Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) harus terus berkembang maju dan mengorak langkah menangani ancaman radikalisme serta memperkukuh usaha mendekati belia, kata Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali.

Ini sedang kandungan ekstrem yang wujud di ruang digital, yang sering diguna pakai golongan belia, dapat membiak pembangunan ideologi ekstrem, ujar beliau.

Semasa memberikan kata-kata aluan sempena Rahat RRG ke-21 di Resort Shangri-La Rasa Sentosa pada 2 Jun, beliau berkata kumpulan itu sedang memperluaskan titik hubungannya dengan masyarakat, khususnya di wadah digital.

Ini lebih-lebih lagi sedang ancaman radikalisasi dan kandungan bersifat ekstremis bertapak di wadah sedemikian, tambah beliau.

“Tatkala kami mempertingkatkan daya pengetahuan kami, kami juga harus mempertingkatkan prasarana komunikasi kami.

“Jika ancaman ini telah bertukar kepada ruang digital, jangkauan dan kehadiran kami harus memanfaatkan ruang yang sama,” kata Ustaz Dr Mohamed.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kata-kata aluannya kepada sekitar 70 hadirin, termasuk Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, yang hadir selaku tetamu terhormat.

Turut hadir ialah seorang lagi Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamad Hasbi Hassan; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamed Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir serta anggota RRG lain.

Ustaz Dr Mohamed berkata jejak digital RRG – yang kini merangkumi wadah Facebook, Instagram, TikTok dan baru-baru ini WhatsApp – mencerminkan komitmen badan itu untuk menjangkau golongan belia dan masyarakat umum.

Menurutnya, bilangan pengikut yang melanggani atau mengikuti wadah sedemikian bukanlah perangkaan semata-mata, tetapi usaha “penerokaan berterusan mengenai kaedah terbaik untuk berhubung dengan masyarakat”.

Berkenaan saluran WhatsApp yang diumumkan di rahat itu dan dilancarkan pada pertengahan Mei, beliau berkata saluran tersebut bertujuan menyanggah maklumat salah dengan cara yang mudah diakses, melalui wadah yang dipercayai.

“Dalam era digital, jangka perhatian adalah singkat dan bilangan maklumat salah begitu banyak sekali.

“Untuk mengatasi perkara ini, kami berharap saluran WhatsApp RRG akan berfungsi sebagai platform mudah diakses dan dipercayai,” ujar Ustaz Dr Mohamed.

Dalam satu kenyataan RRG pada 2 Jun, saluran itu mengongsi kandungan bersifat renungan agama, pendidikan konsep keagamaan, ulasan tentang isu kontemporari yang mempengaruhi masyarakat, serta bahan jangkauan berkaitan dengan perpaduan sosial, keharmonian dan daya tahan terhadap radikalisasi.

Kandungan sedemikian mudah dihadam untuk menarik minat golongan lebih muda dan memperkukuh kesedaran tentang bahaya naratif ekstremis dan maklumat salah dalam talian, tambah RRG.

Menyentuh berkenaan tema rahat ‘Membina Daya Tahan Belia Menentang Radikalisasi’, Ustaz Dr Mohamed berkata tumpuan terhadap belia ini sesuai dan bertepatan masa sedang Singapura berdepan isu penduduk yang kian menua.

Oleh demikian, golongan belia menjadi tunjang negara dan “aset yang harus dilindungi”, lebih-lebih lagi berlatarbelakangkan cabaran keselamatan sejagat yang kian berubah.

“Cabaran-cabaran ini, termasuk ideologi ekstremis, akan merebak dan memberi kesan kepada golongan muda secara lebih pantas, lebih mendalam, dan dengan cara yang lebih halus berbanding sebelum ini.

“Ini kerana kebanyakan naratif ekstrem ini berkembang maju dalam ruang digital – taman permainan yang terkenal dan berkuasa bagi para belia.

“Kami sedar kebenaran ini: Untuk sentiasa berada di hadapan ancaman yang sentiasa berubah ini, tiada formula tunggal selain daripada pembelajaran berterusan dalam pelbagai bidang baharu yang dianggap kritikal pada masa kini,” katanya.