Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Didik umat penuh ikhlas dan dedikasi bergenerasi

Ustazah Habsah Senin berbakti sampaikan ilmu, nilai Islam lebih 30 tahun di Masjid Darul Makmur
May 23, 2025 | 5:30 AM
masjid darul makmur, habsah senin, yishun, kuliah, fardu ain
Kuliah fardu ain buat Muslimah oleh Ustazah Habsah Senin (bercakap pada mikrofon) sentiasa menarik jemaah. Ia diadakan setiap Ahad, bermula 3.30 petang, di Nur Insan A’posh Bizhub di Yishun sementara menanti Masjid Darul Makmur siap dibangunkan semula. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Di arus dunia yang sentiasa berubah pesat dengan arus kemodenan, masih ada insan yang tetap teguh berdiri bersemangat berkongsi ilmu dengan penuh keikhlasan dan kewibawaan.

Salah seorang daripada mereka ialah pendakwah mapan, Ustazah Habsah Senin. Beliau adalah antara tokoh wanita yang telah banyak menabur bakti dan menyantuni masyarakat dengan penuh kelembutan, hikmah dan istiqamah – lebih 30 puluh tahun, khususnya dalam menyampaikan ilmu agama di Masjid Darul Makmur.

Ustazah Habsah bahkan telah berkhidmat sebelum bangunan masjid ini didirikan di tapaknya sekarang di Yishun.

“Sebelum masjid ini dibina, saya sudah pun mengadakan kuliah di kolong blok. Kami hanya bentang tikar, duduk di ruang lapang bersama-sama beberapa jemaah wanita yang benar-benar dahagakan ilmu agama. Waktu itu serba kekurangan, tapi semangat kami luar biasa,” ujarnya dengan senyuman terukir di bibir.

Apabila Masjid Darul Makmur siap dan dibuka pada 1987, Ustazah Habsah antara asatizah pertama melanjutkan misi dakwah di situ. Dengan pendekatan yang mesra dan penyampaian menyentuh jiwa, beliau menjadi wajah yang dikenali dan dihormati, terutama dalam kalangan kaum ibu dan warga emas yang saban minggu setia menghadiri kuliah Muslimahnya.

“Saya sentiasa yakin jika ilmu disampaikan dengan keikhlasan, ia akan sampai dan masuk ke dalam hati. Tugas saya bukan sekadar memberi ceramah, malah menyentuh hati dan jiwa,” kata Ustazah Habsah dengan lembut.

Menyaksikan tiga generasi meningkat dewasa

Selama lebih 30 tahun berbakti di Masjid Darul Makmur, Ustazah Habsah telah menyaksikan perjalanan hidup tiga generasi jemaah.

Ibu dan bapa yang sekarang menghantar anak atau cucu mereka ke kuliah dan kelas agama dahulu adalah anak murid beliau. Ada juga bekas pelajarnya yang kini kembali ke masjid itu sebagai guru dan asatizah muda, meneruskan warisan beliau mencurahkan ilmu agama kepada masyarakat.

Namun, perjalanan dakwah bukan tanpa cabaran.

Ustazah Habsah berkata: “Memang ada masanya susah nak kekalkan minat masyarakat, terutama generasi muda, terhadap program dan kuliah keagamaan. Tapi kita kena kreatif. Gunakan pendekatan yang lebih sesuai dengan zaman.”

Kesediaan Ustazah Habsah menyesuaikan diri dengan perubahan zaman mencerminkan jiwa pendidiknya yang sejati. Beliau sentiasa menyesuaikan pendekatan dan penyampaiannya dalam mengajar dengan keadaan, meskipun telah lama mengukir nama dalam lapangan dakwah.

Nafas baru Masjid Darul Makmur

Kini, Masjid Darul Makmur sedang melalui fasa penting dalam sejarah pembangunannya. Projek ubah elok menyeluruhnya bukan memberi wajah baru kepada bangunannya sahaja, bahkan memperkukuh lagi peranannya sebagai pusat masyarakat dan pendidikan Islam yang menyeluruh.

Di bawah projek ubahsuai itu, antara ruang dewan solat utama dipertingkat, bilik kuliah dijadikan lebih selesa, dan kemudahan lain dijadikan mesra keluarga, wanita dan warga emas.

“Saya sangat teruja menantikan pembukaan semula masjid ini. Daripada sekadar bangunan cantik, saya berharap ia menjadi pusat ilmu dan kasih sayang yang lebih kuat,” ujar Ustazah Habsah penuh harapan.

Dalam nada lembut namun tegas, beliau turut berpesan kepada masyarakat Islam.

“Masjid ini sudah banyak memberi kepada kita semua, ilmu, ketenangan, bimbingan. Kini tibalah masa untuk kita menyumbang kembali. Saya seru kepada semua, hulurkanlah sumbangan, walaupun sedikit, demi kesinambungan dakwah di masjid ini,” ujar Ustazah Habsah.

Dedikasi Ustazah Habsah terpahat dalam hati ribuan jemaah yang pernah disentuh oleh bimbingan dan kasih sayang beliau. Jasa beliau amat besar dalam membentuk generasi yang mencintai agama dan berpegang teguh pada nilai-nilai Islam.

Dari kuliah di kolong blok yang sederhana hingga ke dewan moden yang gah, Ustazah Habsah menjadi tunjang utama dalam transformasi Masjid Darul Makmur.

Beliau seorang wanita bersemangat waja yang tidak pernah jemu menyebar cahaya ilmu dengan penuh keikhlasan dan istiqamah.

Untuk menderma, sila imbas kod QR ini.
Untuk menderma, sila imbas kod QR ini. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

SEKILAS:

Cara derma kepada ‘Projek Wakaf Peningkatan Masjid Darul Makmur’

* PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf)

* Pindahan bank ke akaun: OCBC Semasa 581-652138001 (Rujukan: Wakaf)

* Melalui cek ke atas nama: ‘MASJID DARUL MAKMUR’ & dihantar melalui pos ke: 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.

* Datang ke kaunter sementara masjid di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane 757620 (pada waktu pejabat).

* Imbas kod QR yang tertera.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg