Terdapat keperluan untuk menggembleng pendekatan dan sumber masyarakat demi memenuhi keperluan golongan yang berlainan, terutamanya dalam landskap yang telah berubah hari ini, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Untuk melakukan demikian, beliau telah mendekati masyarakat Melayu/Islam sebanyak mungkin sejak memegang jawatan selaku pemangku menteri pada Mei untuk mendengar keprihatinan mereka dan mendapatkan maklum balas serta idea.
Ini sambil beliau menekankan bahawa “tidak ada jalan pintas” dalam usahanya mewujudkan visi bersama untuk masyarakat Melayi/Islam.
Bahkan, sejauh ini, Dr Faishal telah menghadiri sekitar 60 acara dan sesi pendekatan masyarakat, termasuk bersama masjid-masjid, badan-badan Melayu/Islam (MMO), golongan belia dan kumpulan tidak rasmi. Ini selain bertemu dengan anggota masyarakat di tempat-tempat awam seperti pasar dan kedai kopi.
Buat masa ini, Dr Faishal belum mengumumkan apakah visinya untuk masyarakat Melayu/Islam Singapura kerana beliau percaya ia satu keputusan yang tidak harus dibuat secara tergesa-gesa.
Menurut beliau, langkah menetapkan visi untuk masyarakat “memerlukan usaha serius, ikhlas dan kolektif untuk mendengar, memperhalusi, membangun dan bergerak ke hadapan secara mampan” supaya ia memberi manfaat bukan sahaja kepada generasi sekarang, tetapi juga generasi akan datang.
“Saya mahu mendengar pandangan seramai orang mungkin supaya apa jua yang kami bangunkan akan menjadi sesuatu yang bukan hanya membawa kebaikan kepada masyarakat dan adalah berkesan, tetapi juga mampan.
“Ini kerana kami melakukan ini bukan hanya untuk satu, dua atau lima tahun. Saya mahu kita dapat memenuhi keperluan, memberi manfaat kepada generasi-generasi masa depan juga,” kata beliau.
Dr Faishal berkata demikian dalam satu wawancara bersama media yang diadakan di Wisma Geylang Serai pada 27 Ogos, sempena 100 hari sejak beliau menggalas peranan selaku pemangku menteri.
Semasa wawancara itu, beliau telah mengumumkan lima bidang tumpuan untuk masyarakat Melayu/Islam dan penjawat politik yang akan menerajui usaha tersebut.
Bidang tumpuan tersebut – yang selaras dengan usaha yang dijalankan pada penggal pemerintah lalu – adalah Keluarga; Banduan dan Keluarga; Belia; Pekerjaan dan Daya Kerja; serta Kesihatan Masyarakat.
Ini selain menyentuh tentang pelbagai isu lain yang menjadi keutamaan masyarakat seperti masjid, Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), kerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam (MMO), konflik Gaza dan usaha menangani ancaman radikalisme serta membanteras dadah.
Antaranya, Dr Faishal sedang membangunkan rangka kerja baru untuk memupuk kerjasama lebih mendalam dengan MMO dan kumpulan tidak rasmi, di samping menggembleng sumber dan sinergi untuk menyokong masyarakat.
Sedang MMO telah memainkan peranan dalam menyokong masyarakat dalam pelbagai aspek sejak berdekad yang lalu, beliau menarik perhatian bagaimana dengan landskap yang baru, terdapat juga kumpulan-kumpulan kecil yang membawa kebaikan kepada masyarakat.
Sebagai contoh, kumpulan sukarelawan belia, MudaSG, telah menjalankan pelbagai kegiatan untuk membantu masyarakat seperti pengumpulan dana dan pengagihan makanan kepada mereka yang memerlukan serta pembersihan masjid dan estet kejiranan.
“Kami mahu memperkasa kumpulan sedemikian supaya mereka dapat menyumbang dan membawa kebaikan kepada kehidupan individu yang mereka dekati,” jelas beliau.
Dr Faishal berkata beliau tidak dapat berkongsi butiran lanjut tentang rangka kerja itu pada masa ini, tetapi menambah bahawa ia memerlukan usaha untuk memikirkan semula apa yang sudah dilakukan dan cara membentuk landskap untuk masa depan.
Meskipun masyarakat Melayu/Islam mempunyai cabarannya yang tersendiri, Dr Faishal berkata aspirasi, keperluan dan isu-isu yang dihadapi anggota masyarakat sebenarnya hampir sama dengan seluruh Singapura.
Ini seperti kos sara hidup, perumahan, keprihatinan mengenai ketidaktentuan ekonomi dan juga generasi muda yang bimbang tentang masa depan mereka.
Oleh sebab itu, Dr Faishal berkata beliau telah membentuk pasukan petugas pembangunan belia Melayu/Islam yang baru – yang akan diketuai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi – demi lebih memahami keperluan dan aspirasi mereka.
Dr Faishal berkata beliau dan pasukan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam akan terus bekerjasama dan berusaha gigih mendekati lapisan masyarakat yang berbeza dalam usaha membina visi bersama.
Beliau turut melahirkan rasa terharu atas sambutan baik dan sokongan yang diterima daripada masyarakat sejak beliau menggalas peranan sebagai pemangku menteri.
Dalam beberapa bulan akan datang, beliau juga akan mengunjungi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) yang berbeza untuk bertemu dengan anggota masyarakat Melayu/Islam di pelbagai tempat.
“Pada akhirnya, saya ingin membangunkan sesuatu yang dikongsi. Bagi saya melakukan perkara itu, tidak boleh ada jalan pintas. Saya perlu terus mendekati masyarakat sebanyak mungkin sebelum saya menetapkan visi baru untuk masyarakat.
“Landskap telah berubah, keperluan masyarakat telah berubah, dan penglibatan konvensional untuk mendekati masyarakat, pertubuhan dan kumpulan yang wujud di Singapura juga telah berubah.
“Oleh itu, penting bagi kita, terutamanya saya, memahami apa yang sedang berlaku di luar sana dan bagaimana kita boleh menggembleng bukan hanya sumber, namun juga memenuhi keperluan segmen masyarakat yang berbeza,” terang beliau.
“
“Saya mahu mendengar pandangan seramai orang mungkin supaya apa jua yang kami bangunkan akan menjadi sesuatu yang bukan hanya membawa kebaikan kepada masyarakat dan adalah berkesan, tetapi juga mampan. Ini kerana kami melakukan ini bukan hanya untuk satu, dua atau lima tahun. Saya mahu kita dapat memenuhi keperluan, memberi manfaat kepada generasi-generasi masa depan juga.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg