Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja 17 tahun rancang serang 5 masjid, bunuh 100 Muslim ditahan bawah ISA

Remaja perempuan 15 tahun dikenakan Arahan Sekatan; Shanmugam: Penahanan dua remaja ‘sangat membimbangkan’
Apr 2, 2025 | 7:26 PM
Remaja lelaki itu mahu melancarkan serangan bersenjata di lima masjid, termasuk Masjid Maarof (kiri) di Jurong West dan Masjid Jamek Queenstown di Margaret Drive.
Remaja lelaki itu mahu melancarkan serangan bersenjata di lima masjid, termasuk Masjid Maarof (kiri) di Jurong West dan Masjid Jamek Queenstown di Margaret Drive. - Foto-foto ST

Seorang remaja lelaki Singapura berusia 17 tahun yang merancang membunuh sekurang-kurangnya 100 orang Islam di lima masjid telah ditahan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Menurut ISD, dia merancang melancarkan serangan bersenjata selepas solat Jumaat sebelum membunuh diri.

Remaja yang dikenakan Arahan Penahanan (OD) itu mengakui dia akan melancarkan serangannya jika berjaya mendapatkan senjata api.

Dia salah seorang daripada dua remaja yang terpengaruh dengan radikalisasi secara sendiri dan dikenakan perintah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac 2025.

Remaja kedua ialah seorang pelajar perempuan Singapura berusia 15 tahun yang ingin berkahwin dengan seorang anggota militan ISIS dan bersedia berjuang bagi kumpulan itu di Syria.

Dia remaja wanita pertama dikenakan tindakan di bawah ISA, iaitu Perintah Sekatan (RO) pada Februari 2025.

Ini diumumkan ISD dalam satu kenyataan pada 2 April.

Mengulas mengenai penahanan itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata penahanan dua remaja itu adalah perkara yang sangat membimbangkan.

Bercakap kepada wartawan di Masjid Maarof pada 2 April, beliau berkata: “Kemungkinan besar, mungkin ada yang lain, bahkan sedang kita bercakap sekarang (mengenainya).

“Mereka mungkin sedang menyerap bahan dalam talian, mereka mungkin sedang merancang, mereka mungkin sedang melakukan pelbagai perkara.”

Beliau berkata ISD berusaha sebaik mungkin memantau individu yang mempunyai pemikiran sedemikian.

Apabila ditanya wartawan Berita Harian (BH) sama ada masyarakat Melayu/Islam harus berasa bimbang dengan ancaman yang disasar pada masjid, Encik Shanmugam berkata:

“Saya rasa kita semua perlu bimbang kerana, anda tahu, jika umat Islam diserang, ia buruk untuk masyarakat Islam, tetapi ia juga buruk untuk Singapura – kerana kita adalah satu masyarakat.

“Ini membimbangkan kerana dalam kedua-dua kes ini, mereka sudah menunjukkan tanda-tanda radikalisasi.”

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang turut hadir di Masjid Maarof, berkongsi sentimen sama.

“Kita berasa prihatin dan saya pun dapat berasa masyarakat Islam di Singapura akan berasa prihatin, bimbang.

“Tetapi usah khuatir kerana dalam menjalankan tanggungjawab bersama, kita menyediakan ruang selamat buat semua, tidak kira bangsa dan agama.

“Dan kita sama-sama boleh menjalankan tanggungjawab ini dan terus membangunkan Singapura yang lebih selamat,” ujar beliau.

Pada Jun 2024, remaja lelaki itu menyenaraikan lima masjid – Masjid Maarof, Masjid Jamek Queenstown, Masjid Darussalam, Masjid An-Nur, and Masjid Hajjah Fatimah – sebagai sasaran serangannya.

Namun, dia lebih cenderung menyerang Masjid Maarof selepas solat Jumaat, kerana dia kerap berada di kawasan Jurong West.

Selain Masjid Maarof, dia juga berhasrat melakukan serangan di Masjid Jamek Queenstown kerana sering melalui kawasan itu, dan tiga lagi masjid yang disasarkannya itu dianggap terkenal dalam kalangan masyarakat Islam.

Ketika ditahan, remaja itu mengakui dia belum melaksanakan serangannya kerana gagal mendapatkan senjata api.

Menurut ISD, remaja itu mendapat inspirasi daripada insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada Mac 2019. Dalam insiden tersebut, 51 mangsa terbunuh.

Dia berhasrat membunuh 100 Muslim selepas mereka solat Jumaat, dan kemudian dia akan membunuh diri.

Remaja perempuan itu pula berhasrat berkahwin dengan seorang anggota ISIS di Syria bagi menyokong perjuangan kumpulan pengganas itu.

Dia berharap membina keluarga yang menyokong ISIS dan membesarkan anak lelaki yang akan menjadi anggota militan.

Antara September 2023 dengan April 2024, dia mencari penerbangan dari Singapura ke Syria sebanyak tiga kali dan mempertimbangkan menyimpan wang bagi membiayai perjalanannya ke Syria.

Dia juga menjalin hubungan romantik dalam talian dengan penyokong ISIS luar negara dan menyiarkan propaganda ISIS di media sosial.

Antara Julai 2023 dengan Disember 2024, dia terlibat dalam sekurang-kurangnya lapan hubungan romantik singkat dalam talian dengan penyokong ISIS, termasuk seorang yang didakwa sebagai anggota ISIS di Syria.

Remaja perempuan itu individu kedua termuda ditahan ISD, selepas dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun ditahan sejak 2022.

Kesnya mencerminkan satu trend global remaja perempuan – ada yang baru berusia 14 tahun – yang ingin pergi ke Syria untuk berjuang, atau menyokong perjuangan ISIS dengan menjadi ‘pengantin jihad’, isteri anggota ISIS, menurut satu kenyataan ISD pada 2 April.

“Ancaman yang dihasilkan ISIS tidak berkurangan, malah diteruskan melalui usaha propaganda dalam talian, rangkaian maya penyokongnya, dan afiliasi global,” kata kenyataan ISD itu.

Sejak 2015, ISD telah menangani kes melibatkan 17 remaja berusia 20 tahun ke bawah di bawah ISA, kesemuanya yang menjalani radikalisasi sendiri secara dalam talian.

Daripada 17 remaja itu, sembilan daripada mereka ingin melancarkan serangan di Singapura.

Remaja lelaki berusia 17 tahun itu pula adalah belia Singapura keempat yang ditahan di bawah ISA sejak Disember 2020 kerana mempunyai pemahaman ekstremis sayap kanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg