Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) sedang membina keupayaan untuk memahami bagaimana kecerdasan buatan (AI) dan wadah digital menjejas individu.

Pertubuhan itu sedang mengkaji kaitan antara kelakuan di dalam dan luar talian, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

Encik Shanmugam berkata sifat ancaman telah berubah dengan ketara sejak RRG ditubuhkan pada awal tahun 2000-an apabila tumpuannya adalah pada kaunseling tahanan dari Jemaah Islamiyah, sekutu Asia Tenggara bagi kumpulan militan Islam Al-Qaeda.

Berucap di Rahat RRG ke-21 di Resort Shangri-La Rasa Sentosa pada 2 Jun, beliau berkata wadah digital menyaksikan kegiatan yang lebih tinggi, dengan algoritma lebih tersuai memaparkan “kandungan lebih kurang serupa” kepada pengguna.

“Kandungan ekstremis kini amat terarah, tersuai, menarik, dan ia tersedia dengan jumlah yang banyak. Oleh itu, ia telah mempercepatkan tempoh berlakunya radikalisasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sekitar 70 hadirin, termasuk Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamed Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Turut hadir ialah Pengerusi Bersama RRG iaitu Ustaz Dr Mohamed Ali dan Ustaz Dr Mohamad Hasbi Hassan, anggota RRG lain serta ahli panel yang memberikan perkongsian di rahat itu – bertemakan ‘Membina Daya Tahan Belia Menentang Radikalisasi’.

Encik Shanmugam menjelaskan, jika dilihat daripada purata tempoh kepantasan radikalisasi sejak 10 tahun lalu, tempohnya adalah dua tahun. Namun, ia kini telah merosot kepada setahun.

Bagi sesetengah individu pula, tempoh itu adalah beberapa hari sahaja dan dengan kewujudan AI, “risiko sedemikian semakin meningkat”, katanya.

Beliau menukil contoh warga Singapura berusia 17 tahun yang dikenakan Arahan Penahanan (OD) pada Mac 2025 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada April 2025, belia itu merancang untuk mencetak senjata api cetak 3D dan menggunakannya bagi menyerang individu beragama Islam di sekurang-kurangnya lima masjid serata Singapura.

Motif remaja itu didorong oleh video kejadian tembakan terhadap individu beragama Islam oleh Brenton Tarrant di Christchurch, New Zealand, pada November 2023 dan disiarkan secara langsung di media sosial, tambah ISD.

Selain AI dan teknologi, Encik Shanmugam menegaskan bahawa landskap ancaman semakin berubah, lebih-lebih lagi dengan pergolakan luar negara dek ketegangan geopolitik dan fenomena fahaman bercampur aduk atau salad bar extremism.

Sejak Oktober 2023, ISD telah mengeluarkan enam OD dan Arahan Sekatan (RO) di bawah ISA kepada warga Singapura kerana mereka telah atau ingin membuat persediaan untuk melibatkan diri dalam konflik bersenjata di Gaza atau Iran.

Sekurang-kurangnya seorang individu – remaja berusia 14 tahun – pula telah diberikan RO sejak awal 2025 kerana dipengaruhi fahaman bercampur aduk ini, tambah Encik Shanmugam.

Berkenaan ketegangan Timur Tengah, beliau menjelaskan: “Sebelum ini, Timur Tengah tidak stabil pada awal 2000-an, tetapi ia kini jauh lebih tidak stabil dengan sekurang-kurangnya dua peperangan aktif sedang berlaku.

“Dengan berlakunya pelbagai konflik, potensi untuk meningkatkan amarah orang ramai tidak berkesudahan.

“Dari sini, ada pelbagai aspek yang pelampau dapat eksploitasi dan mereka gunakan konflik bagi mengetengahkan propaganda masing-masing, serta mengolah naratif konflik dari sudut perkauman, agama dan masyarakat.

“(Latar belakang) sejarah yang sangat rumit (bagi negara-negara terbabit)) pula diolah mengikut naratif yang sangat mudah berteraskan emosi.”

Lantaran itu, beliau berkata RRG terus memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat demi memastikan warga Singapura kekal bersatu, sejajar dengan prinsip Islam yang berpaksi sifat ihsan, adil dan saling menghormati sesama insan.

Mendukung usaha RRG, yang rata-rata terdiri daripada asatizah tempatan bertauliah, Encik Shanmugam berkata:

“Anda memberikan panduan agama yang boleh dipercayai, dan bantu menentang tafsiran Islam yang terpesong, yang wujud dalam kalangan beberapa individu di luar sana.

“Anda berinteraksi dengan individu (yang terpengaruh dengan fahaman ekstrem) secara langsung dan melakukannya dengan empati

“Anda membawa kredibiliti… jika pemerintah cuba melakukannya sendiri, ia tidak membawa kredibiliti.”

Sehubungan itu, majlis itu turut menyaksikan pelancaran rasmi saluran WhatsApp RRG, yang berkongsi kandungan berteraskan agama.

Dalam satu kenyataan pada 2 Jun, RRG berkata saluran WhatsApp itu bukan sahaja berfungsi sebagai wadah penyebaran maklumat, tetapi sebagai wadah interaksi antara RRG dengan masyarakat umum.