Konflik Israel-Palestin yang berlarutan mungkin telah membuat mereka lesu dan kurang melibatkan diri dalam perbincangan di media sosial.
Namun adalah penting untuk terus memberi ruang yang selamat kepada belia di Singapura untuk mengemukakan dan meluahkan perasaan mereka melalui perbincangan terbuka dalam ruang yang selamat, kata beberapa belia yang ditemui Berita Harian (BH).
Ini sedang keganasan dan konflik kian bertambah di Timur Tengah, selepas Israel menyerang Beirut, mencetus penglibatan langsung Hezbollah dan yang terkini, Iran.
Cik Ayra Mohammed, 20 tahun, berkata meskipun setahun telah berlalu sejak konflik Israel-Palestin terkini tercetus pada 7 Oktober 2023, sentimen masyarakat dan belia sepertinya mengenai konflik itu dan kemahuan untuk memainkan peranan untuk membantu mangsa masih kuat.
“Saya perhatikan masyarakat masih bertenaga untuk melakukan lebih bagi menyokong mangsa-mangsa Palestin yang terjejas.
“Walau bagaimanapun, ada juga golongan yang tidak lagi terdorong untuk membantu kerana mereka melihat situasi itu seperti sesuatu yang ‘normal’ kerana tempoh masa yang lama telah berlalu,” ujar Cik Ayra, mahasiswi tahun kedua dalam jurusan Sistem Kejuruteraan dan Reka Bentuk di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
Konflik terkini Israel-Palestin tercetus selepas kumpulan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober, mencetus tindak balas Israel.
Perangkaan terkini dari Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menunjukkan 1,200 rakyat Israel telah terbunuh dan lebih 5,400 cedera akibat konflik tersebut.
Di Gaza, Lebih 41,000 warga Palestin telah terbunuh, dengan lebih 96,000 cedera.
Konflik Israel-Palestin menarik perhatian bukan hanya kerana skala keganasan yang berlaku, malah kerana buat kali pertama dalam sejarah, keganasan ini boleh dilihat oleh sesiapa sahaja di media sosial dan tanpa ditapis.
Perkara ini mengundang perbuatan menerbitkan berita palsu melalui video yang disunting mengikut naratif tertentu misalnya, yang boleh mencetus emosi dan mengapi-apikan keadaan.
Justeru, Encik Muhammad Azhar Mohamed Iqbal, 27 tahun, berkata maklumat yang dikongsi daripada sumber yang dipercayai seperti penjawat awam Melayu/Islam adalah penting bagi belia kerana mereka dapat “melihat gambaran yang lebih besar dan berfikir dari segi situasi geopolitik yang lebih luas dan dari segi isu keselamatan negara”.
“Dalam erti kata itu, apabila menteri memberi penjelasan, kami mendapat pandangan yang lebih objektif tentang keputusan yang diambil oleh pemerintah kerana mereka lebih berpengalaman dalam geopolitik berbanding dengan kami yang hanya membaca dan melihat kandungan dari skrin.
“Saya rasa ianya membantu untuk memberi kami lebih banyak perspektif yang membolehkan kami berfikir dengan minda yang lebih terbuka,” ujar Encik Azhar, penuntut tahun akhir pengajian possiswazah undang-undang (Juris Doctor) di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
“Kita perlu memahami apa yang sedang berlaku, dan kita tidak seharusnya membiarkannya mengaburkan pertimbangan kita tentang cara kita bertindak.”
Menjawab soalan Berita Harian (BH) Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata ada kemungkinan belia termasuk dalam kepompong maklumat yang mana mereka tidak dapat membezakan pendapat mereka dengan pendapat berbeza, ekoran maklumat yang mudah diakses.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan untuk membaca dengan luas.
Beberapa sesi dialog telah diadakan di Singapura sejak 7 Oktober, membolehkan belia mengutarakan pandangan berhubung konflik, termasuk yang diadakan baru-baru ini, melibatkan Cik Rahayu; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim,
Seramai 60 belia daripada institusi pengajian tinggi yang berbeza dapat mengutarakan soalan-soalan tentang konflik Israel-Gaza yang telah berlarutan selama hampir setahun.
Peserta dialog yang ditemui BH berkata mereka berbesar hati diberi peluang untuk mengajukan soalan mengenai konflik Israel-Palestin.
Antara lain, belia yang ditemui BH setelah tamat sesi dialog tersebut berkongsi bagaimana pandangan dan perspektif yang berbeza amat penting agar mereka tidak terpengaruh dengan algoritma dan kandungan di media sosial yang berpihak dan berbelah bagi.
Mereka turut mengutarakan hasrat mereka untuk melakukan lebih, baik dari segi mengumpulkan derma bagi bantuan kemanusiaan ataupun dengan mengadakan ruang selamat untuk membincangkan perkembangan konflik Gaza-Israel setelah setahun.
Namun mereka tetap ragu-ragu akan batas yang ada untuk mereka berbincang dan menjalankan usaha sokongan kemanusiaan.
Bagi mengurangkan keraguan belia, Encik Zaqy berkata:
“Apa yang saya berharap adalah supaya belia-belia kita boleh terus menjadi proaktif, memahami bagaimana kita dapat menjalankan, menggabung tenaga di antara masyarakat seperti memberi bekalan perubatan, bekalan makanan dan sebagainya untuk kita teruskan usaha kemanusiaan kita.
“Bagi saya, ini amat penting oleh kerana kita mempunyai misi kemanusiaan, yang mana Singapura dan masyarakat kita telah memberi sokongan yang baik sehingga sekarang.”
Beliau menambah bahawa dengan sesi dialog dan perkongsian sedemikian, para belia dapat memahami pendirian Singapura berhubung konflik di Timur Tengah, serta bantuan yang telah Singapura hulurkan untuk membantu mangsa-mangsa yang terjejas.
Setakat ini, Singapura telah menyumbang lebih $17 juta untuk Gaza, termasuk sumbangan warga Singapura menerusi pelbagai badan-badan bukan mencari untung dan kemanusiaan.
“
“Kita perlu memahami apa yang sedang berlaku dan kita tidak seharusnya membiarkannya mengaburkan pertimbangan kita tentang cara kita bertindak.”“
“Saya perhatikan masyarakat masih bertenaga untuk melakukan lebih bagi menyokong mangsa-mangsa Palestin yang terjejas. Walau bagaimanapun, ada juga golongan yang tidak lagi terdorong untuk membantu kerana mereka melihat situasi itu seperti sesuatu yang ‘normal’ kerana tempoh masa yang lama telah berlalu.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg