Remaja perempuan berusia 15 tahun yang berhasrat berkahwin dengan seorang anggota ISIS turut berkongsi kandungan berkaitan kumpulan itu dengan kawan sekolahnya.
Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 2 April, usahanya gagal selepas tiada seorang rakan sekolahnya yang mengambil kandungan tersebut dengan serius.
Dia juga secara aktif berkongsi bahan-bahan ekstremis, termasuk lagu nyanyian ISIS, di akaun media sosialnya bagi menunjukkan sokongannya terhadap ISIS.
ISD menambah ibu remaja tersebut menyedari tindakan anaknya, tetapi tidak menganggap ia memerlukan campur tangan lanjut.
Remaja itu merupakan salah seorang remaja yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Februari 2025.
Ini bermakna dia tidak dibenarkan keluar dari Singapura atau mengakses media sosial tanpa kebenaran.
Menurut kenyataan ISD pada 2 April, remaja itu ialah remaja perempuan pertama yang dikenakan tindakan di bawah ISA.
Selepas melihat propaganda ISIS dalam talian pada Jun 2023, remaja itu menjadi yakin bahawa gerakan itu adalah sebuah tentera agama yang sah, dan menyokong penggunaan kekerasan untuk membersihkan dunia daripada orang bukan Islam dan Islam Syiah.
Sebulan kemudian, dia melafazkan sumpah setia, melalui chatbot, kepada khalifah ISIS terdahulu.
Ia merupakan syarat sebelum seseorang boleh berkahwin dengan anggota ISIS.
Walau keutamaannya ialah untuk berkahwin dengan seorang anggota ISIS dan membina keluarga yang menyokong ISIS, dia juga bersedia berperang bagi kumpulan itu di Syria.
Dia beranggapan dia boleh menerima latihan senjata daripada ISIS, sebaik sahaja tiba di Syria.
Dalam kenyataan ISD, ia berkata: “Dipengaruhi oleh rakaman anggota wanita ISIS dalam talian, dia berharap untuk mati sebagai pejuang (syahid).”
Remaja perempuan itu kerap berkongsi propaganda ISIS di akaun media sosialnya untuk menarik penyokong lain yang ingin menjalin hubungan romantik dengannya.
Antara Julai 2023 dengan Disember 2024, dia terlibat dalam sekurang-kurangnya lapan hubungan romantik singkat dalam talian dengan penyokong ISIS yang berpangkalan di luar negara, termasuk seorang individu yang didakwa sebagai anggota ISIS di Syria.
Antara September 2023 dengan April 2024 pula, dia mencari penerbangan dari Singapura ke Syria sebanyak tiga kali dan mempertimbangkan menyimpan wang bagi membiayai perjalanannya ke Syria.
Kesnya mencerminkan satu trend global remaja perempuan – ada yang baru berusia 14 tahun – yang ingin pergi ke Syria untuk berjuang, atau menyokong perjuangan ISIS dengan menjadi ‘pengantin jihad’, isteri anggota ISIS, menurut kenyataan ISD itu.
“Ancaman yang dihasilkan ISIS tidak berkurangan, malah diteruskan melalui usaha propaganda dalam talian, rangkaian maya penyokongnya, dan afiliasi global,” katanya.
Kenyataan itu menambah mereka yang menjadi radikal semakin muda, dengan remaja berusia 15 tahun itu menjadi yang pertama dalam kalangan remaja perempuan dan yang kedua termuda dikenakan perintah di bawah ISA.
Sejak 2015, ISD telah menangani kes melibatkan 17 remaja berusia 20 tahun ke bawah di bawah ISA, kesemuanya yang menjalani radikalisasi sendiri secara dalam talian.
Daripada 17 remaja itu, sembilan daripada mereka ingin melancarkan serangan di Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg