Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggunaan AI dalam talian boleh kuatkan ideologi, naratif tidak sihat

Perlu benteng perlindungan khususnya dalam kalangan masyarakat dan belia
Aug 21, 2025 | 10:56 PM
Kumpulan Pemulihan Keagamaan, Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed, RRG
Pendidik dan kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed, dalam sesi perkongsiannya berkata maklumat atau catatan yang dipaparkan dalam talian dan media sosial yang dipacu kecerdasan buatan (AI), adakalanya dilihat secara mata kasar sebagai sesuatu yang boleh dipercayai, tetapi ia berupaya menguatkan naratif yang berbahaya dalam kalangan masyarakat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di wadah dalam talian dan media sosial, bukan sahaja memberikan pengguna akses serta-merta kepada kandungan, ia juga boleh menjadi wadah bagi menguatkan ideologi, gerakan dan naratif yang menjejas individu serta memecahbelahkan masyarakat.

Ini lebih-lebih lagi dengan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna dalam talian semakin didorong oleh algoritma yang kian dipacu AI, kata pendidik dan kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed.

Beliau yang menjadi anggota RRG sejak 2009, berkata maklumat atau catatan yang dipaparkan itu pada mata kasar dilihat sebagai sesuatu yang boleh dipercayai.

Namun, secara tidak sedar, ia menguatkan naratif berbahaya, khususnya terhadap belia dan masyarakat secara umum.

Dr Mubarak berkata: “Kita tidak boleh mengabaikan jentera tersembunyi yang memacu begitu banyak perkara yang dilihat dan dipercayai oleh masyarakat umum dan belia kita.

“Kita rasa kita yang memilih apa yang kita tonton tetapi hakikatnya, algoritma yang membentuk realiti seseorang individu.”

Beliau berkata demikian semasa sesi perkongsiannya sebagai penceramah di dialog anjuran Taman Bacaan dengan kerjasama Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) di Hotel Grand Hyatt di Orchard pada 21 Ogos.

Bertema, ‘SG60: Memacu Masyarakat Ke Hadapan’, acara hampir dua jam itu menghimpunkan sekitar 40 pemimpin pertubuhan Melayu/Islam (MMO) bagi membincangkan isu-isu yang dekat di hati masyarakat Melayu/Islam.

Acara itu turut menyaksikan pemimpin MMO sebulat suara menolak anasir asing yang mampu merosakkan identiti dan perpaduan masyarakat majmuk Singapura.

Secara khususnya, pemimpin MMO menolak pengaruh Zulfikar Mohamad Shariff – dikenali melalui Facebook sebagai ‘Zai Nal’ – yang catatannya dipaparkan kepada khalayak di Singapura.

Semasa membentangkan perkongsian bertajuk, ‘Mengemudi Ruang Dalam Talian secara Selamat: Tanggungjawab Bersama’, Dr Mubarak menukil contoh catatan dan naratif yang diketengahkan Zulfikar sebagai kurang tepat dan memutarbelitkan konteks sebenar.

Warganegara Australia yang melepaskan kerakyatan Singapura pada 2020, Zulfikar pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2016 berhubung kegiatan berbaur pengganasan, dengan beberapa kenyataannya di Facebook menyokong tindakan kumpulan pengganas ISIS.

Gambar yang dimuat naik di laman sosial Facebook Zulfikar Mohamad Shariff, yang memaparkan beliau bersama anak-anaknya di hadapan bendera kumpulan pengganas ISIS.
Gambar yang dimuat naik di laman sosial Facebook Zulfikar Mohamad Shariff, yang memaparkan beliau bersama anak-anaknya di hadapan bendera kumpulan pengganas ISIS. - Foto fail

Dr Mubarak menjelaskan disebabkan naratif tidak sihat atau kurang tepat itu, perlu adanya benteng perlindungan, khususnya terhadap golongan belia.

Bahkan, beliau menyifatkan langkah itu seakan satu “amanah spiritual dan kemasyarakatan” bagi pemimpin MMO.

Menurut beliau, sekiranya golongan ini terdedah kepada kandungan yang mengetengahkan naratif tidak tepat, ia dapat melemahkan daya pemikiran kritikal dan menyemai sikap saling tidak percaya.

“Ini menjadikan mereka lebih mudah terpengaruh untuk mengambil sesuatu kedudukan tanpa memahami konteks atau agenda penuh di sebalik sesebuah naratif.

“Itulah sebabnya peranan kita... sebagai pendidik dan pemimpin masyarakat adalah kritikal.

“Kita mesti menyediakan benteng pengetahuan apabila golongan sedemikian dan masyarakat kita melihat (catatan dengan) naratif ini,” kata beliau.

Oleh yang demikian, beliau berkata cabaran hari ini menjangkau lebih daripada hanya berita atau maklumat palsu, tetapi lebih genting dan merosakkan adalah manipulasi naratif.

“Apabila (naratif ini menyasarkan) identiti dan agama, kepentingan masyarakat kita menjadi lebih tinggi,” ujarnya.

Apatah lagi apabila catatan Zulfikar diguna pakai dan menjadi rujukan AI generatif bagi mencipta kandungan video yang menonjolkan perkara kurang tepat – misalnya, naratif bahawa golongan Melayu/Islam di Singapura dipinggirkan.

“Kini apa yang boleh dilakukan AI adalah meningkatkan pengaruh (kurang tepat) ini.

“AI mempelajari perkara yang mencetuskan penglibatan, mengenal pasti khalayak yang berkemungkinan besar untuk bertindak balas dan memaparkan kandungan sedemikian berulang kali terhadap seseorang yang berinteraksi dengan kandungan tersebut... lambat-laun membina kebiasaan, yang terasa seperti ia suatu kebenaran walhal ia tidak benar sama sekali,” jelas Dr Mubarak.

Pengaruh asing dan naratif tidak tepat yang dipacu AI, seperti catatan Zulfikar dan kandungan generatif AI yang merujuk kepada catatannya, ini menjadi salah satu isu yang hangat dibentangkan para pemimpin MMO dalam sesi dialog tersebut.

Antara isu lain yang turut diketengahkan adalah radikalisasi dalam kalangan warga Melayu/Islam, perlunya usaha meningkatkan kecelikan digital dan kemaslahatan asatizah.

Para pemimpin telah menekankan peri-penting meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang radikalisasi dan anasir asing, demi membina masyarakat yang berdaya tahan kerana ia sering kali berhubung kait.

Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata melalui sesi dialog itu, ia mencerminkan matlamat MMO untuk “meningkatkan kefahaman masyarakat agar mereka lebih diperkasa” bagi membuat penilaian.

“Secara khususnya, jika kita tidak menangani isu seperti sosioekonomi masyarakat Melayu/Islam, golongan ini mungkin rasa terpinggir dan mudah terdedah kepada anasir di luar yang memburukkan imej masyarakat kita,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg