Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Jenama S’pura kukuh di China ekoran warganya di sana

Terdapat kira-kira 4,000 syarikat S’pura di Shanghai, hentian penting bagi yang ingin masuki pasaran China
Nov 29, 2024 | 1:11 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kanan, berjabat tangan), berucap kepada hampir 450 warga Singapura yang tinggal di China dalam satu majlis ramah mesra di Shanghai pada 28 November.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kanan, berjabat tangan), berucap kepada hampir 450 warga Singapura yang tinggal di China dalam satu majlis ramah mesra di Shanghai pada 28 November. - Foto ZAOBAO

SHANGHAI: Jenama Singapura dan hubungan budaya, perniagaan dan peribadinya dengan China telah membolehkan kedua-dua negara bekerjasama dan belajar daripada satu sama lain.

Namun, pengalaman Singapura sendiri telah menambah nilai kepada hubungan itu.

Ia adalah sesuatu yang “kita perlu anggap berharga”, terutama dalam masa sukar sekarang, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, kepada warga Singapura pada satu majlis ramah mesra di Shanghai pada 28 November, lapor The Straits Times.

Encik Lee mengakhiri lawatan rasmi enam hari ke China, yang menyaksikan beliau bertemu Presiden Xi Jinping dan pemimpin lain, melawat syarikat teknologi negara itu dan meraikan ulang tahun ke-30 Taman Perindustrian Suzhou, projek bersama Singapura dengan China.

Berucap kepada hampir 450 warga Singapura yang tinggal di China, Encik Lee berkata:

“Nama jenama Singapura amat berharga di China.

“Orang ramai tahu tentang Singapura, mereka mengagumi kita dan mereka ingin mengenali kita dengan lebih dekat dan melakukan lebih banyak lagi dengan kita.

“Dan saya fikir itu adalah sesuatu yang sangat berharga.”

Sebahagian besarnya disebabkan oleh warga Singapura yang bekerja atau belajar di negara itu, ujar Encik Lee.

Beliau, dalam pertemuan awal pada hari yang sama dengan pegawai tinggi Shanghai, Encik Chen Jining, menyifatkan warga Singapura sebagai “duta kami”.

Walaupun ramai keturunan Cina, warga Singapura ini berbeza dengan orang Cina dari China.

“Tetapi kerana kita berbeza dengan pengalaman yang berbeza, kita boleh belajar daripada satu sama lain dan ada sesuatu yang boleh kita sumbangkan kepada pengalaman dan kejayaan masing-masing,” katanya, disambut dengan anggukan hadirin di dewan tarian di hotel Mandarin Oriental.

Shanghai, khususnya berada di barisan hadapan dalam pertukaran ini.

Berdasarkan angka daripada Suruhanjaya Perdagangan Shanghai, terdapat sekitar 4,000 syarikat Singapura di hab kewangan itu, yang merupakan perhentian penting bagi firma Singapura yang ingin masuki pasaran China.

Pada separuh pertama 2024, perdagangan antara kedua-dua bandar meningkat 15 peratus kepada 61.57 bilion yuan ($11.4 bilion), didorong pertumbuhan kukuh dalam eksport dari Shanghai ke Singapura.

Singapura ialah pelabur asing terbesar Shanghai pada Jun 2023, dengan pelaburan kumulatif mencecah AS$25.99 bilion ($34.9 bilion) pada separuh pertama 2024.

Pada akhir 2022, Shanghai merupakan destinasi pelaburan kedua terbesar Singapura di China, selepas wilayah Jiangsu.

Hubungan ekonomi yang kukuh itu memberi Encik Chen, ketua parti Shanghai, keyakinan untuk memberitahu Encik Lee bahawa terdapat “prospek besar” bagi kerjasama lebih erat antara bandarnya dengan Singapura.

Perdagangan antara kedua-dua bandar telah berkembang 20 peratus sejak Majlis Kerjasama Komprehensif Shanghai-Singapura ditubuhkan lima tahun lalu, kata Encik Chen, yang menjadi tuan rumah pada satu majlis jamuan tengah hari pada 28 November.

Bagi syarikat Singapura yang ingin berkembang ke China, usahawan Singapura yang berpangkalan di Shanghai, Cik Tina Ng, berkata:

“Ambil langkah kecil dan fahami budayanya. Jangan masuk dengan anggapan anda sangat bijak. Dan jangan terlalu positif.”

Dengan keadaan negara itu yang terperangkap dalam kemelesetan ekonomi, syarikat yang ingin buka perniagaan di China perlu berhemat, kata Cik Ng, 52 tahun, yang mengendalikan syarikat import dan eksport makanan, Naturie Enterprise.

Beliau juga merupakan naib pengerusi Dewan Perniagaan Singapura di Shanghai.

Pada awal 28 November, Encik Lee bertemu dengan pemimpin perniagaan Singapura yang berpangkalan di Shanghai dan bandar-bandar jiran.

Beliau turut melawat syarikat pemula robotik Shanghai, Agibot, yang membina robot ‘humanoid’, atau robot berbentuk manusia, pertamanya pada Ogos 2023.

Encik Lee kembali ke Singapura pada 29 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg