Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyampaikan Belanjawan 2025 ‘yang dibentuk rakyat untuk rakyat’ pada 18 Februari, di samping menggariskan langkah menangani keprihatinan kos sara hidup dan pelaburan jangka lebih panjang untuk membawa Singapura ke fasa pembangunan seterusnya.
Belanjawan yang dinanti-nantikan ini – dibentangkan beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum selanjutnya – juga adalah Belanjawan pertama yang disampaikan Encik Wong selepas mengangkat sumpah sebagai ketua pemerintah pada Mei 2024.
Malah, Belanjawan yang mewakili fasa kedua usaha Forward SG atau Melakar Hala Tuju Singapura pimpinan Encik Wong ini turut dinanti-nantikan kerana ia disampaikan sedang negara menyambut ulang tahun ke-60 pada 2025.
Belanjawan 2025 yang diumumkan Encik Wong bernilai $143.1 bilion, lebih besar daripada $134.2 bilion yang dibelanjakan dalam tahun kewangan 2024.
Ini sekitar 18.7 peratus Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) negara, dan selaras dengan jangkaan perbelanjaan negara yang dijangka mencecah sekitar 20 peratus GDP pada 2030.
Kedudukan fiskal negara yang lebih kukuh – daripada defisit keseluruhan Belanjawan $2.6 bilion pada tahun kewangan 2023 kepada lebihan $6.4 bilion atau sekitar 0.9 GDP pada FY2024 bermakna Encik Wong mampu membentangkan Belanjawan yang memperuntuk sokongan bagi hampir semua lapisan masyarakat.
Warga Singapura dewasa berusia antara 21 hingga 59 tahun akan menerima baucar SG60 khas sebanyak $600 pada Julai 2025, dengan warga berusia 60 tahun dan ke atas menerima $800. Pekerja juga boleh menikmati rebat cukai pendapatan 60 peratus bagi tahun penilaian 2025, dihadkan kepada $200.
Semua bayi warga Singapura yang lahir pada 2025 pula akan menerima Hadiah Bayi SG60, dengan butirannya diumumkan tidak lama lagi.
Selaras dengan bayangan yang diberikan Encik Wong semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2024, Belanjawan kali ini turut memperuntuk sokongan khas kepada keluarga lebih besar dengan tiga anak.
Ibu bapa boleh menjangka sokongan kewangan tambahan sehingga $16,000 untuk setiap anak ketiga atau selanjutnya melalui Skim Keluarga Besar yang menelan belanja $80 juta setahun untuk pemerintah.
Ini termasuk membiayai Kredit LifeSG Keluarga Besar yang memperuntuk $1,000 setahun untuk anak ketiga dari hari lahir pertama hingga keenam. Wang ini, antara lain, boleh digunakan untuk membeli barangan runcit, membayar bil api air dan tambang pengangkutan.
Selain itu, sekitar 455,000 kanak-kanak warga Singapura berusia 12 tahun dan ke bawah akan menerima Kredit LifeSG Anak sejumlah $500, yang bakal dimasukkan dalam akaun LifeSG ibu bapa atau penjaga masing-masing. Kanak-kanak lebih dewasa – sekitar 300,000 pelajar – yang berusia 13 tahun hingga 20 tahun pula akan menerima tokokan $500 ke dalam akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) masing-masing. Kededua kredit dan tokokan ini merupakan bayaran sekali.
Sementara itu, setiap isi rumah diberikan $800 dalam bentuk baucar CDC untuk membantu membiayai sebahagian kos sara hidup. Penghuni flat HDB pula boleh menjangka Rebat U-Save, antara $440 hingga $760, bergantung pada saiz flat HDB yang dimiliki, selain Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) antara 1.5 hingga 3.5 bulan.
Baucar Iklim yang kini ditambah $100 kepada $400, kini juga diluaskan kepada isi rumah yang tinggal di rumah privet.
Bagi pekerja pula, Belanjawan kali ini mempertingkat sokongan bagi pembelajaran sepanjang hayat, selain menyokong transformasi pekerjaan.
Antara lain, elaun latihan $300 sebulan diperkenalkan mulai awal 2026 untuk membantu pekerja menimba ilmu dalam kursus sambilan tertentu. Geran Pembangunan Tenaga Kerja SkillsFuture pula memperuntuk sokongan pendanaan sehingga 70 peratus untuk mereka semula pekerjaan.
Pemerintah juga memperuntuk lagi $200 juta untuk menyokong Geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) yang diterajui NTUC dan bertujuan membantu syarikat menjalani transformasi dan menambah kemahiran pekerja.
Melabur untuk masa depan, Singapura memperuntuk sebahagian besar Belanjawan ini untuk menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti tokokan $3 bilion kepada Dana Produktiviti Nasional (NPD) dan lagi $1 bilion untuk membina prasarana dalam sektor teknologi perubatan, bio-sains dan pembinaan prasarana pembikinan R&D semikonduktor
Sejumlah $5 bilion juga akan diperuntuk untuk Dana Pembangunan Lapangan Terbang Changi dan lagi $5 bilion kepada Dana Tenaga Masa Depan.
Mengulas lebih lanjut mengenai pembentukan Dana Tenaga Masa Depan, Encik Wong berkata Singapura perlukan sumber kuasa bersih sendiri yang berdaya tahan, dan ia akan mengkaji potensi pelaksanaan kuasa nuklear dan mengambil langkah lanjut untuk membina keupayaan secara sistematik dalam bidang ini.
Sementara itu, Encik Wong turut memperuntuk sebahagian ucapannya kepada usaha memperkukuh identiti nasional dan ikatan dalam masyarakat.
Selain kredit $100 yang akan diberikan kepada warga Singapura, masing-masing untuk mendalami kegiatan kesenian dan bersukan, pemerintah, dengan kerjasama Tote Board, juga akan mengetepikan lebih $600 juta dalam bentuk dana pemadanan untuk menggalak sifat menderma dalam kalangan warga Singapura.
Antaranya, ialah menerusi geran baru iaitu SG Gives bernilai $250 juta yang akan digunakan untuk memadankan setiap dolar yang didermakan kepada Dana Masyarakat, Collective for a Stronger Society dan Cabaran Presiden.
Penderma yang mendermakan jumlah lebih besar, sekurang-kurangnya $250,000 setahun untuk tiga tahun, akan dipadankan dengan $1.50 bagi setiap dolar yang didermakan.
Encik Wong berkata Singapura paling kuat apabila kita semua bersatu.
“Kita mungkin mempunyai perbezaan. Tapi kita semua warga Singapura, hidup di titik merah kecil ini sebagai satu keluarga besar.
“Apabila kita bersatu, tiada cabaran yang tidak boleh kita atasi,” jelas Encik Wong.
Parlimen akan membahaskan Belanjawan dan perbelanjaan semua kementerian mulai 26 Februari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg