Perniagaan berdepan kenaikan kos sewa dan pekerja.
Untuk membantu perniagaan menangani kenaikan itu, pemerintah menyediakan rebat 50 peratus bagi cukai pendapatan korporat.
Syarikat yang aktif dan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja tempatan akan menerima sekurang-kurangnya $2,000 dan manfaat yang bakal diraih setiap syarikat dihadkan kepada $40,000.
Untuk menarik pelaburan bermutu, Singapura perlu memastikan bidang teknologi dan inovasi kekal berdaya saing.
Walaupun tidak dapat beroperasi mengikut skala negara lain seperti Amerika Syarikat, Singapura tetap mempunyai kekuatan tersendiri dalam beberapa bidang seperti semikonduktor, cip DNA dan sektor sains kehidupan.
Demi mempertingkat keupayaan teknologi dan inovasi Singapura, pemerintah akan menambah $3 bilion kepada Dana Produktiviti Kebangsaan untuk mempertajam kekuatan daya saing global Singapura.
Sekitar $1 bilion akan diperuntukkan demi pembangunan prasarana Penyelidikan dan Pengembangan (R&D) Singapura, yang memperkasakan daya inovasi dan teknologi.
Dana tersebut akan digunakan untuk menyuntik tenaga baru bagi prasarana penyelidikan teknologi perubatan dan biosains. Ia juga akan digunakan untuk membina kemudahan fabrikasi R&D semikonduktor kebangsaan baru.
Demi memastikan Singapura kekal sebagai laluan kritikal demi perjalanan dan perdagangan sejagat, pemerintah akan menambah $5 bilion kepada Dana Pembangunan Lapangan Terbang Changi, dan menyiapkan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi yang bakal meningkatkan kapasiti lapangan terbang negara ini lebih 50 peratus.
Dalam usaha memastikan Singapura dapat memenuhi keperluan tenaga demi pembangunan masa depan, pemerintah akan menambah $5 bilion kepada Dana Tenaga Masa Depan.
Dana itu akan digunakan untuk membina prasarana yang akan membolehkan Singapura memanfaatkan tenaga bersih pilihan alternatif seperti hidrogen, mengimport elektrik dan juga nuklear.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg