Belanjawan 2025 menyediakan sokongan menyeluruh dan inklusif kepada pelbagai segmen masyarakat Singapura, namun masih terdapat sesetengah golongan yang memerlukan lebih banyak bantuan, seperti mereka yang berpendapatan pertengahan.
Berkongsi pandangan dalam sesi podcast bersama Berita Harian (BH), zamil penyelidikan kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, dan pengerusi M³@Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan Tan, mengalu-alukan sokongan yang diumumkan, terutamanya buat keluarga besar dan mereka yang menghadapi cabaran hidup.
Ini termasuk Skim Keluarga Besar yang menyediakan pelbagai sokongan kewangan buat keluarga dengan tiga anak atau lebih, dan kadar bantuan lebih tinggi bagi mereka yang mendapat sokongan daripada Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana (SMTA) ComCare dan Bantuan Jangka Panjang (LTA) ComCare.
Encik Azuan dan Dr Faizal muncul sebagai tetamu dalam episod podcast BHerbual NoTapis, yang turut disertai Editor Berita BH, Encik Nazri Hadi Saparin, dan Koresponden, Cik Irma Kamarudin, untuk membincangkan tentang Belanjawan 2025.
Misalnya, bagi Encik Azuan, seorang bapa tiga anak, berita mengenai Kredit LifeSG Keluarga Besar (LFLC) $1,000 setahun, bagi setiap anak ketiga, dan seterusnya pada tahun-tahun anak-anak itu berumur satu hingga enam tahun, adalah sesuatu yang amat menggembirakan.
“Dengan kredit ini, ia memberikan kelegaan kepada ibu bapa, yang kadangkala perlu berbelanja bagi barangan dan keperluan yang mungkin di luar sekolah. Saya rasa ini betul-betul menarik (buat ibu bapa),” kata beliau.
Namun begitu, kedua-dua beliau dan Dr Faizal, berpendapat ada sesetengah segmen masyarakat yang mungkin masih ‘tersepit’, seperti mereka yang berpendapatan pertengahan dan golongan penjaga, dan memerlukan lebih banyak sokongan melebihi apa yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Antaranya, Encik Azuan mengharapkan lebih banyak insentif untuk golongan penjaga – termasuk bagi anak yang menjaga ibu bapa lanjut usia, dan juga datuk nenek yang membantu menjaga cucu mereka.
“Kadangkala, ada kos perbelanjaan mereka yang kita tak nampak. Contohnya, jika mereka perlu pergi ke doktor atau datuk nenek nak belikan mainan untuk cucu atau bantu bayar yuran kelas pengayaan.
“Ini antara perkara yang dikongsi semasa interaksi kami bersama keluarga dan warga emas,” kata beliau, berkongsi pengalamannya sebagai pengerusi M³@Pasir Ris-Punggol.
Dr Faizal pula menarik perhatian mereka yang berada dalam kategori pendapatan pertengahan juga paling terjejas dengan gangguan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
“Mereka selalunya karyawan atau dalam jawatan pengurus. Mereka lebih menghadapi cabaran gangguan teknologi,” ujar beliau.
Justeru, Dr Faizal menekankan kepentingan untuk meningkatkan kemahiran supaya pekerja dapat terus kekal relevan, dan bagi mereka memanfaatkan kredit dan sokongan lain di bawah gerakan SkillsFuture untuk menyertai kursus latihan.
Namun begitu, dengan ribuan kursus yang sedia ada di luar sana, beliau menambah perlu adanya bimbingan oleh mentor atau pembimbing kerjaya yang berkesan supaya individu mengenal pasti kursus latihan yang paling bermanfaat, relevan dan diperlukan untuk mereka mara dalam kerjaya atau bertukar kerja ke sektor lain.
“Mungkin dewan perniagaan dan persatuan perdagangan boleh membantu memberi bimbingan tentang peranan kerja dan sektor-sektor pertumbuhan baru dan kemahiran yang diperlukan.
“Salah satunya ialah logistik, di mana banyak perubahan telah berlaku dan sektor itu kini banyak memanfaatkan automasi dan AI. Ini bermakna pekerja perlu mempertingkat kemahiran,” kata beliau.
Dengan ketidaktentuan geopolitik, peningkatan dalam perang perdagangan dan lebih banyak negara serata dunia mengambil langkah bersifat perlindungan, Dr Faizal turut mengetengahkan keluhan peniaga, yang terus prihatin tentang kos sewa dan gaji pekerja.
Rebat cukai pendapatan korporat sebanyak 50 peratus dan lebih banyak sokongan gaji bagi membantu syarikat menangani kos sewa dan tenaga kerja yang lebih tinggi, yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, tentu sekali membolehkan peniaga menarik nafas lega, namun Dr Faizal berkata lebih banyak lagi boleh dilakukan.
“Saya mengharapkan pemerintah dapat memberi bantuan lagi untuk turunkan atau untuk beri sokongan dalam tekanan kos sewa, kerana sewa dengan gaji pekerja merupakan dua kos terbesar dalam perniagaan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg