Golongan asatizah muda boleh memainkan peranan lebih besar dalam membantu belia menjauhkan diri daripada bahaya radikalisme dan ekstremisme dalam talian.
Ia termasuk isu dadah dan dalam membuat “pilihan yang salah dalam hidup”, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dengan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) kian berkembang pesat, beliau menambah bahawa usaha perlu diteruskan untuk mendidik dan mempertingkat kesedaran dalam kalangan belia tentang bahaya sedemikian.
Namun, Dr Faishal berkata ini merupakan satu usaha masyarakat yang lebih besar dan memerlukan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk masyarakat sendiri, pemerintah, agensi seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dan kumpulan seperti Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
Sebagai contoh, program Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), yang ditubuhkan pada November 2018, bertujuan menyediakan sokongan menyeluruh kepada banduan Islam serta keluarga mereka melalui perkhidmatan dalam penjara dan selepas dibebaskan.
Ini adalah kerjasama antara Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Muis dan masjid, serta pelbagai organisasi masyarakat.
“Ada dalam kalangan asatizah muda yang telah memainkan peranan besar dalam bidang perkahwinan dan keibubapaan.
“Saya berpendapat bahawa mereka juga boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu belia menjauhi radikalisasi diri, dadah, dan daripada membuat pilihan yang salah dalam hidup mereka.
“Muis akan terus mendekati golongan muda, bukan hanya dalam kalangan asatizah muda, malah juga pemimpin belia di universiti dan institut pengajian tinggi (IHL),” kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama media di Wisma Geylang Serai pada 27 Ogos, sempena 100 hari sejak beliau menggalas peranan selaku pemangku menteri.
Melahirkan keprihatinan tentang maklumat palsu dan akses tanpa batas kepada pelbagai maklumat berhubung dunia dalam talian serta manipulasi AI, Dr Faishal berkata adalah penting untuk mempertingkat kesedaran dan daya tahan belia supaya mereka dapat mengenal pasti maklumat salah dan kandungan yang boleh membawa kemudaratan kepada diri mereka sendiri dan masyarakat.
“Di sinilah kita perlu mendedahkan mereka kepada konteks tempatan, apakah perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan dan batas yang tidak boleh dilangkah apabila kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, supaya kita sedar dan ada daya tahan,” kata beliau.
Berhubung dadah pula, Dr Faishal berkata usaha akan terus diperkukuh untuk membanteras masalah dadah di kedua-dua peringkat masyarakat dan negara.
Pada Jun, ia dilaporkan bahawa Muis dan Biro Narkotik Pusat (CNB) telah menyalurkan geran berjumlah sekitar $55,000 kepada 16 masjid sejak Ogos 2024 sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu Islam mengenai pencegahan dadah.
Geran tersebut telah digunakan untuk aspek logistik, bahan pemasaran dan lain-lain yang menyokong inisiatif yang diterajui masjid di bawah kempen, Dadah Itu Haram (DIH).
“Kita bukan sekadar perlu menyatukan usaha, kita juga mesti memperkasa golongan muda dalam persekitaran yang pelbagai, termasuk dalam masyarakat Melayu/Islam.
“Kami mendekati IHL, pertubuhan yang berbeza untuk berkongsi tentang bahaya dadah, dan kami juga ada individu yang berperanan sebagai pejuang agar mereka terus mendampingi anak-anak muda,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg