Minat dalam kalangan warga Malaysia untuk ‘cari makan’ di Singapura kian meningkat, dengan agensi perekrutan menyaksikan semakin banyak permohonan dan pertanyaan mengenai pekerjaan di Singapura, lebih-lebih lagi pasca-Covid-19.
Agensi yang dihubungi Berita Minggu (BM) berkongsi bahawa antara sebab yang mendorong lonjakan ini adalah nilai tukaran mata wang yang baik, ekonomi Singapura yang pulih dengan pesat serta kos kehidupan tinggi di Malaysia.
Pengurus Nala Employment, Cik Chen Yee, berkata menyusuli pandemik Covid-19, bilangan pemohon Malaysia yang mencari pekerjaan di Singapura melonjak kira-kira 60 peratus – menandakan pergerakan dan minat meningkat dalam pasaran pekerjaan antara kedua-dua negara.
Selain kadar tukaran mata wang yang lebih baik, peluang kerjaya yang sangat luas serta pemulihan ekonomi Singapura yang pesat setelah Covid-19, Cik Chen berkata ia juga mungkin kerana Singapura menawarkan gaji lebih besar, taraf hidup tinggi dan pasaran pekerjaan yang stabil lalu menjadikan ia tarikan pagi pemohon kerja.
“Jarak geografi yang dekat dan persamaan budaya antara Malaysia dengan Singapura juga memudahkan peralihan buat pekerja Malaysia.
“Tambahan pula, industri teguh Singapura, terutamanya dalam teknologi dan pembuatan, menyediakan banyak jawatan peringkat permulaan dan peluang pertumbuhan dalam kerjaya yang sangat menarik bagi lulusan baru,” ujarnya.
Pengarah operasi Adept Manpower, Encik Ong Yeow Hwee David, turut berkongsi pemerhatian serupa, bahawa terdapat peningkatan dalam minat untuk bekerja di Singapura pada 2024 berbanding sebelumnya.
Secara harian, beliau berkata syarikatnya menerima kira-kira 50 hingga 80 pemohon yang membuat pertanyaan tentang pekerjaan di Singapura.
Encik Ong berkata pekerja kolar putih – pekerja di pejabat atau sekitaran profesional lain – di Malaysia meraih pendapatan purata RM3,000 ($865) hingga RM5,000 yang tidak cukup untuk perbelanjaan harian, lebih-lebih lagi dengan kos kehidupan tinggi berbanding gaji yang diterima.
Dengan pengangkutan awam yang agak terbatas, ramai penduduk Malaysia memiliki kereta dan ini menyukarkan mereka membuat simpanan, katanya.
Berdasarkan permohanan yang dibuat kepada syarikatnya, Encik Ong berkata antara pekerjaan yang lebih biasa menarik warga Malaysia ialah pekerjaan pentadbiran, selain sektor pengeluaran serta makanan dan minuman (F&B) yang tidak memerlukan kelayakan tinggi.
Cik Chen berkata agensinya, yang memberi tumpuan kepada perekrutan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, mendapati ramai warga Malaysia, terutamanya lulusan baru, mencari jawatan dalam sektor tersebut, selain penjagaan kesihatan, sokongan teknologi dan teknologi maklumat (IT) serta pengeluaran.
“Warga Malaysia tertarik dengan jawatan ini kerana gajinya yang lumayan serta sifat dinamik industri tersebut,” katanya.
Sekitar 350,000 pekerja Malaysia menyeberang Tambak dan menempuh jalan raya yang sesak hampir setiap hari – dengan menaiki kenderaan sendiri mahupun pengangkutan awam – demi mengejar ‘durian runtuh’ di Singapura.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, pada awal 2024 menyatakan bahawa 350,000 orang melintas jambatan Koswe yang menghubungkan Johor dengan negara jirannya, Singapura secara harian bagi tujuan kerja, pendidikan dan lawatan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kira-kira 66.7 peratus tenaga kerja Malaysia yang bekerja di Singapura menerima gaji kasar antara $1,500 (RM5,190) dengan $3,599 (RM12,452) sebulan dan 18.5 peratus menerima gaji di antara $3,600 dengan $9,999 sebulan.
Jumlah gaji kasar bulanan tertinggi yang direkodkan di Singapura adalah $18,000 (RM64,000), menurut laporan Berita Harian Malaysia (BHM) pada Februari.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata majoriti daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei adalah dalam kalangan pekerja mahir atau separa mahir.
Beliau berkata, di Singapura didapati 39 peratus diaspora yang bekerja adalah pekerja mahir dan 35 peratus bekerja sebagai pekerja separa mahir.
“Analisis juga mendapati bahawa lebih daripada separuh rakyat Malaysia yang bekerja dengan kelulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau setara bekerja sebagai pekerja mahir dan separa mahir di kedua-dua negara ini.
“Manakala pekerja yang mempunyai kelulusan Sarjana Muda dan bekerja sebagai pekerja mahir di kedua-dua negara ini, majoritinya berumur 25-34 tahun,” katanya dalam satu kenyataan diterbitkan DOSM.
DOSM menjalankan dua kajian iaitu Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam pada 2023 dan Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara: Singapura pada 2022 dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), menurut BHM.
“
Jarak geografi yang dekat dan persamaan budaya antara Malaysia dengan Singapura juga memudahkan peralihan buat pekerja Malaysia. Tambahan pula, industri teguh Singapura, terutamanya dalam teknologi dan pembuatan, menyediakan banyak jawatan peringkat permulaan dan peluang pertumbuhan dalam kerjaya yang sangat menarik bagi lulusan baru.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg