Selepas lulus dari sekolah sedekad lalu, Encik Daniel Amyrul Abdullah, dari Kuala Lumpur, pernah diejek bahawa beliau tidak mempunyai masa depan kerana tidak melanjutkan pelajaran dan gagal mendapatkan pekerjaan tetap.
Namun, setelah bapa saudanya memperkenalkannya tentang industri acara dan pementasan, Encik Daniel, 25 tahun, telah melangkah jauh.
Sebagai teknisyen bebas, pemuda lulusan sekolah tahfiz dan tidak memiliki sebarang sijil kelayakan lebih daripada itu, kini berpengalaman mengendalikan konsert dan acara terkemuka di pelbagai negara.
Ia termasuk konsert artis antarabangsa serta Perbarisan Hari Kebangaan (NDP) di Singapura.
Pada NDP 2024, Encik Daniel, bekerja di balik tabir di bawah kontrak sebuah syarikat pengurus acara.
Ia meliputi 70 hari bagi pemasangan dan menyenggara peralatan seperti lampu pementasan di tempat tinggi serta di struktur gergasi berbentuk stadium di Padang.
Pekerjaan Encik Daniel mendapat perhatian orang ramai di media sosial baru-baru ini selepas beliau menerbitkan satu video di wadah TikTok.
Video itu merakam dirinya bertugas di landasan tinggi tempat acara dengan menggunakan topi keledar dan abah-abah.
Video yang mencatatkan lebih 38,700 tontonan itu, turut menerima pujian daripada pengguna lain yang menggelar Encik Daniel sebagai ‘wira tidak disanjung’ kerana perlu bertahan di bawah terik matahari dan cuaca panas serta mengharungi risiko bekerja di landasan tinggi.
“Sebenarnya saya terlibat dalam banyak acara di Singapura sejak dulu lagi,” kata Encik Daniel, yang memegang Pas Kerja untuk bekerja di sini, kepada Berita Harian.
Menurut pemuda yang masih bujang itu, sudah 10 tahun beliau berkecimpung sebagai teknisyen bebas, dan turut terlibat mengendali acara di tanah airnya.
Di sini, Encik Daniel terlibat dalam kerja di sebalik tabir NDP 2022 dan 2023, serta konsert di Stadium Negara seperti kumpulan pop dari Britain, Coldplay, yang tiket konsertnya habis dijual pada awal 2024 dan kumpulan K-Pop, Blackpink pada Mei 2023.
Bagi NDP 2024, Encik Daniel, bersama sekitar 40 temannya dari Malaysia telah dikerah bertugas selama sebulan sejak April untuk memasang peralatan di stadium sementara di Padang yang berupaya menampung sehingga 27,000 orang.
Beliau dikerah semula untuk bekerja selama 40 hari pada tempoh raptai dan pertunjukan NDP.
Menurut Encik Daniel, tugasnya melibatkan ‘rigging’ iaitu pemasangan, penyenggaraan dan penyimpanan peralatan pandang dengar di landasan tinggi tempat acara di Padang.
Ketika bekerja di sini, beliau diberi elaun dan tempat penginapan oleh majikan.
Sebagai perbandingan, Encik Daniel berkata di Singapura beliau berupaya meraih gaji serendah $70 hingga $180 sehari manakala anggaran gaji di seberang Tambak sekitar RM250 ($73) hingga RM450 ($132) sehari. Namun jumlah tersebut bergantung pada tahap pengalaman teknisyen itu, katanya.
“Tetapi bergantung pada syarikat dan jenis acara juga.
“Di Singapura, acaranya selalu lebih lama, jadi ditetapkan pekerjaan buat tempoh lebih lama,” tambah beliau.
Menurut Encik Daniel beliau bersyukur bertugas dalam industri yang telah menawarkan pelbagai peluang untuk merantau di luar tanah air meskipun hanya lulusan tahfiz.
Apabila ditanya mengapa beliau tidak melanjutkan pelajaran, Encik Daniel berkata beliau membesar dalam lingkungan keluarga yang agak mencabar.
Terdapat lapan beradik dalam keluarganya dan beliau mahu memberi peluang kepada adik-adiknya.
“Padahal masa kecil saya kena caci sebab tak sekolah, yang saya tak ada masa depan,” kata anak kedua dalam keluarganya itu.
“Jadi, saya buktikanlah (yang sebaliknya) benda tu.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg