Sepertiga belia di Singapura yang mengalami gejala kemurungan, keresahan dan/atau tekanan tahap teruk atau sangat teruk tidak mendapatkan pertolongan, sama ada melalui saluran formal atau tidak formal.
Demikian antara dapatan Kajian Kesihatan Mental Belia Kebangsaan (NYMHS) oleh Institut Kesihatan Mental (IMH).
Dapatan pusingan pertama kajian itu – pertama kali dilaksanakan di peringkat nasional untuk menilai tahap kesihatan mental belia di Singapura – dikongsi kepada pihak media dalam satu taklimat pada 19 September di IMH.
Hasil kajian itu mendapati lebih dua pertiga atau 69.1 peratus responden berusia antara 15 dengan 35 tahun yang mengalami gejala kemurungan, keresahan dan/atau tekanan tahap teruk atau sangat teruk mendapat pertolongan.
Bantuan itu sebahagian besar didapatkan melalui anggota keluarga atau sahabat.
Selain itu, antara sumber pertolongan lain yang kerap responden sedemikian guna adalah khidmat perubatan dan mengurusnya sendiri.
Mengulas mengenainya, penyelidik utama kajian itu, yang juga pengerusi lembaga perubatan IMH, Profesor Madya Swapna Verma, berkata hasil dapatan itu membuka ruang bagi IMH menghasilkan kaedah pengekangan awal, termasuk mempertimbangkan untuk memperkukuh kurikulum kesihatan mental di sekolah.
Beliau menjelaskan bahawa bagi mereka yang tidak mendapatkan bantuan, ada yang menyifatkan khidmat pakar tidak dapat membantu mereka atau bimbang pendapat orang lain terhadap diri mereka.
“Kadangkala, mereka bimbang jika gejala yang dialami memerlukan pertolongan atau ia hanyalah perkara biasa, jadi ada kalanya mereka waswas untuk meminta bantuan.
“Satu lagi perkara adalah berkaitan soal privasi, kerahsiaan dan kos rawatan. Ini semua adalah satu halangan (bagi mereka) mendapatkan bantuan. Ia mungkin beberapa sebab golongan muda ini tidak mendapatkan bantuan.
“Ada kalanya mungkin maklumat yang ada terlalu padat dan mereka tidak pasti di mana untuk mendapatkan bantuan yang sesuai,” jelas Profesor Madya Verma.
IMH dalam satu kenyataan susulan pada 19 September mengatakan bahawa kajian itu mula dilaksanakan pada 2022 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (MOH), Pusat Kecemerlangan bagi Kesihatan Mental Belia (Chat) dan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS).
Susulan taklimat tersebut, MOH, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan bersama pada 19 September mengatakan dapatan kajian itu memperkukuh pendekatan seluruh pemerintah dan masyarakat bagi menangani isu kesihatan mental belia dalam Strategi Kesejahteraan dan Kesihatan Mental Kebangsaan yang dilancarkan pada Oktober 2023.
Menurut kenyataan itu lagi, sejajar dengan dapatan mengenai saluran bantuan tidak formal, sekolah dan institut pengajian tinggi telah meletakkan “ekosistem sokongan” merangkumi penyokong rakan, pendidik dan kaunselor sekolah.
Di sekolah, misalnya, pelajar melalui kurikulum sekolah dengan pengetahuan dan kemahiran mengurus kesejahteraan mental sendiri.
Ibu bapa juga, tambah kenyataan itu, boleh mendapatkan bantuan tentang aspek seperti mengurus penggunaan layar atau skrin telefon menerusi sumber di bawah strategi Parenting for Wellness – fasa pertama sumber di bawah strategi keibupaan yang dilancar pada 18 September.
“Usaha seluruh Singapura diperlukan untuk menangani kesihatan mental belia yang berbilang cabang, dengan menghapuskan stigma terhadap keadaan kesihatan mental, membina daya tahan dan menggalakkan belia mendapatkan bantuan awal,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, kajian tersebut turut mendapati bahawa golongan muda yang berkemungkinan lebih rendah mengalami gejala kemurungan, kebimbangan dan/atau tekanan yang teruk atau sangat teruk mempunyai tahap daya tahan dan harga diri yang lebih tinggi.
DAPATAN KAJIAN
Tahap kesejahteraan mental belia Singapura
- Hampir 1 daripada 7 belia (14.9 peratus) alami gejala kemurungan tahap teruk hingga sangat teruk
- Lebih 1 daripada 4 belia (27 peratus) alami gejala keresahan tahap teruk hingga sangat teruk
- Hampir 1 daripada 8 belia (12.9 peratus) alami gejala tekanan tahap teruk hingga sangat teruk
Faktor terkait dengan gejala kesihatan mental
- Lebih 1 daripada 4 belia luangkan lebih dari tiga jam di media sosial setiap hari
- 1 daripada 5 belia ada kebimbangan tahap sederhana hingga teruk tentang isu bentuk badan
- 1 daripada 5 belia pernah alami pembulian siber di alam maya
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg