Syarikat boleh menggunakan penyelesaian sedia ada seperti analisis berkuasa kecerdasan buatan (AI) dan alat pemasaran digital, namun selepas mencapai tahap tertentu, mereka akan memerlukan penyelesaian AI yang disesuaikan dengan keperluan dan disepadukan ke dalam proses dan sistem perniagaan mereka.
Oleh itu, lebih banyak sokongan akan diberikan untuk membantu syarikat memanfaatkan AI, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan pada 18 Februari.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan sehingga $150 juta akan diperuntukkan bagi Inisiatif Pengkomputeran Perusahaan, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan daya saing perniagaan Singapura, lapor The Straits Times.
Di bawah inisiatif baru itu, syarikat yang layak akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan utama untuk mengakses alat AI, kuasa pengkomputeran dan khidmat rundingan.
“Ini akan membantu syarikat menggunakan AI dengan lebih berkesan dalam perjalanan transformasi mereka,” kata Encik Wong.
Beliau juga mengumumkan Dana Pertumbuhan Kredit Swasta bernilai $1 bilion untuk memberi lebih banyak pilihan pembiayaan kepada syarikat tempatan yang berkembang pesat.
Encik Wong berkata Singapura mempunyai ekosistem pembiayaan yang kuat dan pemerintah juga melabur dalam syarikat berpotensi bersama rakan komersial seperti 65 Equity Partners dan Heliconia Capital.
Lebih $1.8 bilion telah diperuntukkan oleh pemerintah untuk menyokong pertumbuhan syarikat melalui dana pelaburan.
Pelaburan ini biasanya berlangsung antara tiga dengan tujuh tahun, sama seperti dana ekuiti swasta lain, kata Encik Wong.
Beliau juga berkata Singapura kini mempunyai lebih banyak syarikat dan syarikat pemula yang mampu bersaing di peringkat global.
Sebagai contoh, AEM Holdings, syarikat tempatan yang menyediakan penyelesaian ujian semikonduktor untuk mengesan kecacatan pada pembuatan atau reka bentuk.
Namun, lebih banyak usaha diperlukan dan pemerintah akan memberi lebih sokongan kepada syarikat untuk berkembang dan bersaing di peringkat global, kata Encik Wong.
Pemerintah juga akan melanjutkan skim sokongan untuk pengembangan antarabangsa serta penggabungan dan pengambilalihan syarikat.
Sebagai contoh, Skim Pembiayaan Perusahaan (EFS) akan ditambah baik untuk memudahkan syarikat mendapatkan pembiayaan.
Pertama, had pinjaman maksimum bagi EFS – Pinjaman Perdagangan akan dinaikkan secara tetap dari $5 juta kepada $10 juta.
Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan untuk perdagangan dan usaha antarabangsa mereka, terutamanya dengan kos yang tinggi.
Skop EFS – Pinjaman Penggabungan dan Pengambilalihan juga akan diperluaskan untuk menyokong pemerolehan aset tertentu dari 1 April 2025 hingga 31 Mac 2030.
Encik Wong juga berkata Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) telah menjalin hubungan dengan syarikat global dan usahawan berpengalaman, dan akan melancarkan Program Pengasas Global pada 2025 untuk menggalakkan pengasas global mengembangkan lebih banyak usaha baru di Singapura.
“Kami mahu Singapura menjadi tempat di mana usaha niaga menarik berkembang dan menjadi perusahaan terkemuka pada masa depan,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg