Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Letak harga pada karbon untuk capai matlamat sifar bersih

Gesa pemimpin Apec letak harga karbon secara progresif walau sensitif dari segi politik
Nov 17, 2024 | 1:53 PM
Bercakap pada Rahat Pemimpin Ekonomi Apec pada 16 November, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata meletakkan harga pada pelepasan karbon menjadikan kerjasama dalam pasaran karbon lebih mudah dicapai. Di belakang beliau ialah  Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Bercakap pada Rahat Pemimpin Ekonomi Apec pada 16 November, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata meletakkan harga pada pelepasan karbon menjadikan kerjasama dalam pasaran karbon lebih mudah dicapai. Di belakang beliau ialah  Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan. - Foto MDDI

LIMA (Peru): Negara-negara harus secara progresif meletakkan harga pada pelepasan karbon walaupun terdapat pertimbangan politik, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).

“Ia bukan mudah untuk dilakukan, ia sensitif dari segi politik, tetapi tiada jalan ke arah matlamat sifar bersih tanpa menetapkan harga karbon dengan betul,” katanya kepada para pemimpin 21 negara ekonomi Apec.

“Ini akan menghantar isyarat pasaran yang jelas kepada pengeluar dan pengguna supaya menghindari kegiatan intensif karbon,” tambah beliau.

Bercakap pada Rahat Pemimpin Ekonomi Apec pada 16 November, Encik Wong berkata meletakkan harga pada pelepasan karbon menjadikan kerjasama dalam pasaran karbon lebih mudah dicapai, lapor The Straits Times.

Perdagangan karbon membolehkan negara-negara mengurangkan pelepasan walaupun dalam kalangan mereka yang kekurangan dari segi tenaga alternatif dan memacu tindakan iklim dalam kebanyakan negara lain, katanya.

“Jadi ia benar-benar manifestasi perdagangan semua menang,” tambah Encik Wong.

Beliau berkata Singapura telah memuktamadkan rangkaian memorandum persefahaman dan persetujuan mengenai kerjasama pasaran karbon dan berharap dapat melakukan lebih banyak lagi dengan negara ekonomi Apec.

Selain pasaran karbon, Encik Wong juga bercakap tentang memanfaatkan dan membuka pintu kepada lebih banyak sumber kuasa rendah karbon.

Hal ini kritikal kerana banyak teknologi digital baru “gelojoh tenaga”, katanya.

Sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin dan suria perlu ditingkatkan, manakala lebih banyak bahan api karbon rendah diperlukan bagi penjanaan kuasa beban asas, kata Encik Wong.

Beliau membangkitkan kemungkinan hidrogen digunakan untuk tujuan ini, tetapi berkata ia masih terlalu mahal untuk digunakan secara besar-besaran.

“Kita mesti terus mempergiatkan R&D (penyelidikan dan pembangunan) dan pelaburan dalam hidrogen serta sumber tenaga lain, termasuk kuasa nuklear, bagi meningkatkan daya maju mereka dan mengembangkan pilihan untuk masa depan,” kata Encik Wong.

Beliau menambah bahawa prasarana juga diperlukan untuk membolehkan negara yang kaya dengan sumber tenaga boleh diperbaharui mengeksport tenaga kepada mereka yang tidak.

Itulah sebabnya Singapura bekerjasama dengan rakan kongsi Asia Tenggaranya untuk membangunkan Grid Kuasa Asean, yang akan mempercepatkan peralihan tenaga boleh diperbaharui sambil meningkatkan keselamatan tenaga kolektif, katanya.

Sebagai pusat kewangan, Singapura akan melakukan bahagiannya untuk memangkin dan menggerakkan lebih banyak pembiayaan peralihan hijau untuk projek sebegitu, katanya.

Encik Wong juga bercakap mengenai cabaran yang ditimbulkan oleh peralihan hijau, sambil menunjukkan bahawa perjanjian perdagangan semasa tidak selalu mewujudkan kerjasama dalam bidang baru.

Ini adalah halnya bagi ekonomi digital, katanya.

Sebagai tindak balas, Chile, New Zealand dan Singapura menyusun Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital untuk menetapkan piawaian sekitar perkongsian data dan perdagangan.

Ketiga-tiga negara itu kini membentuk satu kumpulan kerja bersama untuk memangkin pemikiran mengenai peraturan dan piawaian berkaitan penyelesaian karbon rendah, serta memudahkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan dalam ekonomi hijau, kata Encik Wong.

Encik Wong berada di Peru untuk menghadiri Pertemuan Ketua Ekonomi Apec (AELM) ke-31.

Turut menyertai rombongannya ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Menyusuli itu, Encik Wong dijadual berada di Rio de Janeiro, Brazil untuk menghadiri Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) pada 17-20 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg