Belia contoh teladan suntik semangat perpaduan negara
Cik Ayuni Nur Izyanti Md Zuraimi hanya berusia 15 tahun apabila beliau mula terpikat dengan kerja sukarelawan, selepas menyertai program Nilai-Dalam-Tindakan (VIA) pada 2021.
Pengalaman singkat itu mendorong beliau dan empat rakannya menubuhkan You(th) Can Do It (YCDI) pada 2023 – sebuah badan bukan mencari untung yang berperanan sebagai ‘jambatan’ menghubungkan belia dengan peluang kesukarelawanan.
Minat dan kemahirannya kian terasah. Sejak bergiat dengan kumpulan sukarelawan lain, beliau memegang peranan utama, menerajui pelbagai inisiatif yang lebih besar.
Beliau mengimbau kembali projek pertamanya sebagai anggota jawatankuasa Kelab Perkhidmatan Masyarakat Politeknik Temasek (TPCSC), ketika hanya seorang peserta mendaftar untuk acara sukan bagi pekerja migran.
Daripada pengalaman itu, beliau bangkit dan kemudian berjaya mengumpul lebih $62,000 untuk Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF) melalui Pameran Lukisan anjuran badan kebajikan, Tad dan Small Act Big Difference, pada 2023.
Kini berusia 20 tahun, Cik Ayuni merupakan antara belia yang diketengahkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, sebagai contoh teladan semangat memperbaharui dan memperkukuh Singapura – salah satu tema utama Belanjawan 2026.
Dalam ucapan Belanjawan 2026 pada 12 Februari, Encik Wong memuji semangat penyepaduan dan daya ketahanan rakyat Singapura sebagai kunci mengatasi isu sejagat, termasuk krisis kewangan dan ketidaktentuan geopolitik.
“Ikatan bersama kita kukuh hari ini. Namun, ia tidak tercipta sekelip mata atau secara kebetulan.
“Ia dibina dengan sabar dan berhemah, diwarisi daripada generasi ke generasi.”
Beliau mengajak rakyat Singapura untuk terus membina masyarakat yang mengutamakan kepentingan bersama berbanding kepentingan individu.
“Berlandaskan ikatan bersama, kita mesti terus memupuk semangat perpaduan yang teguh.
“Ia tercermin melalui amalan memberi, kerja sukarela dan sifat ihsan dalam kehidupan harian,” ujar Encik Wong.
Seterusnya, Encik Wong menegaskan betapa pentingnya belia terus memainkan peranan aktif dalam pembinaan negara, sekali gus meneruskan usaha yang telah dirintis generasi terdahulu.
“Sememangnya, Singapura telah melangkah sejauh ini hanya kerana generasi rakyatnya telah tampil ke hadapan.
“Mereka memikul tanggungjawab, menyumbang apa yang mampu dan memainkan peranan masing-masing untuk mencorak masa hadapan kita.
“Semangat yang sama itu masih hidup hari ini, terutamanya dalam kalangan belia kita,” kongsi Encik Wong.
Beliau turut memuji sumbangan Cik Ayuni, daripada mengajar tuisyen untuk pelajar sekolah rendah daripada keluarga rentan, hingga membantu membersihkan rumah warga emas.
Di samping komitmennya mendidik kanak-kanak melalui TPCSC, Cik Ayuni turut memperkenalkan pembaharuan untuk melengkapkan mentor dengan kemahiran membimbing kanak-kanak dengan lebih baik.
Beliau juga membantu mengadakan kegiatan pembelajaran ala Amazing Race untuk membantu kanak-kanak belajar melalui wadah yang lebih menarik.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat kepada golongan kurang upaya, gelandangan, pekerja migran dan yang lain.
Cik Ayuni berharap kisahnya dapat memberi inspirasi kepada belia lain untuk berani mengambil langkah pertama sebagai sukarelawan.
“Belia tidak semestinya perlu membawa kesan yang besar pada mulanya.
“Saya harap belia seperti saya, yang masih ragu-ragu bagaimana hendak bermula, akan diyakinkan bahawa mereka boleh bermula dari mana sahaja lalu mencari minat masing-masing,” kongsi Cik Ayuni.
Pelajar Perubatan Bioteknologi itu berazam untuk terus berbakti kepada golongan yang memerlukan dalam bidang kerja sosial pada masa depan.
Selain Cik Ayuni, Encik Wong turut mengetengahkan usaha Cik Shantini Subramaniam, 23 tahun.
Menjaga adik lelaki yang dilahirkan dengan cerebral palsy (keadaan yang menjejas kawalan anggota badan) mendorongnya menjadi sukarelawan di Rumah Penjagaan Sree Narayana Mission sejak usia 11 tahun.
Kini sebagai pelajar kejururawatan di Universiti Nasional Singapura (NUS), beliau mengendali Projek Caring Hearts – satu inisiatif sukarela yang menyokong pesakit paliatif melalui program pendampingan dan jangkauan masyarakat.
Encik Josef Tan Kai Heng, 19 tahun, turut diketengahkan apabila beliau membantu pekerja migran menguasai perisian digital sejak 2024.
Pelajar Kejuruteraan Komputer di Politeknik Singapura (SP) itu memulakan inisiatif tersebut atas kepercayaan bahawa pekerja migran wajar menerima peluang memperkasakan kemahiran masing-masing.
Encik Wong berkata:
“Kisah ini mungkin berbeza dari segi bentuknya, namun ia bersatu dalam semangat yang sama.
“Ia memperingatkan kita bahawa pembinaan negara bukan tugas segelintir individu atau satu generasi semata-mata.
“Ia adalah usaha bersama rakyat Singapura yang memilih, mengikut cara mereka sendiri, untuk tampil dan membawa perubahan,” tambahnya.
Encik Wong memberi jaminan bahawa belia akan terus diperkasakan dalam pembinaan negara bagi masa depan.
“Kami juga akan terus bekerjasama dengan golongan belia dan membuka lebih banyak ruang bagi mereka mencorak masa depan Singapura.
“Panel Belia telah membolehkan anak muda Singapura bekerjasama dengan pemerintah dalam isu-isu yang penting bagi mereka,” katanya.
Seramai 120 belia menyumbang melalui empat panel berbeza dalam pusingan pertama yang dilancarkan sejak 2023.
Encik Wong menambah: “Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia akan berkongsi butiran lanjut mengenai inisiatif-inisiatif ini di COS.”
Lantas, semangat menyumbang kepada negara serta mengukuhkan jalinan masyarakat adalah antara tonggak dan prinsip bagi Belanjawan 2026.
“Hari ini, semangat tanggungjawab bersama ini lebih penting daripada sebelumnya.
“Kita tidak mampu untuk sekadar menjadi penonton.
“Kita mesti menjadi peserta aktif – menjaga satu sama lain, memperkukuh ikatan sosial kita dan menyumbang kepada Singapura yang menjadi milik kita semua,” kata Encik Wong.
“
“Ikatan bersama kita kukuh hari ini. Namun, ia tidak tercipta sekelip mata atau secara kebetulan. Ia dibina dengan sabar dan berhemah, diwarisi daripada generasi ke generasi. Berlandaskan ikatan bersama, kita mesti terus memupuk semangat perpaduan yang teguh. Ia tercermin melalui amalan memberi, kerja sukarela dan sifat ihsan dalam kehidupan harian.”
