Tatkala seseorang dibelenggu persoalan apakah kerjaya yang patut dilakukannya, ramai yang akan beri nasihat: ikutlah minat.
Namun, mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, keberatan mengeluarkan nasihat sebegitu.
“Orang selalu cakap, ikut minat anda, tapi saya keberatan berkata demikian kerana kadangkala minat anda bukanlah apa yang anda pandai lakukan.
“Anda sangat suka melukis, sangat suka main gitar, anda ingin sekali menyertai band – itu semua okey, tapi anda mungkin tidak bagus dalam melakukan perkara-perkara tersebut, tidak cukup bagus sehingga membolehkan anda menyara kehidupan daripada hasilnya.
“Jadi anda harus berhati-hati dengan maksud ‘ikut minat anda’,” ujar beliau kepada sekumpulan 80 belia pada 31 Mei lalu.
Jawapan Puan Halimah itu adalah respons kepada soalan yang diajukan salah seorang belia yang meminta nasihat beliau kepada anak muda yang masih tidak pasti akan arah tujuan kehidupan dan kerjaya mereka.
“Orang muda selalu cakap ‘saya sangat bosan, kerja ini sangat berulang-ulang’. Setiap pekerjaan akan ada perkara berulang-ulang, ada rutin. Padahal tugas Presiden pun sangat berulang-ulang!
“Namun, anda boleh menyuntik semangat, minat dalam kerja anda, lihat tugas tersebut dan katakan ia bukan hanya satu kerja semata-mata. Ia juga merupakan kerja yang membolehkan saya menyumbang sesuatu, menambah nilai kepadanya. Itu sangat penting,” tambah beliau.
Beliau berkata anak muda patut ambil berat tentang ekonomi Singapura dan pastikan ia akan terus berkembang di masa hadapan kerana selagi ekonomi negara maju dan terus mencipta pekerjaan, mereka tidak perlu risau sama ada peluang pekerjaan akan tersedia.
“Cabaran anda adalah untuk mencari pekerjaan yang serasi dengan kecekapan dan kemahiran anda.
“Persekitaran sudah berubah. Jadi sesetengah pekerjaan kini tidak lagi relevan… Jadi itulah perkara yang anda perlu peka.
“Dan di sinilah anda tidak boleh mengatakan ‘oh saya dah dapat ijazah saya, sarjana saya, saya sudah cukup okey’. Tidak. Ia mestilah satu proses pembelajaran berterusan, pembelajaran sepanjang hayat,” kata Puan Halimah lagi.
Beliau berkongsi pandangan dan nasihatnya itu semasa sesi perbualan dengan 80 belia daripada pelbagai latar belakang yang telah mendaftar bagi sesi pertama Siri Jauhari anjuran Berita Harian (BH) dan OMGxBH.
Siri tersebut, yang disokong unit maklum balas pemerintah, Reach, bertujuan membolehkan pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian berkongsi kejayaan kehidupan dan kerjaya mereka bersama golongan muda sebagai inspirasi dan dorongan.
Puan Halimah menerima anugerah tersebut pada 2001.
Selain nasihat kerjaya kepada anak-anak muda itu, Puan Halimah turut berkongsi tentang perjalanan kerjayanya – bermula dalam pergerakan buruh bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) hinggalah ketika beliau menabur bakti di pejabat tertinggi negara sebagai Presiden sebelum bersara pada 2023.
Masanya sebagai pegawai di NTUC telah mengajarnya kepentingan memastikan beliau sentiasa mempunyai hubungan dan pendekatan dengan pekerja biasa.
“Penglibatan dengan pekerja biasa adalah kritikal. Anda perlu turun padang dan bercakap dengan setiap kesatuan, menerangkan kepada mereka dan kemudian anda mendapat maklum balas mereka,” katanya.
Semasa berkhidmat sebagai Presiden pula, Puan Halimah memastikan beliau banyak mendekati masyarakat – sesuatu yang sangat penting baginya “kerana saya selalu berasakan bahawa Istana dan Presiden tidak patut rasa jauh daripada orang ramai”.
Akur menjadi Presiden dan Speaker wanita pertama Singapura merupakan “tugas yang sangat menggerunkan”, Puan Halimah berkongsi ia telah menanamkan rasa ingin berjaya lebih mendalam dalam dirinya.
“Rasanya seolah-olah anda berada dalam kawasan yang belum diuji untuk wanita. Dan bila anda berada di dalam kawasan yang belum diuji, anda cenderung meletakkan banyak tanggungjawab ke atas diri sendiri.
“Anda mahu pastikan anda berjaya kerana jika anda tidak berjaya, akan ada (orang yang berkata) ‘ah tengok lah, ada Presiden wanita pun tak guna’.
“Jadi saya mesti katakan menggalas tugas Speaker wanita pertama, Presiden wanita pertama, menambahkan tekanan yang luar biasa dan rasa tanggungjawab yang besar ke atas diri saya dan saya memandangnya dengan sangat, sangat, sangat serius,” ujar beliau.
Puan Halimah turut diminta berkongsi harapan dan kebimbangannya bagi Singapura.
Beliau berkata Singapura mesti memastikan ia terus menjadi sebuah negara yang “luar biasa” di mata dunia.
Dengan dunia yang pesat berubah dan peluang yang datang dengannya, banyak negara lain juga berkembang dan maju dengan rakyat masing-masing bercita-cita mencapai kehidupan lebih baik.
“Antara perkara yang saya bimbangkan ialah jika kita tidak fokus memastikan kita terus menjadi luar biasa,” katanya.
Singapura merupakan negara sangat kecil yang tidak mempunyai sumber yang dimiliki banyak negara lain, jelasnya.
“Kita tidak boleh berdiam diri. Sebaik sahaja kita rasa kita telah mencapai kejayaan dan kita sudah boleh rehat sedikit, ia akan dengan cepat menjadi situasi dengan kita tidak lagi merupakan negara yang luar biasa,” ulasnya.
Sesi pertama Siri Jauhari yang berlangsung sekitar dua jam itu dipenuhi dengan soalan, jawapan dan perkongsian cukup santai dan terus terang serta disuntik dengan gelak ketawa daripada para hadirin di kafe (working title) di Maktab Seni LaSalle.
Anak muda yang hadir juga berpeluang mengambil swafoto dengan mantan Presiden itu.
Pelajar Perhubungan Am dari Politeknik Republik yang hadir semasa sesi tersebut, Cik Syarifah Asyura, 19 tahun, mendapati sesi itu sangat bermanfaat dan gembira soalannya dijawab Puan Halimah.
“Saya dapati jawapan beliau sangat berharga... Perkara utama yang saya bawa pulang daripada jawapannya ialah bagaimana beliau berkata adalah penting untuk sentiasa meningkatkan diri, meningkatkan kemahiran dan sentiasa memastikan bahawa kita mempunyai kemahiran yang betul untuk pekerjaan masa depan,” katanya.
Seorang lagi yang hadir, Encik Syukri Azman, 30 tahun, berkata sesi tersebut sangat santai dan merupakan peluang yang tidak mudah didapatkan iaitu untuk berinteraksi secara dekat dengan individu terhormat seperti Puan Halimah.
“Sememangnya saya akan mengambil peluang akan datang untuk bersama-sama dengan belia lain bagi sesi (Siri Jauhari) seterusnya serta mengajak lebih ramai belia dari golongan profesional untuk ke hadapan dalam sesi-sesi ini,” tambah profesional Pembelajaran & Pembangunan Serantau itu.
Sesi pertama pada malam 31 Mei turut disertai Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang juga Timbalan Pengerusi Panel Penasihat Reach; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.
“
Orang muda selalu cakap ‘saya sangat bosan, kerja ini sangat berulang-ulang’. Setiap pekerjaan akan ada perkara berulang-ulang, ada rutin. Padahal tugas Presiden pun sangat berulang-ulang! Namun, anda boleh menyuntik semangat, minat dalam kerja anda, lihat tugas tersebut dan katakan ia bukan hanya satu kerja semata-mata. Ia juga merupakan kerja yang membolehkan saya menyumbang sesuatu, menambah nilai kepadanya. Itu sangat penting.“
Saya dapati jawapan beliau sangat berharga... Perkara utama yang saya bawa pulang daripada jawapannya ialah bagaimana beliau berkata adalah penting untuk sentiasa meningkatkan diri, meningkatkan kemahiran dan sentiasa memastikan bahawa kita mempunyai kemahiran yang betul untuk pekerjaan masa depan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg