Dengan peningkatan kandungan digital yang didorong oleh perubahan pesat teknologi dan kecerdasan buatan (AI), adalah penting untuk golongan belia dilengkapi dengan kemahiran digital agar dapat memperkukuhkan daya tahan mereka.
Ini juga akan membuka jalan untuk pertubuhan Melayu/Islam (MMO) meningkatkan kerjasama dalam hal seperti mencipta peluang bagi golongan belia membina modal sosial dan berkongsi sumber.
Isu-isu ini diketengahkan oleh para pemimpin MMO dalam satu sesi dialog anjuran Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, dengan kerjasama Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG), di Hotel Grand Hyatt pada 21 Ogos.
Bertema, ‘SG60: Memacu Masyarakat Ke Hadapan’, acara hampir dua jam itu menghimpunkan sekitar 40 pemimpin MMO bagi membincangkan isu-isu yang dekat di hati masyarakat Melayu/Islam.
Menurut beberapa pemimpin, kandungan digital yang semakin meluas boleh meningkatkan risiko belia terdedah kepada kandungan dipacu AI yang boleh mengandungi unsur hasutan atau memecah-belahkan.
Justeru, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim, menyarankan agar kemahiran dan literasi digital berpaksikan pada enam aspek.
Ia merangkumi kesedaran dan pengetahuan; pemikiran kritikal; komunikasi; jejak dan perbatasan digital; ketahanan emosi dan rangkaian sokongan yang dipercayai.
Menurutnya, setiap satu aspek ini memainkan peranan penting bagi mempersiapkan belia agar mereka lebih berhati-hati terhadap kandungan yang dilihat dalam talian.
Ia penting tatkala wujudnya pengaruh dan campur tangan anasir asing, sama ada melalui kandungan dipacu AI mahupun daripada kumpulan atau individu luar negara.
Anasir ini dapat mempengaruhi minda masyarakat, khususnya golongan belia, dan boleh menyebabkan mereka terjerumus ke arah radikalisasi – kebimbangan yang diutarakan beberapa peserta dalam dialog tersebut.
Dalam perbincangan, para pemimpin MMO menukil video yang disebarkan di wadah TikTok oleh bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Zulfikar Mohamad Shariff, sebagai contoh kandungan yang memberi gambaran negatif serta mengelirukan masyarakat Melayu/Islam.
Catatan warganegara Australia itu, yang melepaskan kerakyatan Singapura pada 2020, masih dapat disebarkan dan dipaparkan kepada khalayak di Singapura.
Justeru, Dr Razwana mengusulkan adanya ‘kit kecemasan digital’ yang dapat melengkapkan belia dengan kemahiran amali untuk menangani risiko dalam talian.
Ini termasuk pendedahan kepada kandungan bersifat pelampau, secara selamat.
“(Kita harus) menganggapnya sebagai satu persediaan sebelum sesuatu bahaya benar-benar berlaku – ia seperti kit kecemasan sebenar.
“Berkenaan kesedaran dan pengetahuan misalnya, ia dapat membantu kanak-kanak mengenal pasti risiko dalam talian seperti buli siber, penipuan, atau kandungan ekstrim dengan menggunakan contoh yang sesuai dengan usia dan senario sebenar,” jelas beliau kepada Berita Harian (BH) selepas acara.
Kenyataan beliau dibuat berlatarbelakangkan tabiat remaja Singapura yang menghabiskan banyak masa terpaut pada layar peranti untuk melungsur kandungan dalam talian.
Pandangan serupa turut dikongsi Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, semasa membentangkan laporan mengenai perkembangan masyarakat Melayu/Islam.
Dalam pembentangannya, beliau menggariskan lima cabaran yang dialami belia Melayu/Singapura – iaitu kos sara hidup, kesihatan mental, pekerjaan, diskriminasi dan penggunaan digital.
Berhubung penggunaan digital, beliau berkata ia mempunyai kesan terhadap pembangunan kognitif dan sosial anak muda.
Ini sesuatu perkara yang sedang ditumpukan dan dikaji oleh pemerintah ketika Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyentuh tentangnya semasa menyampaikan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) baru-baru ini.
Encik Wong berkata adalah penting bagi mencari huraian dan keseimbangan sesuai antara melindungi golongan muda, termasuk belia, daripada bahaya teknologi dengan melengkapkan golongan ini kepada manfaat yang dapat diraih daripada penggunaan teknologi.
Mentelah hasil laporan yang diterbitkan bersama Channel News Asia (CNA) dan Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 2024 mendapati remaja di Singapura meluangkan masa sekitar 8.5 jam menonton layar peranti dalam satu hari – seakan tempoh bekerja biasa.
Laporan itu menambah sekitar 6 daripada 10 golongan remaja mendapati ianya sukar mengurangkan waktu terluang pada layar peranti.
Encik Mohksin berkata: “Ini satu seruan agar masyarakat kita dapat bersatu dan mengadakan perbincangan berhubung isu ini (penggunaan digital).
“Ini juga merupakan peluang untuk kita mengadakan tindakan kolektif yang lebih baik untuk memberi kesan secara bersama.”
Beliau mengusulkan agar MMO dapat berkongsi maklumat dan penyelidikan di samping menyokong pembangunan program secara bersama yang dapat memenuhi keperluan masyarakat.
Kerjasama silang pertubuhan ini menjadi antara isu yang dibentangkan peserta dalam dialog itu, yang ingin melihat MMO menggembleng tenaga bagi kemaslahatan masyarakat.
Perkara ini dikongsi Presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, yang menyifatkan MMO sebagai “rizab yang belum diterokai”.
“MMO setakat ini bukanlah sebahagian daripada inisiatif M Kuasa Tiga (M³) tetapi ia adalah sebagai satu sambungan semula jadi.
“Kami berharap di bawah kepimpinan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam (Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim), ia berkembang kepada M Kuasa Empat atau Kuasa Lima – dari segi pendekatan bersama,” ujarnya.
Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, mengusulkan bahawa MMO bertukar giliran setiap tahun agar mereka dapat menerajui bidang tumpuan atau isu yang ingin diketengahkan bagi masyarakat Melayu/Islam.
“Saya lihat bahawa kita boleh sama-sama menerajui sesebuah isu atau perkara.
“Kita perlu beri peluang kepada setiap organisasi bagi memperjuangkan sesuatu isu agar semua dapat merasakan tanggungjawab dan kepentingan bagi menerajui isu tersebut,” tambah beliau.
“
“(Kita harus) menganggapnya sebagai satu persediaan sebelum sesuatu bahaya benar-benar berlaku – ia seperti kit kecemasan sebenar. Berkenaan kesedaran dan pengetahuan misalnya, ia dapat membantu kanak-kanak mengenal pasti risiko dalam talian seperti buli siber, penipuan, atau kandungan ekstrim dengan menggunakan contoh yang sesuai dengan usia dan senario sebenar.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg