Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Belanjawan atasi inflasi, sokong latihan semula dan perkukuh dana persaraan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belanjawan atasi inflasi, sokong latihan semula dan perkukuh dana persaraan

[ο] Baucar CDC dan bayaran tunai tambahan
bagi warga harungi kos meningkat
[ο] Perkukuh SkillsFuture bagi sokong pekerja matang
[ο] Tokokan CPF bagi pelajar ITE lanjut diploma
[ο] Bahagian pertama program Melakar
Hala Tuju S’pura dilancar
Feb 16, 2024 | 08:10 PM



Belanjawan 2024 mengusulkan lebih banyak sokongan kewangan bagi membantu warga Singapura dan perniagaan mengatasi cabaran jangka terdekat seperti inflasi dan kos meningkat.

Di samping itu, pemerintah memperincikan strategi bagi menangani isu jangka panjang seperti latihan untuk pekerja matang, ketidaksamaan sosial dan kecukupan persaraan demi menjamin masa depan lebih cerah bagi Singapura dan rakyatnya.

Membentangkan Belanjawan 2024 pada 16 Februari, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengumumkan peningkatan $1.9 bilion bagi Pakej Jaminan, termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) tambahan $600 dan bayaran tunai antara $200 dan $400 bagi individu.







Satu Pakej Bantuan Perusahaan baru bernilai $1.3 bilion pula akan diperkenalkan untuk membantu firma menjalani transformasi dan mengatasi kos yang meningkat.

Demi menangani cabaran ekonomi masa depan pula, pemerintah akan membantu pekerja berusia 40 tahun dan ke atas untuk menjalani latihan semula dengan menokok $4,000 kepada Kredit SkillsFuture.

Lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) juga akan dibantu untuk meningkatkan diri dengan satu program baru yang antara lain menokok $10,000 kepada Akaun Biasa Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi lulusan ITE yang meraih diploma. Langkah ini sebahagian usaha untuk merapatkan jurang gaji antara lulusan ITE dengan lulusan politeknik dan universiti.







Pemerintah juga akan meningkatkan sokongan persaraan warga emas, antaranya dengan meningkatkan Jumlah Persaraan Dipertingkat (ERS) CPF kepada $426,000 pada 2025. Langkah ini akan membolehkan pencarum untuk menerima bayaran bulanan CPF lebih tinggi, jika mereka mahu.







Pelbagai langkah itu sebahagian daripada saranan yang secara keseluruhannya bernilai $131.4 bilion, atau 18.3 peratus daripada hasil dalam negeri kasar (GDP).

Pelan itu merangkumi langkah dalam “agenda bercita-cita tinggi” untuk mencapai matlamat membina negara yang rancak, inklusif dan bersatu padu, kata Encik Wong.

Pelbagai langkah itu juga diambil di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global dan sekitaran antarabangsa yang bergolak.

“Inilah hakikat yang kita hadapi. Dalam masa terdekat ini, Singapura harus beroperasi dalam sekitaran luaran yang kurang stabil dan kurang baik untuk keselamatan dan kemakmuran kita berbanding tiga dekad lalu.

“Sebab itulah kami memulakan usaha Melakar Hala Tuju Singapura – bagi memperbaharui kompak sosial kita untuk mengekalkan masyarakat yang utuh dan bersatu padu, serta mencorak laluan untuk maju dalam dunia mencabar,” kata Encik Wong.

Justeru, langkah yang diumumkan dalam Belanjawan kali ini menandakan bahagian pertama daripada program Melakar Hala Tuju Singapura yang bakal diperkenalkan pemerintah.

“Belanjawan 2024 adalah mengenai langkah nyata bagi membina masa depan kita bersama,” kata Encik Wong.

Dalam Belanjawan itu lagi, Encik Wong mengumumkan lebih banyak sokongan bagi keluarga, termasuk baucar selama setahun bagi membantu keluarga yang layak untuk menyewa flat HDB daripada pasaran terbuka. Ini sementara menunggu flat Bina Ikut Tempahan (BTO) siap.

Pemerintah juga akan menjadikan prasekolah lebih dimampui dengan mengurangkan had yuran bulanan untuk prasekolah yang disokong pemerintah, serta meningkatkan subsidi bagi keluarga berpendapatan rendah.

Dalam ucapannya, Encik Wong turut mengumumkan langkah melindungi keselamatan tenaga Singapura di tengah-tengah keperluan beralih ke tenaga bersih pada masa depan. Dalam hal ini, satu dana baru dengan suntikan awal $5 bilion akan ditubuhkan untuk melabur dalam infrastruktur kritikal.







Perubahan cukai pada 2024 pula termasuk rebat cukai pendapatan peribadi sebanyak 50 peratus, atau hingga $200, bagi membantu pekerja bergaji pertengahan.

Selain itu, pemilik rumah boleh menjangkakan cukai hartanah yang sama atau lebih rendah apabila pemerintah menyesuaikan kriteria bagi setiap peringkat nilai tahunan (AV), dengan andaian tiada perubahan kepada AV dan sebelum mana-mana rebat.

Mengakhiri ucapannya, Encik Wong berkata langkah dasar di bawah Melakar Hala Tuju Singapura akan menelan belanja sekitar $5 bilion pada tahun kewangan 2024, dan secara keseluruhan akan mencecah hampir $40 bilion menjelang hujung dekad ini.

Menurut anggaran Kementerian Kewangan, perbelanjaan pemerintah akan meningkat kepada sekitar 20 peratus daripada GDP menjelang 2030.

Dalam pada itu, hasil kutipan bagi tahun fiskal 2023 adalah lebih tinggi daripada jangkaan, disebabkan kutipan cukai pendapatan korporat yang lebih tinggi.

Mengulas tentang Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata pelbagai langkah itu dibentuk daripada usaha Melakar Hala Tuju Singapura, dan bertujuan menjamin masa depan lebih adil dan cerah bagi semua warga Singapura.

“Saya berharap Belanjawan akan memberi manfaat kepada semua menerusi pelbagai cara, dan memberi jaminan kepada warga Singapura dalam dunia yang kian mencabar,” kata Encik Lee dalam satu catatan di media sosial pada 16 Februari.

Parlimen akan membahaskan Belanjawan dan rancangan perbelanjaan pelbagai kementerian dari 26 Februari hingga 7 Mac.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >