Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belanjawan 2025: Lebih sokongan bagi pekerja pertengahan kerjaya, gaji rendah

Elaun bulanan $300 bagi pekerja pertengahan kerjaya jalani latihan sambilan
Feb 18, 2025 | 10:09 PM
Cik Zarina Abdul Rahman, yang bekerja sebagai pentadbir pejabat sepenuh masa dengan agensi pengambilan sejagat, Randstad Sourceright, bergelut dengan perbelanjaan tambahan setiap bulan untuk pengangkutan dan perbelanjaan lain bagi menghadiri kursus sambilannya.
Cik Zarina Abdul Rahman, yang bekerja sebagai pentadbir pejabat sepenuh masa dengan agensi pengambilan sejagat, Randstad Sourceright, bergelut dengan perbelanjaan tambahan setiap bulan untuk pengangkutan dan perbelanjaan lain bagi menghadiri kursus sambilannya. - Foto NYP

Selama tiga kali seminggu, Cik Zarina Abdul Rahman, 44 tahun, bergegas pergi dari tempat kerjanya di Raffles Place ke Ang Mo Kio untuk menghadiri kursus diploma sambilan di Politeknik Nanyang (NYP) yang dikendalikan pada waktu malam.

Ibu tunggal tiga anak itu, yang bekerja sebagai pentadbir pejabat sepenuh masa dengan agensi pengambilan sejagat, Randstad Sourceright, bergelut dengan perbelanjaan tambahan setiap bulan untuk pengangkutan dan perbelanjaan lain untuk menghadiri kursus sambilannya.

“Ia merupakan perjalanan yang penuh cabaran tetapi membuahkan hasil, kerana saya perlu mengimbangi komitmen kerja, keluarga dan sekolah.

“Sebagai ibu tunggal, pekerjaan sepenuh masa saya dapat menampung biaya rumah dan keluarga kecil saya sehingga hari ini. Itulah sebab mengapa saya tidak dapat melanjutkan pelajaran sepenuh masa,” kata Cik Zarina, yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tiga bilik di Bedok.

Bagi ramai pekerja pertengahan kerjaya seperti Cik Zarina, menjalani kursus sambilan adalah satu-satunya pilihan untuk meningkatkan kemahiran, memandangkan pekerjaan mereka tidak membenarkan fleksibiliti untuk mengambil kursus sepenuh masa.

Namun, bagi golongan ini, mereka boleh berasa lega kerana mereka bakal menikmati elaun tetap sebanyak $300 sebulan untuk membiayai perbelanjaan bagi pembelajaran mereka menerusi penambahbaikan kepada Program Peningkatan SkillsFuture mulai awal 2026.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada 18 Februari semasa ucapan Belanjawan 2025 di Parlimen.

“Sesetengah rakyat Singapura memilih untuk terus bekerja sambil meningkatkan kemahiran secara sambilan.

“Oleh itu, kami akan melanjutkan elaun latihan kepada latihan sambilan,” kata Encik Wong.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, membentangkan ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari di Parlimen.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, membentangkan ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari di Parlimen. - Foto ST

Beliau menambah elaun latihan sambilan akan dilaksanakan pada awal 2026, dan butiran lanjut akan dikongsi semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Menteri Pendidikan (MOE).

Pada masa ini, hanya warga Singapura berumur 40 tahun dan ke atas, yang mendaftar dalam kursus sepenuh masa terpilih, layak mendapat elaun latihan bulanan sehingga $3,000 yang dibuka untuk permohonan mulai Mac.

Elaun itu berdasarkan 50 peratus daripada purata pendapatan seseorang sepanjang tempoh 12 bulan terkini yang tersedia, dihadkan pada $3,000 sebulan, sehingga 24 bulan sepanjang hayat individu.

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, berkata beliau mengalu-alukan pengumuman itu dan menyeru lebih ramai golongan pertengahan kerjaya untuk menggunakan peluang itu untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, berkata beliau mengalu-alukan pengumuman itu dan menyeru lebih ramai golongan pertengahan kerjaya untuk menggunakan peluang itu bagi meningkatkan kemahiran mereka.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, berkata beliau mengalu-alukan pengumuman itu dan menyeru lebih ramai golongan pertengahan kerjaya untuk menggunakan peluang itu bagi meningkatkan kemahiran mereka. - Foto fail

“Saya harap ramai akan mengambil iktibar untuk memilih dan melalui kursus-kursus yang boleh menolong mereka mempertingkat kemahiran mereka.

“Seperti PM Wong katakan, persekitaran global sekarang semakin mencabar. Banyak sektor yang akan menghadapi gangguan.

“Jadi penting untuk pekerja-pekerja Melayu/Islam kita untuk memahami situasi, dan mempertingkatkan diri mereka melalui kursus-kursus pertengahan kerjaya yang ada,” kata Encik Saktiandi.

Program Peningkatan SkillsFuture kali pertama diumumkan Encik Wong semasa ucapan Belanjawan 2024 untuk menyokong pekerja pertengahan kerjaya bagi meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dalam ekonomi yang semakin berubah.

Di bawah program itu, warga Singapura berumur 40 tahun dan ke atas akan menerima kredit SkillsFuture sebanyak $4,000 untuk mengimbangi yuran kursus yang perlu ditanggung untuk kursus terpilih yang mempunyai hasil kebolehpasaran yang lebih baik.

Bagi Cik Zarina yang mengambil kursus Diploma Amalan Perniagaan (Hubungan Pelanggan dan Pengurusan Perkhidmatan), beliau berkata sokongan itu akan membantu meringankan beban kewangannya, lebih-lebih lagi dengan kos pengangkutan ke sekolah.

“Saya fikir ia adalah satu usaha besar daripada pemerintah kerana ia membantu mengurangkan beban kewangan di samping pekerja meningkatkan kemahiran dan kekal relevan dalam tenaga kerja, terutama sekali bagi ibu tunggal seperti saya.

“Saya fikir elaun latihan bulanan pastinya akan membantu pekerja pertengahan kerjaya yang merancang untuk meningkatkan kemahiran diri tetapi takut untuk menjalaninya atas sebab kewangan atau keluarga,” kata Cik Zarina.

Naib presiden (Asean) syarikat awan, Cloudflare, Encik Kenneth Lai, berkata pelaburan tambahan ke dalam Program Peningkatan SkillsFuture akan membantu mengatasi jurang kemahiran teknologi sedia ada dan menangani masalah kekurangan bakat.

“Peningkatan kepada program SkillsFuture akan memudahkan karyawan pertengahan kerjaya untuk memperbaiki semula set kemahiran mereka dalam bidang kritikal seperti keselamatan siber, lantas membuka kunci sumber bakat tambahan.

“Lanjutan elaun latihan kepada latihan sambilan juga akan memberikan peningkatan fleksibiliti untuk karyawan yang kesuntukan masa yang ingin mengambil kemahiran tambahan,” kata Encik Lai.

Naib presiden (Asean) syarikat awan, Cloudflare, Encik Kenneth Lai, berkata pelaburan tambahan ke dalam Program Peningkatan SkillsFuture, akan membantu mengatasi jurang kemahiran teknologi sedia ada dan menangani masalah kekurangan bakat.
Naib presiden (Asean) syarikat awan, Cloudflare, Encik Kenneth Lai, berkata pelaburan tambahan ke dalam Program Peningkatan SkillsFuture, akan membantu mengatasi jurang kemahiran teknologi sedia ada dan menangani masalah kekurangan bakat. - Foto CLOUDFLARE

Sokongan untuk pekerja bergaji rendah

Semasa ucapannya, Encik Wong juga mengumumkan peningkatan Skim Bantuan Kemahiran Daya Kerja untuk pekerja bergaji rendah yang akan memberi manfaat kepada pekerja bergaji rendah berumur 30 tahun dan ke atas, yang berminat untuk mengikuti kursus yang lebih panjang.

Pada masa ini, skim tersebut direka untuk menyokong pekerja bergaji rendah yang mengikuti kursus jangka pendek, yang berlangsung selama beberapa hari sahaja.

Dengan peningkatan itu, pekerja bergaji rendah akan mendapat lebih banyak manfaat daripada kursus yang lebih panjang, yang menyediakan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran yang lebih substantif, kata Encik Wong.

“Pemerintah komited sepenuhnya untuk menyokong kebolehpasaran sepanjang hayat pekerja. Kita tidak boleh menghentikan gelombang inovasi teknologi, dan juga tidak dapat menyelamatkan setiap pekerjaan yang sedia ada.

“Tetapi kita boleh dan akan melabur dalam setiap pekerja dan menyokong setiap warga Singapura. Kami akan melengkapkan semua orang dengan kemahiran untuk menyesuaikan diri, bersaing dan berjaya dalam ekonomi yang saling berubah,” kata Encik Wong.

Encik Wong menambah bahawa butiran lanjut tentang sokongan akan dikongsi semasa perbahasan COS Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Sokongan untuk syarikat jalani transformasi

Bagi menyokong syarikat menyusun semula dan menaik taraf tenaga kerja mereka, pemerintah akan memperkenalkan Geran Pembangunan Tenaga Kerja SkillsFuture baru, yang akan menyediakan pembiayaan sehingga 70 peratus kepada syarikat dalam menyusun semula pekerjaan mereka.

Pemberian baru itu akan menyatukan skim sedia ada yang ditadbir oleh Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan SkillsFuture Singapura, dan memudahkan proses permohonan untuk syarikat, kata Encik Wong.

Pemerintah juga akan menyuntik $10,000 ke dalam Kredit Perusahaan SkillsFuture bagi setiap majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga pekerja di Singapura, sebagai sebahagian usaha menjadikan skim kredit lebih mudah diakses oleh majikan.

Skim itu, yang membantu majikan membiayai kos sendiri untuk transformasi perusahaan dan tenaga kerja, pada masa ini, memerlukan syarikat membayar pendahuluan untuk latihan kakitangan dan menunggu pembayaran balik.

Dengan skim kredit yang diperbaharui, syarikat boleh memanfaatkan kredit yang akan beroperasi seperti dompet dalam talian, dan dengan mudah menyemak jumlah kredit yang mereka miliki.

Kredit baru itu akan tersedia pada separuh kedua 2026, dan akan berlangsung selama tiga tahun. Syarikat masih boleh menggunakan kredit semasa, yang akan dilanjutkan sehingga kredit baru itu sedia dilaksanakan.

“Mereka akan dapat menggunakan kredit tersebut untuk mengimbangi kos yang perlu ditanggung serta-merta untuk inisiatif dan kursus transformasi tenaga kerja yang layak, dan bukannya berbuat demikian atas dasar pembayaran balik,” kata Encik Wong.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon, mengalu-alukan peralihan daripada model pembayaran balik kepada struktur berasaskan dompet untuk menangani cabaran utama yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (SME).

Beliau menambah usaha pemerintah untuk memperhalusi skim berdasarkan maklum balas industri adalah “menggalakkan”.

“Kredit Perusahaan SkillsFuture dan Geran Pembangunan Tenaga Kerja SkillsFuture yang dipertingkatkan adalah berdasarkan cadangan daripada Perikatan untuk Bertindak bagi Daya Saing Perniagaan kami.

“Dan adalah dialu-alukan langkah untuk menyokong pendekatan holistik kepada tenaga kerja dan transformasi perusahaan,” kata Encik Kok.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon, mengalu-alukan peralihan daripada model pembayaran balik kepada struktur berasaskan dompet untuk menangani cabaran utama yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon, mengalu-alukan peralihan daripada model pembayaran balik kepada struktur berasaskan dompet untuk menangani cabaran utama yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (SME). - Foto fail

Semasa ucapannya, Encik Wong juga mengumumkan peruntukan tambahan $200 juta untuk menyokong geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), sebagai sebahagian usaha membantu lebih banyak syarikat berubah.

Pemerintah juga akan mengembangkan geran CTC untuk menyokong latihan yang diterajui majikan yang membawa kepada kelayakan atau pensijilan rasmi.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), naib presiden NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab berkata sokongan pemerintah menunjukkan bahawa mereka “melihat nilai dalam perkara ini”.

“CTC bukan sekadar menghantar pekerja untuk latihan tetapi nilai yang dibawanya kepada pekerja. Sekarang kita tahu bahawa pekerjaan hari ini berbeza dari sebelumnya.

“Kami juga mahu syarikat kecil menggunakan geran ini, kerana mereka adalah syarikat yang sempit dari segi kewangan, jadi mereka harus memanfaatkan geran ini,” kata Encik Abdul Samad.

Anggota Jawatankuasa Pusat NTUC, Encik Sazali Zainal berkata beliau berharap lebih banyak SME akan turut memanfaatkan geran itu.

Beliau menambah pemberian tambahan CTC adalah langkah yang baik oleh pemerintah kerana syarikat akan dapat menjimatkan 70 peratus daripada kos projek itu, termasuk yuran latihan.

Sejak pelancaran inisiatif itu pada 2019, NTUC telah menubuhkan lebih daripada 2,700 CTC, dengan hampir empat daripada lima adalah SME.

Ia juga telah menyokong lebih daripada 400 projek transformasi, yang akan memanfaatkan lebih 7,000 pekerja dengan prospek kerja yang lebih baik, kata Encik Wong.

Sokong pekerja warga emas, pesalah

Encik Wong juga mengumumkan lanjutan pada Kredit Pekerjaan Warga Emas (SEC) selama setahun hingga akhir 2026, yang akan menyediakan pengimbangan gaji untuk majikan yang mengupah warga emas Singapura, berumur 60 tahun dan ke atas, yang berpendapatan kurang daripada $4,000 sebulan.

Umur kelayakan untuk peringkat sokongan gaji tertinggi SEC juga akan dinaikkan daripada 68 tahun kepada 69 tahun.

Pemerintah juga akan membayar balik syarikat sehingga tujuh peratus daripada gaji yang mereka bayar kepada pekerja berumur 69 tahun dan ke atas, kata Encik Wong.

Bagi pekerja berumur 55 hingga 65 tahun ke atas, Encik Wong berkata pemerintah akan meningkatkan kadar caruman CPF sebanyak 1.5 mata peratusan pada 2026.

Pemerintah juga akan terus menyediakan pengimbangan peralihan CPF kepada majikan untuk setahun lagi bagi menampung separuh daripada kenaikan caruman majikan untuk 2026, kata Encik Wong.

“Dengan langkah ini, pekerja warga emas boleh membina simpanan persaraan mereka dan perniagaan akan mendapat sokongan berterusan daripada pemerintah untuk mengurangkan kesan ke atas kos perniagaan,” kata Encik Wong.

Semasa ucapannya, Encik Wong berkata pemerintah akan melanjutkan Kredit Peningkatan Pekerjaan (UEC) dari akhir 2025, hingga akhir 2028 untuk menggalakkan lebih ramai majikan mengambil bekas pesalah.

Dengan UEC, majikan akan diberikan imbangan gaji sehingga 20 peratus daripada gaji bekas pesalah tempatan untuk sembilan bulan pertama pekerjaan, dihadkan pada $600 sebulan bagi setiap pekerja.

“Rakyat Singapura adalah teras kepada semua yang kami lakukan. Kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk membangunkan dan merealisasikan potensi semua rakyat kami.

“Supaya mereka merealisasikan aspirasi dan impian mereka untuk diri mereka dan keluarga mereka,” kata Encik Wong. – Laporan tambahan DAHLIA ZULKIFLI dan Syed Muhammad Firdaus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg