Sesiapa yang membuat keputusan untuk bertanding di Tampines perlu memastikan bahawa mereka mampu memenuhi jangkaan penduduk kawasan undi tersebut, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Encik Masagos, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, menambah bahawa Tampines bukan sekadar sebuah bandar tetapi sebuah bandar contoh yang telah dibina dengan perpaduan dan sokongan orang ramai yang tinggal di sana.
Beliau juga menambah bahawa sesiapa yang membuat keputusan untuk bertanding di Tampines perlu memastikan bahawa mereka memahami minat penduduk di sana.
Berkata demikian dalam satu sidang media semasa pelancaran Sambutan Hari Raya 2025 di Our Tampines Hub (OTH) pada 22 Mac, Encik Masagos berkata:
“Sebuah bandar boleh dibina oleh mana-mana perancang induk tetapi untuk membina bandar contoh, anda memerlukan maklumat, bekerjasama agar ia menjadi tempat di mana anda ingin bekerja, tinggal dan bermain.
“Jadi sesiapa yang ingin bertanding di sini harus memahami minat penduduk dan memenuhi jangkaan penduduk Tampines.”
Pada masa ini, pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tampines diketuai Encik Masagos dan disertai sama Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, Encik Desmond Choo.
Dr Charlene Chen, penasihat kedua badan akar umbi GRC Tampines, pula merupakan wajah baru PAP yang menggantikan mantan AP, Cik Chen Li Hui, yang meletak jawatan pada 2023.
Ditanya oleh pihak media tentang bakal calon bagi SMC Tampines Changkat yang baru, Encik Masagos dengan tersenyum hanya menjawab:
“Kalau anda tahu siapa, boleh kongsi bersama saya?”
Sementara itu, Encik Masagos berkata antara usaha yang diterapkan untuk menyatukan penduduk di Tampines termasuk pelancaran Sambutan Hari Raya 2025.
Katanya, usaha tersebut adalah satu cara yang ingin dicapai di Tampines bagi membina masyarakat yang prihatin serta membantu golongan yang rentan dan kurang upaya.
“Asas bandar kami adalah kita mengambil berat antara satu sama lain.
“Melalui pesta atau perayaan seperti ini, kita dapat melihat orang ramai menikmatinya bersama dan ini adalah asas Tampines,” kata Encik Masagos.
Pada petang 22 Mac, kesemua mereka dilihat mengagihkan bubur dan kurma kepada pengunjung.
Program tersebut merupakan kerjasama dengan Masjid Darul Ghufran dan M Kuasa Tiga (M³) dan akan diteruskan setiap hari sehingga 26 Mac, dari 4.30 hingga 6 petang.
Selain daripada bubur percuma, penduduk Tampines juga boleh menikmati Bazar Hari Raya OTH yang terletak di Central Plaza yang akan dibuka sehingga 26 Mac.
Keluarga dengan anak-anak kecil pula boleh menyertai bengkel, seni dan kraf tangan percuma dan bermain mainan tradisional seperti gasing, batu seremban dan capteh sehingga 30 Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg