ISD: Belia S’pura kini lebih cepat jadi radikal
Dapatan terkini daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menunjukkan trend radikalisasi dalam kalangan belia yang semakin membimbangkan. Berita Minggu (BM) menelusuri kancah radikalisasi serta proses pemulihan empat bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ditahan sewaktu belia. Melalui identiti yang dirahsiakan, mereka berkongsi titik hitam perjalanan radikalisasi masing-masing dan sinar harapan yang ditemui dalam proses pemulihan mereka.
Belia kini menjadi radikal lebih cepat, dengan ada yang boleh menjadi radikal dalam tempoh beberapa minggu, kongsi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).
Menurut ISD, wadah dalam talian telah menjadi pemangkin utama dalam menjadi radikal, terutamanya dalam kalangan belia, kerana mereka lebih mudah terdedah kepada bahan ekstremis di situ.
Bahkan, dapatan terkini ISD setakat Mac 2026 menunjukkan purata tempoh radikalisasi kini merosot kepada kurang daripada lapan bulan, bagi tempoh antara 2020 dengan 2025.
Tempoh itu hampir separuh lebih pantas berbanding purata 14 bulan yang dicatatkan antara 2015 dengan 2019.
ISD berkata: “Wadah dalam talian telah menjadi faktor utama dalam memudahkan proses radikalisasi, terutamanya dalam kalangan belia.
“Dibesarkan pada zaman teknologi digital, golongan belia lebih terdedah kepada pendedahan dan penglibatan dengan bahan ekstremis secara dalam talian.
“Selain itu, perkembangan identiti dan kemahiran kognitif mereka yang masih di peringkat awal (seperti kekurangan pemikiran kritis dan kemahiran menilai maklumat) boleh menjadikan mereka lebih rentan kepada pengaruh ekstremis.”
ISD menambah radikalisasi dalam kalangan belia kekal menjadi kebimbangan yang mendesak di Singapura dengan jumlah kes semakin meningkat, dan mereka yang menjadi radikal pula semakin muda.
Daripada 50 warga Singapura yang menjadi radikal sendiri dan dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 2015, seramai 19 orang merupakan belia berusia 20 tahun dan ke bawah.
Seramai 14 daripadanya atau lebih daripada dua pertiga dikenal pasti sejak 2020.
Individu paling muda yang dikenakan perintah di bawah ISA adalah tiga remaja berusia 14 tahun (kesemuanya dikenakan Arahan Sekatan, atau RO secara berasingan) dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Salah seorang daripadanya menjadi radikal selepas terpengaruh dengan kandungan dalam talian dan menganggap dirinya sebagai anggota kumpulan militan ISIS, telah dikenakan RO pada November 2025.
Menurut ISD, ancaman yang dibawa golongan belia tidak kurang seriusnya berbanding orang dewasa.
“Sembilan daripada 19 belia tersebut berhasrat melancarkan serangan di Singapura, kebanyakannya menggunakan senjata ringkas yang mudah didapati,” tambahnya.
Bagi Encik Hamzah (bukan nama sebenar), beliau hanya memerlukan sekitar satu bulan setengah daripada pendedahan pertama mengenai ISIS, kepada keinginan membeli tiket untuk berjuang di Syria bersama kumpulan pengganas itu.
Apabila diwawancara Berita Minggu (BM), Encik Hamzah berkata beliau meluangkan sekitar enam jam setiap hari untuk menonton penceramah pengganas seperti Anwar al-Awlaki dan selainnya serta menonton video keganasan.
Ini memberinya justifikasi apa sahaja yang dilakukan ISIS selaras dengan ajaran Islam.
“Pada awalnya, saya menemui satu video dokumentari mengenai ISIS dan bagaimana anggotanya berasa sangat gembira berada di bawah ‘Khilafah Islam’ itu.
“Selepas mula menemui (pelbagai) penceramah pengganas dalam talian, entah bagaimana algoritma YouTube juga akan mengesyorkan penceramah radikal yang lain... yang menyajikan kandungan dengan konteks serupa, menyentuh tentang keganasan,” katanya yang ditahan di bawah ISA ketika usianya 18 tahun.
Kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan, berkata bagi Encik Hamzah, radikalisasi bermula daripada perasaan ingin tahu, yang membawanya kepada sumber rujukan yang salah.
“Algoritma media sosial mempercepatkan proses tersebut dengan menyajikan lebih banyak kandungan ISIS sehingga beliau akhirnya hanyut ke dalam satu situasi ekstremisme sehingga sukar berhenti atau keluar daripadanya,” kata Ustaz Saiful Rijal.
Menurutnya, disebabkan tahap capaian golongan ekstremis dunia dalam talian adalah sangat meluas, maka, mudah untuk belia menemuinya.
“Jika kita melakukan sesuatu seperti menyekat laman web tertentu, ia akan muncul semula di tempat lain.
“Sekiranya ia tidak lagi tersedia di domain awam, mereka akan bergerak secara rahsia dan boleh didapati di dalam ‘dark web’, sebagai contoh,” tambahnya.
‘Dark Web’ merujuk pada sebahagian daripada Internet yang tidak boleh dicapai melalui enjin carian biasa (seperti Google) dan memerlukan perisian khas untuk masuk ke dalamnya.
Oleh itu, Ustaz Saiful Rijal menekankan peri pentingnya bagi belia mempunyai kecelikan digital, serta sokongan ibu bapa dan rakan sebaya agar mereka tidak terjerumus dalam kancah radikal.
Sementara itu, kaunselor agama dan mentor belia, Pastor Joachim Lee Tai Loong, berpendapat kehadiran kecerdasan buatan (AI) boleh meningkatkan risiko radikalisasi kerana teknologinya berupaya memanipulasi emosi golongan muda.
Dengan kepesatan teknologi masa kini, belia dihujani maklumat, termasuk berita palsu yang sangat meyakinkan, sehingga mereka mula mempercayainya sebagai kebenaran.
“AI sangat ‘bijak’. Anda akan dapati ia banyak bermain dengan emosi seseorang, ia merayu kepada perasaan.
“Belia akan mudah tertarik dan sebaik sahaja berlaku, akan wujud rasa ‘kepuasan segera’,” ujarnya.
Pastor Joachim menambah otak belia belum terbentuk sepenuhnya.
Lantas, dengan apa yang sedang berlaku, mereka mula percaya perkara itu benar.
“Apabila mereka percaya ia benar, mereka mula berfikir dengan mentaliti ‘saya lawan dunia’.
“Maka, teknologi itu sendiri adalah baik, tetapi bagaimana ia digunakan boleh memberi kesan kerana golongan muda sangat mudah terpengaruh,” kata beliau lagi.

