumah:
1. $800 baucar CDC
Semua isi rumah akan menerima $800 baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) – $500 akan diterima pada Mei dan baki $300 pada Januari 2026.
2. Lebih banyak rebat untuk utiliti
Isi rumah yang layak di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat U-Save sehingga $760 pada 2025 untuk mengurangkan kos utiliti.
Rebat akan diberikan pada April, Julai dan Oktober 2025 serta Januari 2026.
Untuk semua keluarga:
1. $500 kredit untuk setiap anak berusia hingga 12 tahun
Kredit ini boleh digunakan untuk barangan runcit dan utiliti melalui aplikasi LifeSG.
Anak berusia satu hingga 12 tahun pada 2025 akan mendapatnya pada Julai.
Manakala anak yang lahir pada 2025 akan menerimanya pada April 2026.
2. Tokokan $500 untuk akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA)
Pelajar 13 hingga 16 tahun akan mendapat tambah nilai dalam Akaun Edusave, manakala pelajar 17 hingga 20 tahun akan mendapatnya melalui PSEA. Ia akan diberikan pada Julai untuk membantu perbelanjaan pendidikan.
3. Penjagaan kanak-kanak lebih murah
Yuran penjagaan kanak-kanak sehari penuh akan dikurangkan $30 sebulan mulai 2026.
Yuran tersebut akan dihadkan kepada $610 bagi pusat pengendali utama dan $650 bagi pusat pengendali rakan kongsi.
Sokongan sehingga $16,000 setiap anak melalui Skim Keluarga Besar (LFS)
1. Geran Langkah Pertama Digandakan
Ibu bapa akan menerima $10,000 untuk anak ketiga dan seterusnya yang lahir mulai 18 Februari.
2. Tokokan MediSave lebih banyak
Ibu bapa akan mendapat $5,000 melalui akaun MediSave ibu untuk anak ketiga dan seterusnya, untuk kos bersalin dan perubatan.
3. $1,000 setiap tahun dalam kredit LifeSG
Ibu bapa akan menerima $1,000 setiap tahun untuk anak ketiga dan seterusnya sehingga berusia enam tahun.
Kredit ini boleh digunakan untuk perbelanjaan rumah seperti barangan runcit dan utiliti.
Untuk Warga Emas
1. Padanan Tunai untuk Tokokan MediSave (Mulai Januari 2026)
Pemerintah akan padankan setiap dolar tokokan secara sukarela hingga $1,000 setahun untuk warga emas berusia 55 hingga 70 tahun.
2. Program Peningkatan untuk Hartanah Privet
Warga emas yang tinggal di rumah privet boleh mendapatkan peningkatan rumah mesra warga emas mulai 2026.
3. Peningkatan Geran Penjagaan di Rumah (HCG)
Warga emas yang memerlukan bantuan penjagaan akan menerima sehingga $200 lebih dalam geran untuk keperluan penjagaan, berbanding had maksimum $400 yang ada pada masa ini.
Untuk Golongan Berkeperluan Khas
1. Padanan Simpanan Persaraan
Mulai Januari 2026, golongan berkeperluan khas akan mendapat padanan tambah nilai Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
2. Subsidi Perkhidmatan Lebih Tinggi
Subsidi untuk perkhidmatan golongan berkeperluan khas akan dinaikkan, termasuk untuk mereka yang lahir pada 1969 atau lebih awal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg