Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hasil pendapatan S’pura lebih baik daripada jangkaan pada 2024; raih lebihan $6.4b

Feb 18, 2025 | 9:17 PM
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata hasil pendapatan Singapura bagi tahun kewangan (FY) 2024 adalah ‘lebih baik daripada jangkaan’, sebahagian besarnya disebabkan peningkatan hasil pendapatan daripada kutipan cukai pendapatan korporat.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata hasil pendapatan Singapura bagi tahun kewangan (FY) 2024 adalah ‘lebih baik daripada jangkaan’, sebahagian besarnya disebabkan peningkatan hasil pendapatan daripada kutipan cukai pendapatan korporat. - Foto ST

Hasil pendapatan Singapura bagi tahun kewangan (FY) 2024 adalah lebih baik daripada jangkaan, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan pendapatan daripada kutipan cukai pendapatan korporat, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Menggariskan kedudukan fiskal Singapura semasa ucapan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 18 Februari, Encik Wong berkata pemerintah menjangkakan lebihan sebanyak $6.4 bilion menjelang akhir FY2024, jauh lebih tinggi berbanding $0.8 bilion yang diunjurkan semasa Belanjawan 2024.

Walaupun terdapat peningkatan besar dalam lebihan tersebut, Encik Wong berkata masih terdapat “ketidakpastian yang besar” tentang bagaimana pendapatan pemerintah ini akan berkembang pada tahun-tahun mendatang.

“Ini adalah perubahan yang tidak dijangka. Cukai pendapatan korporat kini merupakan penyumbang tunggal terbesar kepada jumlah pendapatan, lebih besar daripada Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC).

“Masih terlalu awal untuk menentukan sama ada peningkatan dalam kutipan cukai pendapatan korporat baru-baru ini adalah sementara atau trend berkekalan,” kata Encik Wong.

Bagi FY2024, Singapura mengutip $30.9 bilion dalam kutipan cukai pendapatan korporat, jauh lebih tinggi daripada $28 bilion yang diunjurkan semasa Belanjawan 2024.

Angka ini juga jauh lebih tinggi daripada $24 bilion yang dikutip berbanding NIRC pada FY2024.

Beliau menambah kutipan cukai pendapatan korporat dianggarkan mencecah 4.1 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada FY2024, lebih tinggi daripada 3.2 peratus pada tahun lalu (2024).

Beliau menambah peningkatan dalam kutipan cukai pendapatan korporat boleh dikaitkan dengan beberapa sebab, seperti faktor kitaran khusus industri kewangan dan perdagangan borong.

Ia juga mungkin disebabkan perubahan dalam keputusan pelaburan yang dibuat oleh syarikat berbilang negara (MNC), tambahnya, ketika syarikat mencari pusat yang stabil dan boleh dipercayai seperti Singapura untuk menjalankan kegiatan nilai tinggi mereka.

Encik Wong menambah walaupun pendapatan Singapura telah meningkat, pemerintah juga telah membelanjakan lebih banyak untuk rakyat Singapura.

“Sebagai contoh, kami menyediakan $3 bilion dalam tokokan MediSave pada Disember tahun lalu (2024), yang akan membantu bagi menampung kenaikan premium MediShield Hayat untuk membiayai perlindungan yang lebih baik dan pembayaran lebih tinggi.

“Kami juga memperuntukkan sumber untuk projek peningkatan daya saing ekonomi, termasuk membangunkan prasarana kritikal seperti Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, dan untuk peralihan tenaga,” kata Encik Wong.

Bagi FY2025, Encik Wong berkata pemerintah menjangkakan kedudukan fiskal yang sama, dengan lebihan $6.8 bilion, atau pada 0.9 peratus daripada GDP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg