Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan bagi warga emas dipertingkat, sejajar dengan penduduk menua

Bantuan tumpu pada kos penjagaan jangka panjang dengan campuran sokongan antara bayaran bersama, subsidi pemerintah dan insurans
Feb 18, 2025 | 8:11 PM
(Dari kiri) Cik Fareha Mohd Jaafar, Encik Mohamad Rihat Mohamad Tahir, Cik Aminah Puteh (duduk), dan pembantu rumah Cik Indriani.
(Dari kiri) Cik Fareha Mohd Jaafar, Encik Mohamad Rihat Mohamad Tahir, Cik Aminah Puteh (duduk), dan pembantu rumah Cik Indriani. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dengan usia semakin meningkat dan tenaga berkurangan, ia menjadi lebih mencabar untuk menjaga ibu yang sedang sakit.

Itulah keadaan yang dihadapi pasangan suami isteri Encik Mohamad Rihat Mohamad Tahir, 78 tahun, dan Cik Fareha Mohd Jaafar, 60 tahun, yang tidak lagi sekuat dulu untuk menguruskan ibu Cik Fareha, Cik Aminah Puteh, 88 tahun.

Kededua pasangan itu tidak bekerja dan hanya bergantung kepada wang simpanan, lantas mereka sekeluarga perlu bijak menguruskan wang.

Cik Aminah mula menghadapi masalah kesihatan selepas dimasukkan ke hospital pada September 2024.

Beliau menghidapi pelbagai penyakit antaranya kencing manis, angin ahmar ringan dan kemurungan.

Cik Aminah Puteh, 88 tahun, menghidap pelbagai penyakit antaranya kencing manis, angin ahmar ringan dan kemurungan.
Cik Aminah Puteh, 88 tahun, menghidap pelbagai penyakit antaranya kencing manis, angin ahmar ringan dan kemurungan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Apabila ditanya Berita Harian (BH) mengenai jumlah keperluan bulanan bagi ibunya, Cik Fareha berkata angka itu mampu mencecah sehingga $2,000 – merangkumi susu, lampin dan kos perubatan.

Setakat ini, Cik Fareha tidak bekerja dan mengambil tempahan membuat kuih dan menjahit jika berkelapangan.

Encik Rihat pula pernah bekerja sebagai pegawai kargo di Lapangan Terbang Changi dan bersara pada 2008. 

Namun, usaha mereka diringankan dengan kehadiran pembantu rumah, yang ditaja anak saudara mereka serta bantuan seperti MediFund dan daripada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).

Berkongsi lebih lanjut, Cik Fareha berkata jika hanya pasangan itu yang menjaga ibunya, ia sukar dan mampu memberi tekanan.

Mujur, anak saudaranya secara sukarela ingin membantu untuk menampung khidmat pembantu rumah.

“Kalau pembantu tidak ada, memang akan rasa tekanan dan saya tidak ingin tekanan itu dirasai anak dan ibu saya.

“Penat itu penat, bohong jika orang kata tidak penat. Tetapi saya harap jika terjadi apa-apa kepada saya, anak saya mampu menjaga saya sepertimana yang telah saya lakukan,” jelas Cik Fareha.

Menjaga Cik Aminah bermakna mereka sekeluarga perlu mengeluarkan lebih banyak wang kerana perubatannya mahal, ujar Cik Fareha yang sudah menginap di Pasir Ris selama 36 tahun.

“Perubatan boleh cecah sehingga $100 seminggu dan sebotol susu jenama ‘Diben’ (untuk menambah protein) berharga $5.

“Lampin dan susu sahaja boleh mencecah $1,000 sebulan. Ini tidak termasuk ubat-ubatannya,” jelas Cik Fareha yang berkata Cik Aminah memerlukan 120 botol susu sebulan untuk mendapatkan protein yang secukupnya.

Susu jenama ‘Diben’ yang diperlukan Cik Aminah.
Susu jenama ‘Diben’ yang diperlukan Cik Aminah. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Namun, dengan bantuan Medifund, mereka hanya perlu membayar 20 peratus bagi keperluan tersebut.

Setiap bulan, mereka juga menerima bantuan wang daripada AIC yang digunakan untuk membayar keperluan seperti kerusi roda, katil khas, alat membaca tekanan darah dan oksimetri, yang mengukur tahap oksigen dalam darah. 

Dengan bantuan seperti MediFund dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), ia mampu meringankan kos Cik Fareha dalam membeli keperluan ibunya seperti kerusi roda, susu, dan lampin.
Dengan bantuan seperti MediFund dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), ia mampu meringankan kos Cik Fareha dalam membeli keperluan ibunya seperti kerusi roda, susu, dan lampin. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dalam Ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan beberapa langkah untuk membantu warga emas.

Encik Wong berkata: “Dengan penduduk yang semakin menua, kita perlu bekerja keras untuk menguruskan kenaikan kos penjagaan jangka panjang dan memastikan campuran sokongan pembiayaan yang baik antara bayaran bersama, subsidi pemerintah dan insurans.”

Pemerintah akan meningkatkan sokongan untuk kos penjagaan jangka panjang bagi warga emas yang berada di rumah perkhidmatan, di rumah sendiri dan di kemudahan masyarakat, penjagaan bermula 2026.

Subsidi sedia ada untuk perkhidmatan penjagaan jangka panjang akan meningkat sehingga 15 mata peratusan.

Subsidi tambahan sebanyak 5 hingga 15 mata peratusan juga akan diperkenalkan untuk warganegara Singapura yang lahir pada 1969 atau lebih awal.

Subsidi yang diberikan melalui Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Emas akan ditingkatkan, bagi menampung kos yang semakin meningkat untuk barangan penjagaan kesihatan di rumah seperti lampin dewasa, serta barangan lain di bawah kategori itu.

Pendapatan PCIH yang layak untuk skim ini akan dinaikkan kepada $4,800 untuk meliputi lebih banyak isi rumah.

Sokongan lain termasuk mempertingkatkan Geran Penjagaan di Rumah (HCG) – sokongan bagi penjaga warga emas di rumah – kepada maksimum $600, mulai April 2026.

Isi rumah per kapita (PCHI) yang berpendapatan kurang daripada $1,500 akan menerima $600 berbanding kadar sebelum ini iaitu $400.

PCHI antara $1,501 hingga $3,600 pula akan menerima $400 berbanding $250 sekarang.

Encik Wong turut mengumumkan kelayakan maksimum PCHI akan dinaikkan kepada $4,800, agar lebih banyak penjaga dapat menerima sokongan.

PCHI antara $3,601 hingga $4,800 akan menerima $200.

Peningkatan Bagi Warga Emas Aktif (Ease) – program naik taraf yang menawarkan pemasangan peralatan mesra warga emas dan penyelesaian kemudahan seperti tanjakan kepada keluarga HDB yang layak – juga akan diluaskan kepada kediaman swasta pada 2026.

Selain itu, Skim MediSave Yang Dipadankan diperkenalkan pada 2026 untuk membantu warga emas berusia 55 hingga 70 tahun, yang berpendapatan rendah dan mempunyai baki MediSave kurang daripada separuh daripada jumlah asas untuk penjagaan kesihatan atau Basic Healthcare Sum.

Skim selama lima tahun itu akan menyaksikan pemerintah memadankan satu dolar kepada setiap satu dolar yang ditambah secara sukarela kepada MediSave mereka sehingga had tahunan sebanyak $1,000.

Dalam pada itu, Encik Rihat mengalu-alukan lebih banyak bantuan diberikan kepada warga emas khususnya bagi mereka yang sudah tidak bekerja dan juga merupakan penjaga.

Ini turut disokong Cik Fareha yang menyatakan wang simpanan akan semakin susut jika wang terus dikeluarkan untuk perubatan, tanpa sebarang pendapatan yang masuk.

“Dengan penduduk yang semakin menua, kita perlu bekerja keras untuk menguruskan kenaikan kos penjagaan jangka panjang dan memastikan campuran sokongan pembiayaan yang baik antara bayaran bersama, subsidi pemerintah dan insurans.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg