Pekerja di S’pura harus jadikan AI teman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja di S’pura harus jadikan AI teman

Pengamat: Strategi pemerintah labur besar dalam AI langkah tepat agar kekal relevan dalam ekon sejagat
Feb 13, 2026 | 3:47 PM

Pekerja di S’pura harus jadikan AI teman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya (kanan) dan juga Naib Presiden, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab (dua dari kanan) mengulas tentang Belanjawan 2026 di podcast BHerbual terbitan Berita Harian (BH) pada 13 Februari, bersama Koresponden BH, Cik Irma Kamarudin (kiri), dan Encik Anwar Saleh.
Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya (kanan) dan juga Naib Presiden, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab (dua dari kanan) mengulas tentang Belanjawan 2026 di podcast BHerbual terbitan Berita Harian (BH) pada 13 Februari, bersama Koresponden BH, Cik Irma Kamarudin (kiri), dan Encik Anwar Saleh. - Foto BH oleh KHALID BABA

Strategi pemerintah dalam Belanjawan 2026 untuk melabur besar dalam kecerdasan buatan (AI) dan memperkukuh kemahiran pekerja dilihat sebagai langkah tepat bagi memastikan rakyat Singapura kekal relevan dalam ekonomi sejagat yang kian mencabar.

Sedang pemerintah melabur untuk mempertingkat prasarana dan ekonomi negara, ia turut komited melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan agar mereka dapat merebut peluang baru yang bakal tercipta.

Demikian pandangan Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, dan Naib Presiden, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, di podcast BHerbual terbitan Berita Harian pada 13 Februari.

Berkongsi pandangan optimis mengenai hala tuju pemerintah susulan pengumuman Belanjawan 2026, mereka menegaskan kunci kejayaan masa depan terletak pada kesediaan pekerja untuk keluar dari zon selesa dan mendakap teknologi sebagai ‘rakan setugas’.

Semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 12 Februari, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengumumkan komitmen pemerintah untuk menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai kelebihan strategik Singapura.

Beliau memberi jaminan pemerintah akan sentiasa menyokong pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, memastikan supaya tiada sesiapa yang ketinggalan.

Pekerja juga akan dibantu untuk menguasai AI, sekali gus meningkatkan daya pengeluaran dan beralih kepada pekerjaan bernilai tinggi.

Sebagai contoh, Encik Wong menjelaskan, rakyat Singapura yang mengikuti kursus latihan AI terpilih akan mendapat akses percuma selama enam bulan kepada model AI premium untuk tujuan praktikal dan eksperimen.

Mengulas pengumuman itu, Encik Abdul Samad menyifatkannya sebagai peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan oleh golongan pekerja, khususnya kalangan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) yang sering dibelenggu kebimbangan akan penggantian jawatan akibat automasi.

“Kita harus mendekati AI, berkawan dengan AI dan bekerja bersama AI.

“Siapa yang lebih cepat dapat menyesuaikan diri bekerja dengan AI, saya rasa akan lebih ke hadapan dan meraih manfaat,” kata Encik Abdul Samad.

Beliau menambah bahawa kekuatan Singapura terletak pada rakyatnya yang mempunyai keupayaan luar biasa, memandangkan negara ini tidak mempunyai sumber asli.

Dr Faizal pula menekankan bahawa revolusi AI akan memberi kesan berbeza antara pekerja berkemahiran rendah dengan tinggi.

Jika tidak ditangani, ujarnya, jurang itu akan melebar.

Oleh itu, beliau menggesa golongan pekerja agar tidak gentar untuk meneroka AI.

“AI boleh menjadi musuh dan kawan.

“Bagaimana anda menjadikannya kawan, anda perlu berinteraksi dengan AI terlebih dahulu,” kata Dr Faizal.

Beliau turut memberi contoh bagaimana AI melengkapi kepakaran manusia dalam bidang perubatan dan perakaunan dan bukannya mengambil alih peranan mereka.

Bagi seorang jururadiografi, beliau berkata sensor AI mungkin lebih baik daripada penglihatan manusia, namun seorang doktor atau pakar masih diperlukan untuk membuat diagnosis dan analisis akhir.

Dalam perakaunan, AI boleh mengendalikan tugasan pembukuan rutin, membolehkan akauntan beralih kepada kerja perundingan dan analisis risiko yang lebih rumit, tambahnya.

Penggabungan dua badan itu diumumkan Encik Wong semasa ucapan Belanjawan 2026.

Langkah tersebut bertujuan menyelaras sokongan bagi pekerjaan dan kemahiran.

Encik Wong menjelaskan kedua-dua badan itu akan disatukan menjadi agensi di bawah penyeliaan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Agensi baru itu, kata Encik Wong, akan menjadi pusat sehenti bagi latihan kemahiran, bimbingan kerjaya, dan perkhidmatan padanan pekerjaan untuk pekerja dan majikan.

Menyifatkan langkah tersebut sebagai “merujuk semula” setelah dipisahkan sebelum ini, Encik Abdul Samad dan Dr Faizal berharap badan berkanun baru itu akan memastikan latihan yang diikuti oleh pekerja benar-benar diterjemahkan kepada penempatan pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran mereka.

Menurut Dr Faizal, penggabungan itu membolehkan pemerintah melihat kitaran hayat kerjaya seseorang secara menyeluruh — dari alam persekolahan sehingga persaraan.

Beliau menekankan bahawa laluan kerjaya kini bukan lagi ‘garis lurus’, sebaliknya menuntut pekerja agar melakukan ‘pusingan U’, kembali menimba ilmu mengikut keperluan industri yang sentiasa berubah.

“Dengan lembaga berkanun ini di bawah MOE dan MOM, saya fikir ini seperti satu perjalanan atau pengembaraan untuk seorang murid atau pekerja.

“Mereka (pekerja) menimba ilmu semasa di bangku sekolah sebagai seorang murid, kemudian maju ke alam kerjaya sebagai seorang pekerja dan kemudian kembali belajar semula untuk tingkatkan kemahiran,” kata Dr Faizal.

AI sebagai rakan setugas

“Kita harus mendekati AI (kecerdasan buatan), berkawan dengan AI dan bekerja bersama AI. Siapa yang lebih cepat dapat menyesuaikan diri bekerja dengan AI, saya rasa akan lebih ke hadapan dan meraih manfaat.”
Encik Abdul Samad Abdul Wahab, Naib Presiden, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Pekerja perlu buat ‘pusingan-U’

“Mereka (pekerja) menimba ilmu semasa di bangku sekolah sebagai seorang murid, kemudian maju ke alam kerjaya sebagai seorang pekerja dan kemudian kembali belajar semula untuk tingkatkan kemahiran.”
Dr Faizal Yahya, Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg