Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belanjawan 2025: Insentif cukai diperkenal galak firma, pengurus dana masuk senarai SGX

Feb 19, 2025 | 3:14 PM
Inisiatif insentif cukai itu adalah sebahagian daripada langkah pertama yang disyorkan oleh Kumpulan Kajian Pasaran Ekuiti.
Inisiatif insentif cukai itu adalah sebahagian daripada langkah pertama yang disyorkan oleh Kumpulan Kajian Pasaran Ekuiti. - Foto ZAOBAO

Insentif cukai akan diperkenalkan untuk menggalakkan lebih banyak syarikat dan pengurus dana agar disenaraikan di Bursa Singapura (SGX) sebagai sebahagian daripada langkah menggalakkan pasaran ekuiti tempatan.

Demikian dinyatakan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 18 Februari.

Terdapat juga insentif cukai untuk pengurus dana yang melabur secara signifikan dalam ekuiti yang disenaraikan di Singapura.

Ini adalah sebahagian daripada langkah pertama yang disarankan oleh Kumpulan Kajian Pasaran Ekuiti, yang ditubuhkan pada Ogos 2024 untuk memperkukuhkan daya tarikan pasaran saham Singapura, lapor The Straits Times.

Encik Wong berkata: “Syarikat yang berkembang mungkin akan disenaraikan di bursa saham untuk mendapatkan lebih banyak modal.

“Syarikat besar sering memilih untuk disenaraikan di luar negara untuk lebih dekat dengan pasaran utama mereka.

“Tetapi, terdapat maklum balas bahawa bursa saham Singapura kurang menarik, walaupun untuk syarikat yang tumpuan mereka adalah pada Singapura dan Asia Tenggara.”

Menurut Encik Wong, beliau menerima cadangan kumpulan semakan yang diketuai oleh Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat. 

Langkah-langkah ini bertujuan menarik lebih banyak penyenaraian di Singapura dan meningkatkan permintaan untuk ekuiti tempatan.

Syarikat yang ingin disenaraikan akan mendapat potongan cukai sebanyak 20 peratus untuk penyenaraian utama dan 10 peratus untuk penyenaraian sekunder.

Rebat itu akan dihadkan kepada $6 juta setahun bagi syarikat dengan had pasaran sekurang-kurangnya $1 bilion. 

Untuk syarikat dengan had pasaran kurang $1 bilion, rebat dihadkan kepada $3 juta setahun. 

Syarikat yang menerima rebat perlu kekal disenaraikan selama lima tahun.

Skim itu dibuka hingga 31 Disember 2027.

Kedua, pengurus dana baru yang disenaraikan di Singapura untuk mengumpul dana awam akan mendapat kadar cukai 5 peratus ke atas pendapatan yang layak, jika mereka kekal disenaraikan di SGX selama lima tahun. 

Mereka juga perlu mengagihkan sebahagian keuntungan sebagai dividen dan memenuhi syarat profesional dan aset minimum.

Skim itu dibuka hingga 31 Disember 2028. 

Akhir sekali, pengurus dana yang melabur dengan banyak dalam saham yang disenaraikan di Singapura akan mendapat pengecualian cukai. 

Dana baru perlu melabur sekurang-kurangnya 30 peratus daripada aset mereka dalam saham yang disenaraikan di Singapura untuk mendapat pengecualian cukai.

Dana sedia ada juga perlu memenuhi syarat yang sama, selain mempunyai aliran masuk bersih tahunan, sekurang-kurangnya 5 peratus daripada aset dana pada tahun sebelumnya. 

Skim itu juga dibuka hingga 31 Disember 2028. 

Encik Wong berkata butiran lanjut akan dikongsi dalam beberapa hari akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg