Belanjawan 2026: Ikuti liputan BH di pelbagai wadah
Pembentangan ucapan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan dapat disaksikan oleh audiens Berita Harian (BH) menerusi pelbagai wadah akhbar ini, termasuk liputan secara langsung.
Pada 12 Februari pada 3.30 petang, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, akan membentangkan ucapan Belanjawan 2026 di Parlimen.
Penstriman langsung atau live streaming itu dapat diakses penonton menerusi YouTube, Facebook, Instagram dan laman BeritaHarian.sg.
Di Live Blog BH pula, audiens dapat mengikuti perkembangan dari minit ke minit.
Encik Wong dijangka mengulas isu yang menjadi keutamaan rakyat Singapura termasuk tekanan kos sara hidup, persekitaran luaran yang tidak menentu, serta kesan teknologi.
Ini merupakan belanjawan pertama bagi tempoh baru pemerintah selepas pilihan raya Mei 2025.
Selain liputan menerusi media sosial, akhbar cetak, laman web dan aplikasi, orang ramai boleh mengikuti liputan Belanjawan 2026 menerusi surat berita akhbar ini yang boleh dilanggan secara percuma melalui pautan https://www.beritaharian.sg/ringkasan-berita-harian serta saluran Telegram dan WhatsApp Berita Harian Singapura.
Dalam video yang disiarkan di YouTube pada 11 Februari, Encik Wong berkata pemerintah akan mempertingkatkan usaha untuk menyokong pekerja Singapura, termasuk golongan pertengahan kerjaya, di tengah-tengah kebimbangan mengenai pekerjaan, terutamanya dengan perubahan teknologi yang pesat dan persekitaran luaran yang sangat tidak menentu.
Ini termasuk membantu rakyat Singapura menangani peralihan pekerjaan, melengkapkan mereka dengan kemahiran relevan untuk kekal berdaya saing, serta memastikan mereka dapat memperoleh pekerjaan baik dengan pendapatan yang meningkat, tambah Encik Wong.
Beberapa pemimpin perniagaan dan persatuan perdagangan sebelum ini menjangkakan Belanjawan kali ini akan meredakan kebimbangan perniagaan terhadap kesan ketidakpastian ekonomi sejagat, teknologi dan peningkatan tekanan kos.
Hal itu mungkin bakal dicapai melalui langkah terukur seperti menyediakan sokongan bersasar kepada syarikat tempatan daripada pelbagai saiz dan industri, kongsi mereka kepada BH.

