Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin badan Melayu/Islam: Awasi campur tangan asing pecah belah masyarakat

Pihak asing seperti bekas tahanan ISA Zulfikar Mohamad Shariff beri gambaran negatif, kelirukan Melayu/Islam dalam kiriman media sosial
Aug 21, 2025 | 10:54 PM
Anggota panel (dari kiri) Setiausaha Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Feisal Mohamed Hassan; Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim; Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed; Presiden Taman Bacaan, Encik Abdul Halim Kader; Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Wahid; dan tokoh akademik, Profesor Madya Walid Jumblatt Abdullah, pada sesi dialog bertajuk ‘SG60: Menggerakkan Masyarakat Ke Hadapan’, yang diadakan di hotel The Grand Hyatt Singapore pada 21 Ogos.
Anggota panel (dari kiri) Setiausaha Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Feisal Mohamed Hassan; Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim; Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed; Presiden Taman Bacaan, Encik Abdul Halim Kader; Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Wahid; dan tokoh akademik, Profesor Madya Walid Jumblatt Abdullah, pada sesi dialog bertajuk ‘SG60: Menggerakkan Masyarakat Ke Hadapan’, yang diadakan di hotel The Grand Hyatt Singapore pada 21 Ogos. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Para pemimpin daripada badan Melayu/Islam (MMO) bersatu menolak campur tangan asing dalam politik Singapura.

Ini lebih-lebih lagi yang menggunakan maklumat salah dan palsu untuk menggugat ikatan masyarakat dan melemahkan jati diri kebangsaan melalui ruang dalam talian.

Dalam satu dialog yang diadakan di The Grand Hyatt Singapore pada 21 Ogos, para pemimpin masyarakat akur bahawa mereka kini berdepan dengan ancaman yang mempercepatkan penyebaran maklumat salah secara mendadak, yang menjadikan usaha membendungnya lebih sukar.

Mereka menegaskan bahawa video yang disebarkan di wadah TikTok, terutamanya oleh pihak lain dan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Zulfikar Mohamad Shariff, amat membimbangkan kerana memberi gambaran negatif serta mengelirukan tentang masyarakat Melayu/Islam.

Isu tersebut merupakan salah satu topik yang diketengahkan semasa sesi dialog bertajuk ‘SG60: Menggerakkan Masyarakat Ke Hadapan’ yang berlangsung selama dua jam itu.

Antara lain, pemimpin MMO juga membincangkan isu-isu seperti maklumat palsu dan salah, risiko radikalisasi dalam kalangan belia dan kebajikan serta gaji asatizah selaras dengan pengumuman Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Ia dianjurkan oleh Taman Bacaan dengan kerjasama Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG).

Sekitar 40 pemimpin MMO hadir pada sesi dialog tersebut.

Presiden Taman Bacaan Encik Abdul Halim Kader, menolak campur tangan asing dalam politik Singapura.

Pemerintah dan para ibu bapa Melayu/Islam harus memainkan peranan dalam menentukan arah tujuan anak-anak mereka berkaitan dengan sosial media, katanya.

Beliau merujuk kepada kiriman Facebook Zulfikar Mohamad Shariff, yang sering menggambarkan masyarakat Melayu/Islam secara salah sehingga menimbulkan rasa tidak percaya dan perpecahan.

Zulfikar, yang dikenali di Facebook sebagai ‘Zai Nal’, merupakan seorang warganegara Australia yang melepaskan kerakyatan Singapura pada 2020.

Salah seorang anggota panel yang ditemui Berita Harian, Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata beliau menolak penglibatan dan campur tangan asing dalam politik Singapura.

Beliau berkata dalam menangani isu naratif alam maya dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, adalah penting untuk melihat kepada isu sosioekonomi juga.

“Khususnya kalau kita tidak menangani seperti isu sosioekonomi masyarakat Melayu/Islam, itu juga menjadi keprihatinan kerana ada yang mungkin menjadi masyarakat terpinggir dan mudah terdedah kepada apa sahaja anasir luar yang memburukkan imej masyarakat Melayu/Islam kita di Singapura.

“Saya fikir bahawa MMO perlu bersatu hati untuk lihat bagaimana kita hendak menangani bukan sekadar isu naratif alam maya, tetapi juga meningkatkan mutu taraf hidup masyarakat kita,” kongsi Ustaz Fathurrahman.

Mengulas tentang kiriman Facebook Encik Zulfikar, Presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, akur bahawa ia bukan sahaja soal menolak naratif beracun terhadap masyarakat, tetapi bagaimana MMO boleh menyelaras dan bekerjasama untuk menanganinya di pelbagai peringkat.

“Saya rasa tiada seorang pun daripada kita yang mahu duduk diam dan menerima apabila ada pihak luar bercakap perkara beracun dan buruk tentang masyarakat kita. Kita tidak mahu menerimanya.

“Tetapi saya rasa isu sekarang ialah, bagaimana kita hendak menyelaras dan bekerjasama... Bagaimana kita hendak pastikan perkara ini ditangani di semua peringkat tersebut,” ujar Encik Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim, menyarankan satu ‘kit kecemasan digital’ dalam melengkapkan ibu bapa dan pendidik dalam membangunkan serta memperkukuh peranan penjagaan dalam ruang digital.

“Kit kecemasan digital membekalkan golongan muda dengan kemahiran praktikal untuk menangani risiko dalam talian, termasuk pendedahan kepada ekstremisme ganas dengan cara yang selamat,” ujar beliau.

Sesi dialog tersebut merangkumi dua segmen lain, iaitu pembentangan AMP Singapura tentang kemajuan masyarakat Melayu/Islam Singapura dan juga penyampaian oleh Pendidik dan Kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed mengenai cara menavigasi risiko digital.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg