Kredit LifeSG Anak $500 bagi keluarga dengan anak diagih Julai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kredit LifeSG Anak $500 bagi keluarga dengan anak diagih Julai

Komitmen pemerintah pastikan prasekolah, penjagaan pelajar kekal dimampui
Feb 12, 2026 | 5:01 PM

Kredit LifeSG Anak $500 bagi keluarga dengan anak diagih Julai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Belanjawan 2026, sokongan kepada keluarga, prasekolah, anak-anak, baucar CDC
Keluarga, terutama mereka yang mempunyai anak kecil, akan terus mendapat sokongan pemerintah dalam mengharungi cabaran dunia yang kian berubah. - Foto ST

Setiap kanak-kanak warga Singapura berusia 12 tahun ke bawah akan menerima Kredit LifeSG Anak $500 yang dijangka diagihkan menjelang Julai 2026.

Ini adalah sokongan kepada ibu bapa bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

Pemberian kredit itu merupakan usaha pemerintah untuk terus menyokong keluarga, terutama yang mempunyai anak kecil, dalam mengharungi cabaran dunia yang sentiasa berubah.

Kredit $500 itu akan diberikan pada Julai kepada kanak-kanak berusia satu hingga 12 tahun pada 2026.

Bagi bayi yang lahir pada 2026 pula, kredit akan mula diagihkan pada April 2027.

Semasa membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, menekankan bahawa keluarga merupakan tunjang masyarakat dan benteng sokongan pertama bagi setiap individu.

Oleh itu, adalah mustahak untuk terus mengorak langkah bagi memberi lebih banyak sokongan dan jaminan kepada keluarga.

Encik Wong turut menyatakan komitmen pemerintah bagi memastikan prasekolah dan penjagaan pelajar kekal dalam kemampuan, sekali gus menyokong tahun-tahun awal pembangunan kanak-kanak yang sangat penting.

Pemerintah akan meningkatkan subsidi yang diuji kemampuan berdasarkan pendapatan bagi khidmat prasekolah dan penjagaan pelajar.

Ini akan dilaksanakan dengan menaikkan had kelayakan pendapatan isi rumah bulanan untuk subsidi prasekolah daripada $12,000 kepada $15,000 menjelang 2027.

Perubahan itu dijangka memanfaatkan lebih 60,000 keluarga.

Selain itu, had kelayakan pendapatan isi rumah bulanan bagi subsidi penjagaan pelajar juga akan dinaikkan daripada $4,500 kepada $6,500 menjelang 2027.

Sekitar 13,000 pelajar dijangka meraih manfaat daripada perubahan ini.

“Kami akan terus memastikan prasekolah dan penjagaan pelajar kekal berpatutan untuk menyokong tahun-tahun awal pembangunan kanak-kanak yang kritikal.

“Saban tahun, kami telah mengurangkan had yuran prasekolah dan meningkatkan subsidi. Hari ini, yuran penjagaan kanak-kanak bagi keluarga dwipendapatan setanding dengan yuran penjagaan pelajar sekolah rendah dan selepas sekolah,” kata Encik Wong.

“Melebihi penambahbaikan ini, kami sedang menjalankan kajian holistik terhadap sektor penjagaan pelajar untuk mengkaji cara memenuhi keperluan penjagaan keluarga yang mempunyai anak di sekolah rendah dengan lebih baik,” tambah beliau.

Pemerintah juga akan terus membantu isi rumah warga Singapura dalam perbelanjaan harian mereka dengan menyediakan baucar dan wang tunai.

Setiap isi rumah warga Singapura akan menerima baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $500 pada Januari 2027.

Baucar CDC itu, yang dijangka memanfaatkan sekitar 1.4 juta isi rumah, boleh digunakan di pasar raya, pusat penjaja serta gerai kejiranan yang mengambil bahagian.

Selain itu, setiap warga Singapura berusia 21 tahun ke atas yang layak akan menerima bayaran wang tunai sekali sahaja antara $200 dengan $400 sebagai sebahagian daripada Bayaran Khas Kos Sara Hidup (COL) Belanjawan 2026.

Pembayaran itu akan diagihkan pada September 2026 dan dijangka memberi manfaat kepada sekitar 2.4 juta warga Singapura.

Isi rumah warga Singapura yang layak juga bakal menerima rebat U-Save sehingga $570 pada tahun kewangan 2026.

Rebat itu akan menampung perbelanjaan utiliti sekitar lima bulan bagi penghuni flat HDB satu dan dua bilik, dan sekitar dua bulan bagi mereka yang tinggal di flat HDB tiga dan empat bilik.

“Pemerintah akan terus melakukan apa yang perlu untuk membantu warga Singapura menangani tekanan kos... selama mana ia diperlukan.

“Meskipun inflasi telah berkurangan dalam tahun-tahun kebelakangan, kami tahu bahawa ramai warga Singapura masih berdepan kebimbangan dan tekanan.

“Oleh itu, kami akan terus menyediakan sokongan tambahan tahun ini (2026),” tambah Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg