Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia MEMBINA Community bantu kanak-kanak Project Dian

Mar 23, 2025 | 8:27 PM
Sukarelawan belia yang membantu 50 kanak-kanak kurang berkemampuan membeli baju raya juga berasal dari rumah sewa.
Sukarelawan belia yang membantu 50 kanak-kanak kurang berkemampuan membeli baju raya juga berasal dari rumah sewa. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menjelang Hari Raya, lebih 30 belia dari sebuah kumpulan sukarelawan turun padang untuk membantu 50 kanak-kanak kurang berkemampuan membeli baju raya menerusi inisiatif Project Dian di City Plaza pada Ahad.

Dengan sokongan M3@Bedok dan M3@Jalan Besar, acara ini bukan sekadar memberikan bantuan kewangan, tetapi juga bimbingan kepada kanak-kanak tersebut.

Kumpulan yang diberi nama Membina Community itu menyokong belia Melayu Islam berisiko yang berumur 13 tahun hingga 25 tahun melalui program holistik dalam usaha meningkatkan akademik, kemahiran sosial-emosi, dan keupayaan diri golongan yang disasar agar mereka dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat.

Ramai daripada belia yang terlibat juga berasal daripada rumah sewa, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna.

Turut hadir di acara itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Maliki Osman, menekankan kepentingan berkongsi rezeki melebihi sambutan Hari Raya.

“Hari Raya adalah masa untuk meraikan kejayaan kita menunaikan ibadah Ramadan dan mensyukuri nikmat Allah.

“Program ini mengingatkan kita tentang kepentingan berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Dr Maliki turut menzahirkan rasa bangga melihat semangat sukarelawan belia yang bukan sahaja membantu kanak-kanak tersebut membeli pakaian baru, tetapi juga menjadi contoh yang baik.

“Kami berharap hubungan yang terjalin ini dapat menggalakkan lebih ramai belia untuk terus memberi sumbangan serta menginspirasi kanak-kanak ini supaya membesar menjadi warganegara yang prihatin terhadap masyarakat,” tambahnya.

Selain golongan belia, acara ini turut mendapat sokongan daripada Hospital Besar Changi (CGH), yang menjadi sukarelawan korporat bagi Projek Dian.

Menurut Encik Maliki, usaha ini mencerminkan semangat gotong-royong rakyat Singapura dalam membantu mereka yang memerlukan.

Beliau berharap agar semangat memberi ini akan terus mekar dalam kalangan belia, bukan hanya pada musim perayaan tetapi sepanjang tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg