Belia Melayu di Singapura didapati lebih cenderung mengalami gejala kemurungan, keresahan dan tekanan berbanding belia Cina dan India.
Demikian antara kesimpulan hasil Kajian Kesihatan Mental Belia Kebangsaan (NYMHS) oleh Institut Kesihatan Mental (IMH).
Dapatan pusingan pertama kajian itu – yang pertama kali dilaksanakan di peringkat nasional untuk menilai tahap kesihatan mental belia di Singapura – didedahkan kepada pihak media dalam satu taklimat pada 19 September di IMH.
Sebagai respons kepada Berita Harian (BH) susulan taklimat tersebut, IMH berkata responden Melayu didapati mempunyai kebarangkalian 1.8 kali lebih tinggi manakala responden India mempunyai kebarangkalian 1.4 kali lebih tinggi untuk melaporkan gejala kemurungan tahap teruk sehingga sangat teruk jika dibandingkan responden Cina.
Responden Melayu juga mempunyai kebarangkalian 1.9 kali lebih tinggi untuk melaporkan gejala keresahan dan 1.6 kali lebih tinggi untuk gejala tekanan yang teruk hingga sangat teruk jika dibandingkan dengan responden Cina.
Kajian itu mula dilaksanakan pada 2022 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (MOH), Pusat Kecemerlangan bagi Kesihatan Mental Belia (Chat) dan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS).
Kajian itu mendedahkan bahawa hampir sepertiga responden (30.6 peratus) berusia antara 15 dengan 35 tahun dilaporkan mengalami gejala kemurungan, keresahan dan/atau tekanan yang teruk atau sangat teruk.
Berkongsi dapatan tersebut, penyelidik utama kajian itu yang juga pengerusi lembaga perubatan IMH, Profesor Madya Swapna Verma, berkata:
“(Pengalaman) melayari kerumitan membesar sebagai belia sahaja sudah cukup mencabar, tetapi anak muda hari ini bergelut dengan isu unik yang tidak dialami oleh generasi sebelum ini.
“Sebagai contoh, media sosial mendedahkan mereka kepada perbandingan berterusan, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap imej tubuh badan, antara lain.
“Dunia dalam talian yang bersifat tidak bernama juga telah menimbulkan pembulian di alam siber yang menambah dimensi baru terhadap gangguan yang boleh berterusan dan tersebar luas.”
Menurut satu kenyataan IMH pada 19 September menyusuli taklimat tersebut, kajian tersebut dilaksanakan untuk mengenal pasti kelaziman gejala kemurungan, keresahan dan tekanan teruk.
Ini termasuk faktor terkait seperti pembulian siber, kebimbangan terhadap bentuk tubuh badan dan penggunaan media sosial berlebihan, serta rawatan dan sumber sokongan dalam kalangan golongan muda di sini, tambah IMH.
Kajian itu, kata IMH lagi, dijalankan melalui sesi temu ramah secara fizikal ke atas 2,600 golongan muda antara Oktober 2022 dengan Jun 2023, dengan hasil kajian ini mewakili populasi belia di Singapura. Setiap seorang individu yang menyelesaikan tinjauan ini menerima bayaran sebanyak $50.
IMH menambah, gejala keresahan merupakan masalah kesihatan mental yang biasa dihadapi responden dengan lebih seperempat (sekitar 27 peratus) daripada mereka menyatakan bahawa mereka mempunyai gejala teruk atau sangat teruk.
Ini disusuli dengan gejala kemurungan, dengan seorang daripada 7 belia (14.9 peratus) melaporkan gejala teruk atau sangat teruk – gejala ini termasuk kesedihan, kekosongan dan tiada minat melakukan aktiviti, antara lain.
Masalah kesihatan mental seterusnya yang lumrah dialami golongan ini adalah tekanan.
Profesor Madya Verma menambah: “Tidak semua individu dengan gejala yang teruk atau sangat teruk menghadapi masalah klinikal, namun sekiranya mereka masih berada dalam senario atau perasaan sedemikian untuk jangka masa panjang, ia boleh memudaratkan kesejahteraan mereka.”
Dengan mengenal pasti kumpulan yang berisiko lebih besar untuk mengalami masalah kesihatan mental, hasil kajian membolehkan penggubal dasar dan penyedia perkhidmatan “membangunkan pendekatan lebih disasarkan” bagi menangani keperluan mereka dan mencegah kumpulan ini daripada menghidap penyakit mental, tambahnya.
Penolong pengerusi lembaga perubatan (penyelidikan) IMH dan penyelidik utama bersama NYMHS, Profesor Madya Mythily Subramaniam, pula berkata hasil kajian itu turut mendapati bahawa penggunaan media sosial secara berlebihan menjadi kebimbangan kesihatan awam dan mempunyai kesan yang besar terhadap kesihatan mental belia.
Dengan mengenal pasti faktor penting yang saling terkait, seperti penggunaan media sosial berlebihan, kebimbangan terhadap bentuk tubuh badan dan pembulian siber, ia menekankan kepentingan menyepadukan langkah pencegahan ke dalam perkhidmatan sekolah dan belia, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg