Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: Belia perlu peka pengaruh luar, elak terjebak fahaman radikal

Oct 1, 2024 | 8:42 PM
(Dari kiri) Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di sesi dialog anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) bersama sekitar 60 belia Melayu/Islam di Civil Service Club @ Tessensohn pada 1 Oktober.
(Dari kiri) Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di sesi dialog anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) bersama sekitar 60 belia Melayu/Islam di Civil Service Club @ Tessensohn pada 1 Oktober. - Foto BH oleh IRMA KAMARUDIN

Golongan belia perlu peka dan sedar akan pengaruh luar yang cuba mengeksploitasikan situasi seperti konflik Gaza-Israel, dan mengelak daripada dipergunakan oleh pihak sedemikian untuk menyebarkan maklumat salah dalam talian dan dipengaruhi ideologi radikal, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Ditemui media selepas satu sesi dialog anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) bersama sekitar 60 belia Melayu/Islam pada 1 Oktober, Encik Zaqy berkata meskipun lumrah bagi individu mempunyai pandangan dan rasa simpati tentang apa yang sedang berlaku di Gaza, adalah amat penting untuk meneruskan usaha sebagai masyarakat untuk memahami situasi geopolitik dan pendirian Singapura.

“Matlamat hari ini adalah untuk mendekati ataupun menguar-uarkan kepada belia kita akan ancaman pengganasan oleh kerana ada kumpulan di luar Singapura… yang mahu menggunakan belia kita, ataupun mereka yang diberi maklumat salah, ataupun terpengaruh dengan fahaman radikal, untuk menjalankan kegiatan oleh kumpulan tersebut.

“Apa yang penting adalah kita memperkembangkan ilmu golongan belia ini supaya mereka faham akan ancaman yang wujud hari ini dan bagaimana ancaman pengganasan dan fahaman radikal ini boleh membawa padah kepada hubungan antara kaum di Singapura dan juga keselamatan kita di sini,” kata beliau.

Encik Zaqy berkata dengan masyarakat Singapura mempunyai akses yang baik kepada pelbagai sumber dan berita di dalam talian, beliau berharap orang ramai bukan hanya membaca “sumber-sumber yang kita suka”, namun membuka mata mereka kepada keadaan sebenar dan dapat membezakan antara maklumat sahih dengan salah.

“Saya rasa amat penting kita teruskan usaha kita sebagai masyarakat… untuk menjalankan tanggungjawab memahami situasi geopolitik, pendirian Singapura dan undang-undang antarabangsa, dan bagaimana kita boleh menjadi masyarakat proaktif yang dapat memberikan bantuan dan sokongan,” kata beliau.

Turut hadir di dialog yang diadakan di Civil Service Club @ Tessensohn itu ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Cik Rahayu berkata dengan maklumat kini boleh didapati di hujung jari, golongan belia terdedah kepada isu-isu yang berlaku di tempat yang jauh, namun bahayanya adalah apabila mereka tidak dapat membezakan antara maklumat betul dengan yang salah.

“Jika mereka tidak periksa dan tidak memahami tentang algoritma yang ada, mereka mungkin akan terus termasuk dalam satu kepompong maklumat di mana mereka tidak dapat memahami pendapat yang berbeza daripada pendapat mereka.

“Oleh itu, penting untuk kita selalu menggalakkan belia dan orang ramai agar lebih terbuka membaca bahan-bahan yang berbeza, untuk cuba memahami orang yang mungkin mempunyai pendapat yang berlainan daripada mereka,” kata beliau.

Semasa sesi dialog itu, para peserta belia antara lain telah mengutarakan soalan tentang konflik Gaza-Israel yang berlarutan dan pendirian Singapura berhubung konflik itu, serta ancaman radikalisasi.

Dr Faishal berkata lebih 30 sesi dialog sedemikian telah diadakan MHA dan juga badan-badan yang lain bagi menyediakan ruang selamat untuk membincangkan isu-isu sensitif dalam konteks Singapura, dan pemerintah akan terus mengadakan lebih banyak usaha sedemikian.

Peserta, Encik Muhammad Uwais Firas Fared, 23 tahun, berkata sesi dialog sedemikian sangat penting bagi golongan belia kerana ia membuka ruang untuk pemahaman yang lebih mendalam tentang isu sejagat.

“Saya rasa sentimen masyarakat telah menjadi lebih berhati-hati dan berusaha untuk memahami perspektif yang berbeza,” kata beliau.

Cik Ayra Mohammed, 20 tahun, pula berkata sesi dialog yang dihadirinya itu sangat berguna kerana ia membantu beliau untuk lebih memahami keputusan tertentu yang diambil pemerintah atau ketua negara.

“Ia juga meluaskan perspektif kita untuk memahami situasi yang sensitif dalam perspektif atau daripada pandangan yang berbeza,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg