Belanjawan 2026 persiap warga S’pura hadapi cabaran dunia baru, bukan sekadar bantuan tunai
Belanjawan 2026 persiap warga S’pura hadapi cabaran dunia baru, bukan sekadar bantuan tunai
Dalam dunia yang semakin tidak menentu – daripada tekanan kos sara hidup kepada kesan yang dibawa oleh ledakan kecerdasan buatan (AI) – Belanjawan 2026 tampil bukan sahaja sebagai pakej bantuan, malah sebagai pelan persiapan nasional jangka panjang.
Bagi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mesejnya jelas: Singapura mesti “menyemai dari awal” dan “menyuburkan sawah” ekonomi.
Menjelaskan usaha ini, Dr Faishal berkata rakyat Singapura perlu meningkatkan kemahiran, termasuk mendakap teknologi baru seperti AI agar mereka dapat meraih peluang baharu yang bakal dicipta pada masa hadapan.
Syarikat tempatan, seperti syarikat kecil dan sederhana (SME), juga perlu menjalani transformasi dan meraih manfaat daripada ledakan AI agar mereka dapat terus berdaya saing dalam ekonomi dunia yang kian berubah.
“Kita lihat dunia sudah berubah. Kemahiran yang diperlukan juga sudah berubah, lebih-lebih lagi dalam arena teknologi dan AI.
“Jadi kita harus menyediakan rakyat kita dari awal,” kata Dr Faishal semasa mengulas tentang Belanjawan 2026 di podcast BHerbual terbitan Berita Harian.
Beliau berkata cabaran serta inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2026 pada 12 Februari bagi membantu rakyat dan membangunkan negara mencerminkan realiti dunia yang telah berubah.
Justeru, beliau menggesa rakyat Singapura, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu/Islam, untuk mempersiapkan diri lebih awal dengan meningkatkan kemahiran dan mendakap teknologi baharu agar tidak ketinggalan.
Kos sara hidup masih jadi keprihatinan
Membuka tirai perbincangan di podcast tersebut, Dr Faishal berkata kos sara hidup kekal menjadi nadi perbincangan dan kebimbangan utama masyarakat.
Ini, katanya, merupakan cabaran yang bukan sahaja dihadapi di Singapura, malah di seluruh dunia juga.
Namun, berbanding negara lain, beliau menegaskan Singapura berada dalam kedudukan lebih baik kerana adanya rizab negara dan ekosistem sokongan yang kukuh.
Selain agensi pemerintah, Dr Faishal berkata badan Melayu/Islam (MMO), India/Islam (IMO) dan kumpulan tidak rasmi turut turun padang dalam memberikan sokongan kepada warga memerlukan.
“Pemerintah tahu dan kami sering berkongsi di Kabinet tentang keprihatinan masyarakat. Bila saya turun padang, warga juga berkata mereka masih dapat pergi kedai beli barang kerana adanya sokongan seperti Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
“Dan mereka juga dapat melihat pemerintah terus menolong, bukan sahaja dari segi kos harian, tetapi menitikberatkan masa hadapan rakyat seperti menerusi Kredit LifeSG Anak dan subsidi untuk pelajar prasekolah,” kata Dr Faishal.
Semasa Belanjawan 2026, PM Wong mengumumkan bantuan kewangan bagi rakyat Singapura seperti baucar CDC bernilai $500, bayaran khas kos sara hidup sehingga $400, serta Kredit LifeSG Anak sebanyak $500 bagi setiap anak berusia 12 tahun dan ke bawah.
Walaupun jumlah bantuan mungkin dilihat lebih sederhana berbanding 2025 – tahun sambutan SG60, di mana Singapura memperingati 60 tahun kemerdekaan – Dr Faishal berkata Belanjawan 2026 perlu dilihat secara menyeluruh bersama tahun-tahun sebelumnya.
“Kalau kita imbas kembali kira-kira 15 tahun lalu, pemerintah telah melakukan banyak inisiatif untuk menyokong kos harian terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil di prasekolah agar anak-anak kita mendapat permulaan baik.
“Jadi kita perlu lihat belanjawan dari segi semasa, dan juga dari tahun ke tahun kerana ia mempunyai strategi jangka panjang dan juga strategi meningkatkan tahap pembangunan Singapura di samping menyokong rakyat,” kata Dr Faishal.
Generasi sandwic, sokongan bersasar
Golongan generasi sandwic – yang menjaga anak kecil dan ibu bapa warga emas serentak – turut diberi perhatian dalam Belanjawan 2026, kata Dr Faishal.
Sebagai contoh, beliau berkata had pendapatan bulanan isi rumah untuk layak menerima subsidi prasekolah dinaikkan kepada $15,000, manakala had bagi subsidi penjagaan pelajar dinaikkan kepada $6,500.
“Selama saya berkecimpung dalam arena politik selama 20 tahun, saya dapat melihat bantuan itu, semakin meningkat dari tahun ke tahun, dalam usaha menolong generasi terhimpit dan juga golongan pertengahan.
“Kita mempunyai kriteria tertentu. Jadi kepada warga kita daripada semua golongan, kalau kita perlukan sokongan, jangan lupa bertanya,” kata Dr Faishal, sambil menyatakan bantuan yang diberikan kini lebih bersasar kepada golongan tertentu.
Perkasa pekerja dalam era AI
Dalam sesi podcast yang berlangsung lebih sejam itu, Dr Faishal turut berkata jika dilihat secara menyeluruh, fokus Belanjawan 2026 bukan sekadar bantuan kewangan tunai bagi isi rumah.
Malah, tumpuan besar diberikan kepada peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja, seperti dalam bidang AI, khususnya bagi pekerja berusia 40 tahun dan ke atas.
Sebagai contoh, mereka yang mengikuti latihan layak menerima elaun bulanan bagi meringankan beban semasa dalam meningkatkan kemahiran.
Menurut beliau, inilah antara “isyarat paling kuat” yang pernah diberikan pemerintah tentang kepentingan mendakap teknologi dan AI.
“Pemerintah mahu melangkah lebih jauh dan mendalam dalam AI, dan pada masa yang sama, ia mahu membawa rakyat bersama.
“Jadi kita harus membuka hati dan minda kita untuk meraih peluang ini, bukan sahaja mereka yang sedang belajar ataupun yang mahir dalam AI, tapi semua golongan supaya kita tahu menggunakannya dan tidak ketinggalan,” kata Dr Faishal.
Selain usaha pemerintah, Dr Faishal berkata beliau juga sedang bekerjasama dengan badan masyarakat seperti Mendaki, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan rangkaian karyawan untuk memastikan pekerja Melayu/Islam tidak tercicir dalam gelombang transformasi ini.
Memacu SME, perniagaan dari rumah
Sektor perniagaan tempatan turut mendapat suntikan melalui inisiatif seperti Startup SG Equity dan pelaburan besar dalam Misi AI nasional, tambahnya.
Dalam hal ini, Dr Faishal berkata beliau melihat potensi besar bagi usahawan Melayu untuk menggunakan AI secara praktikal dalam urusan pemasaran, pengurusan klien, dan juga proses simpan kira yang lebih sistematik.
Beliau turut menyentuh tentang perniagaan dari rumah (HBB) yang kini semakin serius dan berleluasa dijalankan oleh ramai anggota masyarakat Melayu/Islam.
Justeru, beliau mahu golongan peniaga dari rumah ini “berfikiran besar” dan lebih berani memanfaatkan teknologi AI.
“Saya mahukan perniagaan dari rumah menggunakan AI. Gunakan AI agar perniagaan mereka dapat membangun dengan lebih baik.
“Kalau kita nak berjaya, mungkin kita harus menggunakan pendekatan yang konsisten, mantap dan mapan supaya perniagaan dari rumah boleh membangun,” kata Dr Faishal.
Selain itu, beliau turut mendedahkan perbincangannya dengan DPPMS untuk menyediakan bimbingan Business 101 untuk peniaga Melayu/Islam tempatan.
Ini, katanya, bagi memastikan peniaga mempunyai asas kukuh sebelum mereka meneroka pasaran lebih luas termasuk sektor makanan halal yang mempunyai permintaan tinggi di peringkat sejagat.

