Sedang ramai di Singapura yang masih dibuai mimpi, sekumpulan pekerja dari Johor Bahru ini sudah mula bersiap-siap untuk keluar bekerja dari seawal 3 pagi.
Sekitar 350,000 pekerja Malaysia menyeberangi Tambak dan menempuh jalan raya yang sesak hampir setiap hari – dengan menaiki kenderaan sendiri mahupun pengangkutan awam – demi mengejar ‘durian runtuh’ di Singapura.
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke pada awal 2024 menyatakan bahawa 350,000 orang melintas jambatan Koswe yang menghubungkan Johor dengan negara jirannya, Singapura secara harian bagi tujuan kerja, pendidikan dan lawatan.
Agensi perekrutan memberitahu Berita Minggu minat dalam kalangan warga Malaysia untuk bekerja di Singapura kian meningkat, dengan semakin banyak permohonan dan pertanyaan diterima mengenai pekerjaan di Singapura, lebih-lebih lagi pasca-Covid-19.
Pengurus Nala Employment, Cik Chen Yee, berkata terdapat lonjakan kira-kira 60 peratus dalam bilangan pemohon Malaysia yang mencari pekerjaan di Singapura, disebabkan nilai tukaran mata wang yang baik, ekonomi Singapura yang pulih dengan pesat, dan kos kehidupan tinggi di Malaysia.
Ternyata, pekerjaan di Singapura menawarkan hasil lumayan bagi pekerja Malaysia.
Encik Mohd Aminurashid Ali Akbar, seorang pekerja di sektor perkapalan, berulang-alik selama 14 tahun dan kini memiliki tiga hartanah di Malaysia hasil titik peluhnya.
Encik Aminurashid, 36 tahun, berkata banyak liku yang perlu diharunginya untuk sampai ke tahap ini, antaranya, beliau ‘keluar rumah gelap, balik rumah juga gelap’.
Seorang lagi pekerja dari Malaysia, Cik Siti Nadzirah Mohd Khairi, 35 tahun, bangun seawal 3.30 pagi setiap hari untuk memulakan perjalanannya ke Singapura, kadangkala menahan sakit kaki.
Dengan gajinya sekitar $2,500 hingga $3,000 atau lebih RM10,000, Cik Nadzirah berkata cukup untuk menampung keluarganya di Malaysia.
Namun, tidak semua cerita berakhir dengan kesudahan yang diharapkan. Encik Mohd Fikri Ahmad Tajudin, seorang pengurus projek, 31 tahun, meninggal dunia dalam kemalangan ketika pulang dari kerja di Singapura pada Mac 2024, menunjukkan risiko yang dihadapi pekerja yang berulang-alik setiap hari.
Isterinya, Cik Nabihah Ibrahim, 31 tahun, yang kini mengandung anak kedua mereka, akui ada orang yang melontarkan kata-kata menyinggung perasaan seperti ‘bekerja di Singapura ibarat menempah maut’, namun Cik Nabihah tidak pernah menyesali keputusan yang mereka buat dua tahun lalu itu.
Jerih payah pekerja Malaysia ulang-alik setiap hari di Singapura mendapat perhatian baru-baru ini dengan masyarakat ‘#RunSGD’ merakam perjuangan harian mereka serta cabaran sebenar bekerja di Singapura.
Video ini sering memaparkan cabaran seperti menempuh kesesakan lalu lintas dan perjalanan yang jauh, tetapi menonjolkan ganjaran kewangan yang membuatkan usaha itu berbaloi.
Biasanya, pengguna dalam video tersebut berkongsi gaji mereka dalam dolar Singapura dan menukarkannya kepada ringgit Malaysia (MYR), menunjukkan peningkatan yang ketara.
Sebagai contoh, ada pengguna yang berkongsi pendapatannya $4,800 sebulan di Singapura, atau kira-kira RM30,000 selepas dua bulan, menggambarkan manfaat kewangan bekerja di Singapura walaupun perlu berulang-alik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg