Golongan belia di Singapura perlu mendalami pemahaman mereka mengenai China, menjangkau bandar utamanya dan tidak menganggapnya sebagai satu entiti yang tidak mempunyai kepelbagaian.
Sementara itu, pelajar dari China pula perlu menghargai Singapura sebagai negara majmuk walaupun majoriti rakyat berbangsa Cina, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
“Hanya apabila belia kita meluangkan masa dan usaha untuk benar-benar memahami satu sama lain secara mendalam, barulah kita dapat menyemai benih kerjasama buat masa depan, tanpa membuat andaian bahawa kita serupa,” kata Encik Chan.
“Namun, walaupun kita berbeza, ia tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama,” kata beliau semasa berucap di Forum Pemimpin Muda Global Singapura-China di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, pada 6 Februari.
Menurut Encik Chan, sebenarnya perbezaan antara kedua-dua negara inilah yang memperkukuh kerjasama mereka, dengan setiap negara menyumbang kekuatan yang unik.
“Kededua China dan Singapura, dalam semua projek kerjasama kami – daripada ekonomi hingga keselamatan dan lain-lain – menyumbang perspektif berbeza dengan sikap saling menghormati serta pemahaman mendalam terhadap keperluan dan cara (bekerja) masing-masing.
“Dengan ini, saya berharap belia generasi ini akan terus bekerjasama pada tahun-tahun akan datang,” kata Encik Chan.
Beliau menambah bahawa titik persamaan perlu dicari bukan sahaja untuk menguruskan isu dalam negara atau membaiki hubungan dua hala, malah untuk memberi sumbangan kepada seluruh dunia.
Forum itu dihadiri seramai 450 pelajar dan tetamu dari Singapura dan China, termasuk Duta China ke Singapura, Encik Cao Zhongming.
Belia yang hadir terdiri daripada pemimpin pelajar dari enam wilayah China – Heilongjiang, Shandong, Beijing, Tianjin, Zhejiang, dan Xinjiang – serta pelajar dari maktab rendah, kolej ITE, dan politeknik di Singapura.
Forum itu menandakan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik Singapura-China, lapor The Straits Times (ST).
Dalam forum tersebut, Encik Chan mengajak para pelajar memikirkan sebab dua negara yang berbeza sejarah itu mampu menjalin perkongsian dengan cara yang “unik”.
“Satu-satunya sebab mengapa kita mampu berbuat demikian adalah kerana kita saling mempercayai antara satu sama lain,” kata Encik Chan.
Beliau menegaskan bahawa kepercayaan datang daripada pemahaman, bukan andaian.
Encik Chan turut menekankan perlunya kerjasama yang lebih mendalam untuk menangani cabaran bersama, seperti perubahan iklim dan penduduk yang menua.
Beliau turut menggalakkan pelajar agar membaca, mengembara dan bersosial secara meluas, kerana hanya dengan cara itu mereka dapat menawarkan peluang kerjasama yang berguna buat kededua negara pada masa hadapan.
Forum itu turut menganjurkan sesi perbincangan bersama Menteri Negara Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Encik Desmond Tan; pengasas dan rakan pengurusan firma modal teroka, Insignia Ventures, Encik Tan Yinglan; dan penolong profesor di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Chen Wenqian.
Antara lain, mereka membincangkan cara membina kepercayaan dan rasa hormat antara Singapura dengan China, serta kerjasama sebagai kunci kepada perkongsian yang berjaya.
Encik Tan berkata hubungan antara Singapura dengan China bukan sekadar dijalin untuk jangka masa pendek, malah perlu diperkukuh bagi jangka masa panjang, seiring komitmen untuk bekerjasama sebagai teras dalam mewujudkan hubungan erat antara kededua negara.
“
“Hanya apabila belia kita meluangkan masa dan usaha untuk benar-benar memahami satu sama lain secara mendalam, barulah kita dapat menyemai benih kerjasama buat masa depan, tanpa membuat andaian bahawa kita serupa. ... Kededua China dan Singapura, dalam semua projek kerjasama kami – daripada ekonomi hingga keselamatan dan lain-lain – menyumbang perspektif berbeza dengan sikap saling menghormati serta pemahaman mendalam terhadap keperluan dan cara (bekerja) masing-masing. Dengan ini, saya berharap belia generasi ini akan terus bekerjasama pada tahun-tahun akan datang.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg