Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China bagi Wilayah Perbandaran Shanghai, Encik Chen Jining, menyambut baik usaha memperkukuh kerjasama antara kedua-dua bandar di bawah Majlis Kerjasama Menyeluruh Singapura-Shanghai pada 28 November.
Ini termasuk dalam bidang seperti kerjasama perkhidmatan kewangan, teknologi dan inovasi, serta ekonomi digital.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA), Encik Lee telah mengadakan pertemuan dan dijamu makan tengah hari oleh Encik Chen, di Shanghai pada 28 November.
Encik Lee dan Encik Chen mengesahkan hubungan kukuh antara Singapura dengan Shanghai, yang diperkuat melalui ikatan rapat antara rakyat kedua-dua negara.
Encik Chen turut memberi maklumat terkini kepada Encik Lee mengenai perkembangan terbaru di Shanghai dan wilayah Delta Sungai Yangtze yang lebih luas.
Mereka saling bertukar pandangan mengenai peluang dan cabaran di rantau ini, di samping membincangkan cara memperkukuh kerjasama ekonomi dan kewangan antara Singapura dengan Shanghai.
Encik Lee juga telah mengadakan satu majlis resepsi untuk warga Singapura yang menetap di wilayah Delta Sungai Yangtze, merangkumi Wilayah Perbandaran Shanghai, Wilayah Anhui, Wilayah Jiangsu, dan Wilayah Zhejiang.
Encik Lee dijadual pulang ke Singapura pada 29 November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg